Lahirku ke dunia dengan izin Allah SWT. Aku dibesarkan sama seperti kanak-kanak lain. Dunia remajaku juga sama dengan remaja lain. Keperluan ku dipenuhi kedua-dua ibu bapaku. Hatta, kenduri perkahwinanku diuruskan sebaik mungkin.

Tapi, kenapa setiap kali berlakunya perselisihan pendapat dalam keluarga, aku sering dilontarkan dengan ungkapan anak derhaka.

“Kau memang jahat. Hati kau busuk! Memang neraka tempat kau. Patutlah, anak-anak kau pun jahat macam kau!” Masih terngiang kata-kata ibu hanya kerana aku terlambat memberitahunya tentang urusan menemui seseorang hari itu.

Hakikatnya, bukan silap aku. Temu janji itu hanya aku ketahui pada pagi itu. Bukan sengaja untuk aku tidak memberitahunya lebih awal. Tapi… aku telan kata-katanya kerana aku hanya seorang anak!

Bukan itu sahaja, sesuatu yang sukar untuk aku lupakan hingga hari ini apabila ibu pernah berkata, “aku doakan kau dapat suami kaki pukul. Kau tahu nasib kau nanti!” Pedih, aku telan sekali lagi semua katanya. Lantas, salahkah aku bila hati ini sering bertanya, “aku anak siapa?”

Berdosakah aku bila setiap kali ibu memarahiku hanya kerana kesilapan kecil, persoalan ini sering bertandang? Aku akur. Aku bukan anak emas dalam keluarga, sekalipun selama ini keperluan makan minumnya, aku uruskan. Aku bawa ibu bercuti bersama-sama. Tapi aku tetap yang jahat dalam kalangan adik-beradik.

Soalnya, apakah aku tidak boleh bersuara dalam keluarga? Mengapa sering kali kesilapan kecil berlaku, ia diperbesar? Apakah sebagai seorang anak, aku tiada hak untuk menegur si ibu yang melakukan kesilapan? Paling menyedihkan, tergamak seorang ibu menyatakan, “Aku menyesal lahirkan kau!”

Aku tak pasti, apa yang ibu mahukan daripadaku? Aku ubah sikap untuk tidak banyak bercakap dan mengeluarkan apa jua pandangan. Khuatir andai ada boleh mengguris hati ibu.

Tapi lain pula yang jadi. Ibu menuduh aku sebagai sombong! Cukuplah, jangan marah aku lagi! Kalau benci sekalipun, jangan doakan yang buruk kerana aku juga merindui syurga Allah. Aku sedar, walaupun perkara baik aku lakukan, sisi hitamku tetap terserlah pada mata ibu.

PANDANGAN KAUNSELOR

Luahan hati di atas amat menyedihkan. Tiada siapa akan menyangka, seorang ibu akan bersikap sedemikian. Tapi realitinya ia berlaku dalam masyarakat hari ini.

Trauma dihina, dikeji, dicemuh dan didoakan dengan sesuatu yang buruk, sudah tentu mendatangkan kesan mendalam terhadap emosi dan mental anak tersebut.

Sukar untuk memastikan apa sebenarnya yang menyebabkan si ibu terlalu membenci anak itu berbanding anak-anak yang lain.

Ada kemungkinan wujud ‘urusan’ yang tidak selesai antara ibu dan anak atau mungkin juga orang lain sehingga si anak menjadi mangsa.

Atau, apakah pengalaman silam yang pahit buat si ibu saat melahirkan atau membesarkan si anak, mendorongnya membenci anak berkenaan berbanding anak-anak yang lain? Semua persoalan ini perlu diteroka bagi mencari titik temu kepada punca berlakunya situasi sedemikian.

Yang pasti, baik si ibu atau si anak, ada sesuatu yang dipendamkan. Kesannya, si anak menjadi mangsa amarah si ibu.

Manakala bagi anak yang sering kali dicemuh dan dihina, tidak bersedia untuk melupakan setiap kata-kata keji yang diterima.

Hal ini mengakibatkan hubungan antara mereka tidak serapat hubungan adik-beradik yang lain dengan si ibu.

Ketidakmampuan anak meluahkan perasaannya kepada ibu kerana khuatir disalah anggap oleh ibu dan ketidaksediaan si ibu pula untuk memaafkan si anak dengan sebenar-benarnya maaf, mewujudkan dinding pemisah antara mereka.

Yang pasti, khuatir dihina, dikeji dan dicaci serta didoakan dengan sesuatu yang buruk, menyebabkan si anak mula bersikap pasif dengan mengambil sikap untuk tidak terlalu banyak berkomunikasi dengan si ibu.

Layanan kepada si ibu hanya setakat tanggungjawab yang perlu dilunaskan iaitu menjaga makan minumnya dan keperluan lain. Tidak lebih daripada itu.

Selebihnya, hanya perlu bercakap perkara-perkara yang perlu sahaja. Hakikatnya, hal sedemikian tidak akan menyelesaikan permasalahan ini.