Pertengahan bukanlah melakukan suatu perkara secara tidak sempurna, tetapi melakukannya dengan sempurna, cukup syarat, mematuhi peraturan dan prosedur yang tidak melampau mahupun mengurangi sesuatu perkara.

Dalam keadaan inilah, akidah Islam mengutarakan mesej jalan pertengahan dan kesederhanaan, antaranya:

* Menegah sikap melampau umat terdahulu dalam berakidah dinyatakan dalam Surah al-Nisa ayat 171.

* Menolak dakwaan tidak wujudnya Tuhan dan anggapan kehidupan dunia ini terjadi secara kebetulan seperti dalam Surah al-Jaathiyah ayat 24.

* Menolak adanya banyak tuhan, mensyirikkan Allah SWT dengan tuhan-tuhan yang lain. Allah itu Esa yang selayaknya disembah seperti dalam Surah al-Ikhlas ayat 1-4.

* Menolak kepercayaan animisme yang mempercayai semangat dan kuasa ghaib serta pemujaan hantu, jembalang atau jin yang menjadi penunggu sesuatu objek seperti dalam Surah al-Jin ayat 6-10.

* Mengubah pandangan masyarakat daripada mempercayai roh, semangat dan dewa-dewi kepercayaan, tahayul dan animisme kepada mempercayai Tuhan yang Esa, nabi-nabi, rasul, malaikat dan kitab suci seperti dalam Surah al-Ra’d ayat 11.

* Keimanan diikuti dengan 
amal ibadat seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan sebagainya seperti dalam Surah al-Baqarah ayat 177.

* Membawa pemikiran masyarakat kepada kehidupan berteraskan rasional dan intelektual. Al-Quran mengungkapkan banyak ayat yang memerintahkan penggunaan akal dengan sebaiknya. Lafaz tafakkur (berfikir), nazor (perhati), tabassur (melihat), tadabbur (merenung), tafaqquh (faham), tazakkur (ambil peringatan secara mendalam), i‘tibar (mengambil pengajaran) dan sebagainya diulang-ulang dalam usaha membimbing dan mengisyaratkan manusia menggunakan akal, berfikir dan membuat pertimbangan sebaiknya dalam mengenal pasti kebenaran dan kesesatan.

PENDEKATAN SEIMBANG

Pendekatan wasatiyah mengimbangi pandangan dalam mengambil sumber akidah, antaranya:

* Golongan salafi ekstrem menolak perbahasan akal dalam menetapkan kebenaran akidah Islam, apatah lagi perbahasan saintifik dalam kalangan umat Islam hari ini. Mereka terlampau rigid menolak sebarang unsur yang dikatakan mencemar kesucian al-Quran dan sunah. Golongan yang menyalahi mereka dianggap sebagai ahli bidaah dan menyeleweng daripada akidah.

* Golongan liberal berpegang kepada kebebasan melampau menggunakan akal walaupun bercanggah dan di luar kemampuan manusia.

* Golongan sufi mengambil sumber akidah menerusi pengalaman kerohanian seperti ilham, kasyaf, mimpi dan yaqazah.

Pendekatan wasatiyah berada di jalan pertengahan yang tidak menerima atau menolak secara membuta tuli, tetapi memerlukan pemikiran yang boleh diterima menurut fitrah manusia. Pendekatan wasatiyah berpegang teguh meletakkan al-Quran dan sunah sebagai rujukan utama tetapi pada masa sama mengambil kira fungsi akal dan pancaindera sebagai pendokong wahyu.

Akal tidak boleh melebihi dan mengatasi kesucian wahyu. Akal dibimbing berdasarkan prinsip ditetapkan oleh para ulama silam yang berautoriti. Pendekatan wasatiyah tidak menolak amalan-amalan sufi dan tasawuf dalam memperkukuh agama selagi ia sahih dan tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunah.

KEPERLUAN YANG PERLU DIUTAMAKAN

Dalam konteks di Malaysia, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebagai akhlak dalam kehidupan, antaranya:

* Meraikan pengajaran akidah yang mesra budaya kehidupan setempat dan bersesuaian dengan latar belakang akidah pegangan umat Islam iaitu aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

* Pengajaran akidah memberi fokus kepada perkara yang jelas disepakati ulama dan mengelak persoalan perselisihan antara ulama.

* Bertegas dalam isu-isu yang menyalahi akidah, tidak mudah mengafirkan, membidaah atau fasik pada persoalan khilaf sesama ulama ASWJ.

* Membawa penekanan kepada pendekatan menjawab kemusykilan masyarakat seperti perbincangan kewujudan Allah dan keesaan-Nya, kenabian, kehidupan selepas mati, qadak dan qadar dan sebagainya secara hikmah, bijaksana yang menarik minat masyarakat.

* Menolak pelbagai aliran semasa seperti fahaman sekularisme, materialisme, hedonisme, liberalisme dan pluralisme agama.

* Memperbanyak pengajaran akidah ‘amaliyyah (praktikal) yang membawa kepada akhlak yang baik dan tekun beribadah melalui ibadah solat, puasa, zakat, haji, sedekah, jihad dan sebagainya seiring bersama perbahasan akidah nazariyyah (teori) yang memerlukan penelitian mendalam mengenai persoalan-persoalan dalam agama.

Akidah Islam membentuk pendekatan ideal, sesuai dan harmoni yang menjadi sumber perpaduan serta kekuatan masyarakat pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, bukan punca perpecahan. Akidah yang benar ialah membentuk sebaik-baik manusia mentaati Allah, tidak membangkitkan perdebatan antara ahli ilmu dan membingungkan masyarakat awam yang kurang mengetahui.

Kekuatan akidah menjadi sumber inspirasi kehidupan Muslim dalam ibadah, munakahah, muamalah, jinayah dan siyasat al-daulah. Pendekatan manhaj wasatiyah terbaik ialah tidak menolak secara bulat-bulat, beriman dengan penuh keyakinan sebagaimana terkandung dalam al-Quran dan sunah tanpa sebarang tokok tambah dan takwilan yang salah, di samping bersikap terbuka memberikan peranan kepada akal dalam mengukuhkan agama serta akidah seperti yang dinyatakan dalam nas.

Pendekatan wasatiyah tidak terlalu ketat (ifrat) dan tidak terlalu longgar (tafrit) serta mengutamakan apa yang lebih utama.