Bukan sahaja terpaksa menimba air setiap kali ingin menggunakannya, malah rata-rata mereka termasuk golongan kurang upaya dan warga tua terpaksa berjalan hampir puluhan meter untuk mendapatkan sumber air terdekat.

Keperluan air yang lazimnya diambil daripada perigi terbuka itulah digunakan untuk mandi dan bersuci begitu juga bagi memasak serta minuman harian.

Permasalahan itu ekoran kemiskinan dihadapi golongan pedalaman Sri Lanka yang rata-rata bekerja sebagai petani, nelayan dan pekerja buruh, sehingga tidak mampu untuk memasang saluran air terus ke rumah mereka.

Sehubungan itu, bagi membantu meringankan beban yang dihadapi penduduk Sri Lanka terutama beragama Islam, pertubuhan kemanusiaan Islamic Aid Malaysia (IAM) mengadakan kempen Projek Waqf Perigi.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, projek itu dilancarkan setelah melihat keperluan penduduk di beberapa daerah di negara tersebut yang menghadapi permasalahan sumber air bersih.

“Di sekitar daerah Trincolamee contohnya, sehingga kini lebih 60 peratus penduduk tidak mempunyai keperluan asas bekalan air bersih. Mereka tidak mampu membina perigi sendiri kerana kosnya sangat mahal dan rata-rata mereka bekerja tetapi tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Oleh itu, kebanyakan rumah terpaksa berkongsi perigi bagi tujuan mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian.

“Melalui program ini, kita telah membina perigi berserta pam air dan tangki di beberapa buah rumah di sekitar perkampungan tersebut yang tidak mempunyai bekalan air hasil tajaan penyumbang dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat rumah seorang penerima Projek Waqf Perigi IAM di Daerah Trincomalee, Sri Lanka, baru-baru ini.

Selain menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan dari dalam negara, IAM turut memperluas bantuan dengan menyasarkan Muslim yang memerlukan dari negara terpilih termasuk Sri Lanka.

Zawahir berkata, walaupun pembinaan perigi telah dibuat di beberapa kampung sekitar Trincomalee, namun masih ramai penduduk daerah tersebut yang memerlukan bantuan.

“Umat Islam Sri Lanka dianggarkan sekitar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk iaitu seramai 2 juta. Kebanyakan penduduk Muslim miskin kerana mereka adalah antara yang paling teruk terjejas ketika konflik perang bersaudara pada 1983. Oleh itu, mereka benar-benar memerlukan bantuan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyumbang atau menaja Projek Waqf Perigi di Sri Lanka boleh berbuat demikian dengan melayari www.iam.org.my untuk makluman lanjut atau menghubungi IAM melalui talian 019-3973558 03-89574136.