Di sebalik usaha bagi merebut sempadan negara, penindasan yang mengakibatkan lebih 200,000 penduduk terkorban itu hakikatnya dilakukan untuk menghapuskan umat Islam di negara Semenanjung Balkan tersebut.

Berpeluang menjejakkan kaki ke Bosnia dan berkongsi kisah duka bersama keluarga mangsa yang terselamat, memberi kesan paling bermakna kepada pendakwah bebas, Asni Mansor tentang berharganya nilai zuriat keturunan umat Islam.

Beliau yang mengikuti misi bantuan kemanusiaan, ‘Misija 4 Bosnia’ ke Bosnia dan Herzegovina dalam program anjuran Islamic Releif Malaysia (IRM) mengakui tragedi yang berlaku 26 tahun lalu itu masih meninggalkan kesan trauma kepada rata-rata keluarga mangsa.

“Saya sempat berbual dengan seorang mak cik yang juga antara mangsa perang pada masa itu.

“Dia menceritakan ketika keadaan darurat, dia ingin keluar mencari makanan bersama anaknya yang lapar, secara tiba-tiba anak itu telah dibom di depan matanya sendiri. Dengan sayu dia mengutip cebisan tubuh anak kecil itu yang hancur.

“Selain itu, pengalaman cukup bermakna juga bagi saya ketika berada di perkuburan besar menempatkan ribuan makam umat Islam.

“Dikatakan di situlah kawasan di mana ribuan rakyat Bosnia dihimpunkan oleh tentera Serbia sebelum mereka diasingkan antara lelaki dan wanita.

“Golongan lelaki termasuk remaja dibawa ke satu tempat lalu mereka semua dibunuh. Ini kerana tentera Serbia tidak mahu golongan lelaki melahirkan baka kepada umat Islam. Itulah juga pertemuan akhir mereka bersama keluarga.

“Kanak-kanak perempuan juga dibunuh kerana tidak mahu mereka membesar sebagai Muslim, manakala wanita dan ibu dirogol untuk menanam benih Serbia supaya melahirkan keturunan bukan Islam,” katanya.

Namun malangnya, Asni berkata, situasi itu berbeza dalam konteks sebahagian rakyat di negara ini yang takut mempunyai anak ramai kerana bimbang melahirkan zuriat tidak berkualiti dan dihimpit masalah ekonomi.

“Bagi saya, tugas kita adalah untuk memperbanyak umat Islam atau khalifah di muka bumi ini. Jangan bimbang tentang ekonomi kerana rezeki telah ditetapkan oleh Allah SWT,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan lukisan karya miliknya untuk dilelong bagi disumbangkan kepada tabung ‘Misija 4 Bosnia’.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Program Domestik IRM, Kamarul Halim Sakrani; Presiden Ukhwah 4 Ummah (U4U), Mohamad Sharudin Dawam serta Squad Celebrity Global Volunteers ke Bosnia - Diana Amir, Ashraf Muslim dan Farah Lee.

BANTU KUMPUL DANA

Mengambil inspirasi di Bosnia, Asni berkata, lukisan dihasilkan daripada keindahan pemandangan di negara bersejarah itu.

“Kalau hendak memberikan ribuan ringgit, saya bukan hartawan, inilah yang saya mampu untuk bantu mengumpulkan dana bagi disumbangkan kepada tabung IRM di Bosnia.

“Bosnia mengajar saya erti kekitaan. Keadaan ekonomi mereka sangat daif, anak-anak ketinggalan serba-serbi terutama dalam aspek pendidikan kerana kemiskinan malah pusat pengajian sangat terhad.

“Oleh itu, mereka benar-benar perlu dibantu,” katanya.

Selain Bosnia, IRM dengan kerjasama U4U dan Squad Celebrity Global Volunteers turut memfokuskan tiga lokasi bantuan lain iaitu ‘School 4 Godda’ di India, ‘Tabang 4 Marawi’ di Filipina dan ‘Water 4 Malawi’ di Malawi.

Orang ramai yang ingin membida lukisan Asni Mansor boleh berbuat demikian dengan melayari laman web rasmi IRM iaitu www.islamic-relief.org.my atau hubungi IRM pada talian tetap 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut.

Sebarang sumbangan juga boleh disalurkan kepada akaun Islamic Relief Malaysia Maybank Islamic (5621 4270 8704); CIMB Islamic (860 2073818) atau Bank Islam (12 029 01 006564 3).