“Setelah beberapa hari berada di sini (Indonesia), aku menyedari bahawa golongan ibu bapa di sini sangat bebas dalam membenarkan anak gadis mereka menikahi pemuda bukan Islam,” kata Dr. Zakir Naik ketika menjawab persoalan daripada seorang wanita dalam satu majlis agama sempena kehadiran pendakwah tersohor itu ke Indonesia.

Memberi teguran secara tegas, Zakir memberi peringatan bahawa ibu bapa yang memberi kebenaran anak mereka menikahi pasangan yang berlainan agama selain Islam akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak.

Beliau mempersoalkan kenapa ibu bapa masyarakat Islam di Indonesia boleh membenarkan zuriat mereka berkahwin dengan pasangan yang bukan beragama Islam.

Dengan penuh kehairanan, penceramah bebas tersohor dari India itu begitu terkilan bagaimana perkara seumpama itu boleh berlaku dan kenapa perkara itu dilakukan.

Tegasnya, Allah SWT dengan jelas di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 221 menyatakan bahawa jangan menikahi wanita Musyrik sehingga dia beriman.

Zakir berkata, wanita yang beriman adalah jauh lebih baik daripada wanita Musyrik, meskipun wanita itu mempunyai gaya penarik hebat.

Untuk itu katanya, seseorang itu seharusnya tidak akan menikahi pasangannya yang Musyrik sehingga lelaki atau wanita itu beriman kepada Allah SWT. Wanita yang beriman meskipun dia itu adalah seorang hamba atau pembantu, namun wanita itu adalah jauh lebih baik daripada gadis Musyrik cantik yang menarik perhatian.

“Mungkin dia seorang Ratu England atau wanita tercantik di dunia tetapi jika dia bukan seorang Muslim, maka wanita Muslim yang merupakan seorang hamba itu adalah jauh lebih baik.

“Kenapa masyarakat Muslim di Indonesia tidak mengetahui perkara penting ini? Sehubungan itu, saya fikir ibu bapa di Indonesia tidak membaca al-Quran dan memahaminya dengan jelas.

“Di negara asalku di India, sekiranya ada anak daripada pasangan Islam menikahi orang bukan Islam, 99 peratus individu itu akan diusir atau dibuang daripada keluarga.

“Namun ibu bapa di sini (Indonesia) seakan suka dan merelakan perkara tersebut dengan menyatakan anak gadisku berkahwin dengan orang bukan Islam. Malah boleh tertawa. Apa yang telah terjadi dengan masyarakat Muslim Indonesia?,” katanya sambil terhenti seketika kerana menarik nafas dalam.

Berharap suatu usaha pembaikan dapat dilakukan oleh masyarakat Islam di negara itu, Zakir menyeru agar semua universiti di Indonesia terutama daripada kalangan penuntut pengajian Islam memberi penerangan jelas kepada masyarakat agar berhenti daripada mengahwini pasangan yang bukan beragama Islam.

Jelasnya, seorang Muslim sama sekali tidak boleh mengahwini pasangan yang tidak memeluk agama Islam dan beriman kepada Allah SWT.

“Saya terkejut dengan apa yang berlaku. Ketika saya pergi ke negara yang minoriti masyarakatnya beragama Islam, jika perkara seumpama itu berlaku, pastinya mereka akan membuang atau memulaukan orang itu.

“Malah ibu bapa juga akan berasa malu sekiranya anak mereka mengahwini orang bukan Islam. Namun di sini (Indonesia)... (terhenti seketika tanpa kata-kata). Lakukanlah dengan jelas, sekiranya kamu mempunyai pilihan untuk berkahwin hatta sehingga berpeluang mengahwini ratu atau pasangan tercantik di dunia, paling kaya atau apa sahaja, maka pilihlah mereka yang beriman,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya pasangan itu beriman biarpun tidak kaya atau tidak cantik, apa yang pasti dia pasti akan melangkah masuk ke syurga.

Tambahnya, seorang pemuda Islam perlu mengahwini wanita yang mukminah atau beriman kerana pasangannya itu adalah jauh lebih baik dan berupaya membawa suaminya masuk ke syurga bersama.

Sehubungan itu, katanya, seorang lelaki perlu memilih pasangannya yang muhsinah kerana Allah telah menyatakan bahawa isteri itu adalah muhsinah iaitu benteng kepada syaitan.

Sekiranya berkahwin dengan orang bukan Islam, maka mereka merupakan benteng syaitan, bukan lagi menjadi benteng pertahanan daripada hasutan syaitan.