Pernah seorang murid mengaku sedemikian kepada saya. Itulah lumrah manusia, memang cenderung melampiaskan nikmat kepada orang yang rapat dan dikenali. Dalam bahasa sinis politik ia disebut kronisme dan nepotisme. Perbualan itu selari dengan topik kelas tafsir kami yang membicarakan kisah Nabi Musa a.s. ‘melobi’ nama Nabi Harun a.s. sebagai pembantunya.

Nikmat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah pangkat kenabian. Lebih istimewa ia bukan sesuatu yang boleh dilobi kerana Pemberi anugerah itu adalah Pemilik alam semesta:

“Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikan-Nya itu,” (al-An’am [6:124]).

Tapi lain perihalnya dengan Nabi Harun. Baginda mendapat nikmat ini setelah disarankan oleh Nabi Musa. Seakan-akan dikata ‘kabelnya’ kuat sehingga saranan itu diterima dan Harun terus dilonjak menjadi Rasul:

“Dan saudaraku - Harun, dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku”. Allah berfirman: “Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang,” (al-Qasas [28:34-35]).

Dalam ayat lain diulang sebut kisah ini:

“Dan Kami kurniakan kepadanya daripada rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi,” (Maryam [19:53]).


KEDUDUKAN ISTIMEWA


Memang Nabi Musa a.s. bukan calang-calang nabi, Baginda sangat dipandang Allah sehingga saranan pelantikan Nabi Harun terus diterima tanpa tangguh. Sehingga ada ulama mengaitkan keistimewaan Nabi Musa yang sangat dipandang Allah ini dengan maksud firman Allah (Tafsir Ibn Kathir):

“Dan adalah (Musa) seorang yang mulia di sisi Allah,” (al-Ahzab [33:69]).

Namun perlu difahami bahawa pemilihan Nabi Harun bukan semata-mata kerana saranan Nabi Musa, tetapi ia berkait rapat dengan kualiti rohani Nabi Harun itu sendiri. Memang semua yang telah, sedang dan bakal berlaku ada dalam ilmu Allah jauh sebelum penciptaan alam ini lagi:

“Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata (Luh Mahfuz),” (al-Naml [27:75]).

Allah menggerakkan Nabi Musa mencalonkan Nabi Harun kerana Baginda adalah manusia yang paling layak dari sudut rohani. Sungguh logik dikatakan bonda mereka telah mendidik kedua-dua anak ini dengan akhlak tertinggi untuk persiapan menjadi nabi sebagaimana ilham Allah kepada ibu mereka ketika Musa baru dilahirkan:

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (daripada angkara Firaun), maka (letakkan dia dalam peti dan) lepaskan dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada rasul-rasul Kami,” (al-qasas [28:7]).


SOKONGAN TEORI


Dilampirkan dua ayat yang menyokong teori ini:

1. Nabi Harun a.s. sangat warak dan halus jiwanya. Dalam peristiwa penyembahan patung anak lembu Bani Israel, Baginda cuba sedaya mampu tidak berkeras bagi mengelak berlaku pertumpahan darah. Kisahnya, ketika Nabi Musa a.s. naik ke Gunung Tur Sinai bermunajat kepada Allah, Nabi Harun diamanahkan menjaga Bani Israel. Kelembutan dan kehalusan jiwa Baginda dimanipulasi oleh kaum itu sehingga Baginda sendiri hampir terbunuh. Setelah Musa pulang, Harun menerangkan apa yang berlaku:

“(Sekembalinya), Nabi Musa berkata: “Wahai Harun, apakah halangannya yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat, “Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?” Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “engkau telah memecah-belahkan kaum Bani Israel sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!,” (Taha [20:92-94]).

  • Namun begitu, memiliki hati yang halus dan baik adakalanya tidak sesuai untuk berhadapan dengan manusia degil seperti Bani Israel. Apakan daya, Musa adalah Musa dan Harun adalah Harun.

2. Maryam digelar sebagai adik perempuan Nabi Harun

“Kemudian baliklah dia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya (Nabi Isa a.s.), mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! “Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!,” (Maryam [19:27-28]).

  • Jarak zaman antara Nabi Harun dan Maryam bonda Nabi Isa a.s. sangat jauh. Lalu mengapa beliau digelar sebagai adik perempuan Harun? Para ulama mempunyai beberapa pendapat antaranya:

* Pada zaman Maryam sebarang kesolehan akan disandarkan kepada Nabi Harun.

* Pada zaman itu juga ada seorang lelaki soleh bernama Harun yang sangat kuat ibadat. Pada hari kematiannya puluhan ribu mengikuti jenazahnya sebagai tanda hormat.

* Kesolehan Maryam dianggap setanding kesolehan lelaki soleh yang bernama Harun itu sehingga mereka berdua dikiaskan sebagai adik beradik

* Maryam berasal daripada keturunan Nabi Harun

* Maryam sangat tekun beribadat sehingga digelar adik perempuan Nabi Harun yang juga sangat soleh, warak lagi kuat beribadat (Tafsir al-Tabari, Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir al-Razi).

Kesimpulannya, pemilihan Nabi Harun sebagai pembantu Nabi Musa menunjukkan Baginda memang seorang yang berkualiti lagi layak menjawat jawatan tersebut dan bukannya bersandar kepada aspek kronisme atau nepotisme semata-mata.

Gandingan dua Rasul hebat ini menjadi bukti betapa kerja berpasukan atau team work sangat penting dalam menjayakan usaha dakwah.

Ya Allah! Berikanlah kepada kami pembantu untuk menegakkan agama ini sehebat gandingan Nabi Musa dan Nabi Harun.