Ia diinisiatifkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, iaitu Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra). Penganjuran kali ini turut dibantu oleh International Movement For A Just World (Just) dan International Forum on Buddhist-Muslim Relations (BMF).

Sesi PPT kedua ini dicemari dengan ugutan bunuh yang diterima pejuang hak asasi manusia Myanmar yang berpangkalan di United Kingdom, Dr. Maung Zarni sebaik sahaja beliau tiba di Kuala Lumpur yang dipercayai dilakukan oleh pelampau Myanmar. Selain laporan polis yang dibuat oleh Maung Zarni, sidang PPT terpaksa dijalankan dengan kawalan ketat polis yang membuat pemeriksaan terhadap setiap peserta dan orang ramai serta pihak media yang hadir selain membuat pemeriksaan bangunan yang menjadi lokasi perbicaraan.

Susulan daripada ancaman itu, beberapa sesi yang dijadualkan berlangsung secara terbuka terpaksa dibuat secara tertutup demi keselamatan semua pihak terlibat. Prosiding tribunal kali ini menampilkan saksi-saksi baharu, tayangan video, hujah-hujah pendakwaan dan pandangan beberapa tokoh dan pakar antarabangsa berhubung jenayah dan kekejaman yang sedang berlaku di Myanmar.

Langkah dan tindakan diambil menerusi PPT sebenarnya sangat penting terutama dalam menghadapi suara dan tindakan ‘longlai kerajaan’ yang dibebani pelbagai masalah khususnya oleh ‘Dasar Tidak Campur tangan ASEAN’ serta soal-soal yang melibatkan kepentingan politik, ekonomi dan sebagainya yang menghalang sesebuah anggota ASEAN untuk bertindak secara langsung ke atas Myanmar.

Hendaklah difahami bahawa PPT adalah inisiatif bukan kerajaan, maka dalam hal ini, sekali lagi kesabaran diperlukan untuk melihat proses dan hasil seterusnya, bukannya untuk melihat Myanmar dikenakan hukuman dalam jangka masa yang pantas.

Bagaimanapun, dokumen PPT diharap dapat mempercepat dan memudahkan proses dan tindakan seterusnya oleh PBB mahupun Mahkamah Jenayah Antarabangsa jika kedua-duanya mahu menerima kes Myanmar untuk dibicarakan. Hasil PPT juga dapat meningkatkan kesedaran awam dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia tentang kekejaman Myanmar.

 

Keputusan tribunal sudah pun diketahui.

Panel hakim secara konsensus memutuskan Myanmar bersalah atas jenayah dan kekejaman yang sedang berlaku di Myanmar. Mereka mendapati wujudnya unsur genosid mengikut Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain mengenal pasti tiga daripada lima praktis konvensyen itu sudah dilaksanakan terhadap etnik Muslim Myanmar, iaitu:

1. Pembunuhan ahli kumpulan (etnik Rohingya) yang menyebabkan kecederaan serius terhadap anggota badan atau mental serta dengan sengaja mewujudkan syarat kehidupan tertentu bertujuan untuk menghapuskan fizikal kumpulan sebahagian atau keseluruhannya.

2. Kerajaan Myanmar didapati bersalah melaksanakan jenayah perang dan kemanusiaan terhadap etnik Rohingya, Kachin dan etnik-etnik Muslim Myanmar.

3. Kerajaan Myanmar berniat untuk melakukan genosid terhadap Kachin dan Muslim Myanmar, selain memberi amaran bahawa kedua-duanya berdepan dengan genosid dalam masa terdekat sekiranya keadaan sekarang berterusan.