Gambaran idea mural patriotik itu diambil daripada aspirasi 1Malaysia Negaraku yang menekankan prinsip-prinsip Rukun Negara, elemen keharmonian masyarakat berbilang kaum, keindahan flora dan fauna serta kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju.

Pengarah Kolej Komuniti Selayang, Lt. Kol Bersekutu (PA) Abdul Razak Sabtu berkata, penghasilan mural patriotik selama dua minggu itu bertujuan mengajar pelajar betapa pentingnya menjadi rakyat yang cintakan negara.

Katanya, usaha menganjurkan program ini merupakan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang menyarankan agar setiap universiti dan kolej mengadakan program kesukarelawan yang melibatkan komuniti setempat.

“Pelajar akan bekerjasama dengan komuniti setempat dan sukarelawan melukis mural itu untuk pihak hospital dan mengaplikasikan apa yang mereka pelajari di dalam bilik kuliah untuk menjalankan program kesukarelawan yang berkaitan dengan bidang yang mereka pelajari,” katanya ketika ditemui Helo Kampus dalam majlis perasmian mural Cintakan Negara itu.

Majlis perasmian mural berkenaan disempurnakan oleh Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Selayang, Datuk Ir. Md. Nasir Ibrahim, yang secara simbolik mencalit cat merah bagi melengkapkan lakaran mural berkenaan pada dinding hospital tersebut.

Program itu juga turut melibatkan Program Touch Point Cabinet Away Day yang turut disertai pelajar Program Reka Bentuk Dalaman Kolej Komuniti Selayang yang bergotong royong membaiki dan membersihkan rumah penduduk setempat.

Md. Nasir berkata, program ini diharapkan dapat mendidik masyarakat tentang pengukuhan jati diri dan kecintaan kepada negara melalui medium seni.

“Kami mementingkan nilai-nilai pendidikan dan mesej yang hendak disampaikan. Ia bukan sekadar sebuah lukisan yang cantik tetapi mempunyai nilai-nilai pembangunan bangsa.

“Malah, setiap mural yang dihasilkan itu menggunakan tenaga kerja pelajar Kolej Komuniti Selayang sepenuhnya. Dalam program ini, pelajar turut berpeluang bergotong royong memperbaiki dan mencantikkan rumah penduduk setempat,” katanya.

Tambah Nasir, dengan adanya program ini diharapkan ia menyemarakkan semangat kesukarelaan dalam kalangan pelajar bagi memberi sumbang bakti kepada masyarakat dan negara.