Kos pembiayaan lazimnya meningkat apabila melibatkan rawatan penyakit yang sukar dan kronik. Mungkin ada pihak menyatakan, ia boleh diselesaikan dengan pembelian insurans perubatan. Bagi yang berpendapatan tetap dan tidak mempunyai bilangan anak ramai, ia mungkin bersesuaian.

Namun begitu, langkah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan melalui Hospital Selayang mewujudkan Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang (PPKMS) dilihat boleh mengurangkan bebanan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Paimuzi Yahya berkata,Pusat yang terletak berhampiran dengan Tesco Extra Selayang itu memberi ruang kepada golongan asnaf dan tidak berkemampuan mendapatkan rawatan dengan kemudahan peralatan canggih dan tenaga kerja pakar.

“Bagi golongan asnaf, rawatan itu adalah percuma, manakala yang lain pula mengikut kadar bayaran hospital kerajaan tetapi ia tidaklah semahal di hospital swasta.

“Dengan kata lain, mereka akan dapat rawatan katarak terbaik pada kos paling minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke pusat berkenaan, baru-baru ini. Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Perubatan 1, Dr. Muhammad Yusof Silbert dan Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr. Nor Fariza Ngah.

Pusat sehenti statik pertama di negara ini bagi rawatan katarak itu mula beroperasi pada Januari 2013 dan sehingga kini menerima lebih 12,000 pesakit dari seluruh negara.

Pusat itu mampu melaksanakan kira-kira 20 hingga 30 pembedahan katarak dalam sehari atau antara 5,000 hingga 7,000 setahun.

Menyentuh aspek kerjasama itu, Paimuzi memberitahu, MAIWP menyalurkan dana zakat sebanyak RM9.8 juta bagi mengubah suai premis bangunan menjadi sebuah pusat pembedahan dilengkapi dengan peralatan pembedahan canggih dan terkini.

Kementerian Kesihatan melalui Hospital Selayang pula menyediakan sekumpulan tenaga pakar bagi memberikan perkhidmatan perubatan terbaik.

PPKMS itu melibatkan dana zakat adakah ia bermakna pusat itu hanya khusus untuk umat Islam sahaja, Paimuzi mempunyai jawapannya:

“Bukan hanya untuk umat Islam sahaja tetapi kaum atau penganut agama lain boleh menikmati kemudahan ini. Saya kira, pusat ini menepati elemen perkhidmatan kerajaan yang tidak hanya tertumpu kepada satu kaum atau penganut agama tertentu.

“Ini terbukti apabila PPKMS diumumkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Jabatan Perdana Menteri kategori Bukan ICT dalam Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2015 lalu,” katanya.