Ini dan banyak lagi kata hamburan, caci maki, sindir dan tempelak oleh mereka yang menghubungi para pegawai pusat panggilan di talian zakat 1300-88-5757 saban hari. Belum lagi emel yang dihantar apatah lagi kecaman bertubi-tubi di media sosial.

Ya, luka di kulit terasa pedih. Namun luka hati daripada ketajaman dan hirisan kata-kata yang menyihir ketenangan jiwa itu lebih parah dan menyakitkan. Bayangkan semua itu dalam keletihan berpuasa dan kemudiannya emosi yang tercalar itu akan turut ‘menemani’ dan ‘menghantui’ minda tatkala pulang ke rumah bersama keluarga.

Namun, semua itu seolah-olah dirawat tatkala membaca firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 164:

“Hai orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu (zakat) dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian.

“Perumpamaan orang itu adalah seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang kafir.”

Selari dengan itu, Nabi SAW bersabda:

“Tiga orang yang tidak akan diajak bicara, tidak dilihat, dan tidak disucikan oleh Allah pada hari kiamat. Bahkan bagi mereka seksa yang pedih. Pertamanya al-Musbil (memanjangkan kain sampai di bawah buku lali kerana sombong), al-Mannan (orang yang mengungkit-ungkit atau menyebut-nyebut pemberian) dan orang yang melariskan barang dagangannya dengan sumpah palsu,” - Riwayat Muslim.

BUKAN BAHASA ORANG BERIMAN

Meminjam nota tafsir dan tadabbur daripada sahabat saya, Abdullah Bukhari bahawasanya cacian, makian, ejekan dan sindiran tajam tidak dikategorikan sebagai bahasa orang yang beriman. Nabi Nuh a.s. misalnya diejek tatkala mula membina bahtera dengan kata-kata: “Apakah kamu wahai Nuh telah bertukar menjadi tukang kayu setelah mendapat gelar seorang Nabi? Sudahlah begitu, bahtera pula dibina di daratan!”

Bukan itu sahaja episod ejekan ini berulang acap kali pada zaman Nabi Muhammad SAW antaranya tatkala sebahagian para sahabat berlumba memberikan sedekah ketika peperangan Tabuk. Tatkala yang kaya memberi bantuan dikatakan riyak dan menunjuk. Bila yang miskin membawa secupak kurma diremehkan pula dengan mengatakan Allah tidak memerlukan sedekah picisan sebegitu rupa.

Lantaran itu, Allah sendiri membalas segala sindiran mereka itu dengan firman-Nya dalam Surah al-Taubah ayat 79:

“(Orang munafik itu) adalah orang yang mencela orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang yang tidak memperoleh sesuatu (untuk disedekahkan) selain sekadar kesanggupannya. Lantaran itu, orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu, dan disediakan bagi mereka azab yang pedih.”

Lihatlah betapa Allah sendiri mengungkapkan mereka yang suka mengeji ini dengan istilah kemunafikan. Malangnya ia berlaku dalam kalangan mereka yang punya keinginan untuk melaksanakan tuntutan agama dengan berzakat, namun malangnya tercemar dengan maksiat lidah dan kebiadaban tutur kata.

Sudahlah begitu, apabila mahu dijelaskan dan diberi penerangan, ramai yang membentak dan meninggikan suara dengan amarah yang ditaati dan disembah.

Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 16 menjelaskan fenomena ini:

“Wujud di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar daripada sisimu orang berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): “Apakah yang dikatakannya tadi?” Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka”

Kasihan, mereka yang kerap melakukan perkara ini bukanlah daripada golongan marhaen ataupun yang dianggap tidak berpendidikan juga bukan terencat akal fikiran. Semuanya daripada latar belakang pendidikan yang hebat dan rata-rata punya kemewahan. Sayang, Ramadan yang berlalu tidak mampu ditekuni dan diinsafi lantas digagalkan daripada upaya menundukkan keegoan diri dalam mentaati Ilahi.

MULUT JUGA PUNYA ‘ZAKATNYA’

Ramadan punya kaitan dengan menjaga lidah dan mulut. Ramadan juga berkait dengan zakat. Zakat ini maksudnya bersih, suci dan berkat. Ada hikmahnya tatkala Nabi SAW mengungkapkan bahawasanya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih ‘harum’ daripada wanginya kasturi di sisi Allah.

Namun, apakah sebenarnya yang mengharumkan’ mulut itu? Ia bukan pewangi atau penyegar. Ia adalah dengan tilawah, zikir dan istighfar juga dengan berkata yang baik atau membuat pilihan untuk berdiam diri jika tiada perkataan atau kalimah yang baik boleh dituturkan. Hanya kemurnian bicara mampu membersihkan, menyucikan dan menambah berkat pada anggota bernama lisan.

Mulut itu juga punya ‘zakatnya’ (penyuciannya). Kadarnya ialah tahu had bicaranya. Bersihnya mulut itu bila indah tutur katanya. ‘Nisabnya’ (had berhenti) sampai bila mula mencaci dan memaki. Malang sekali ‘haulnya’ bermula di bulan Ramadan yang mulia.

Daripada Abdullah bin ‘Amru r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu punya satu bilik yang mampu dilihat dari luar akan dalamnya dan begitulah juga dari dalam akan luarnya.” Abu Musa al-Asy’ari r.a bertanya : Milik siapakah bilik di dalam syurga itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Ia menjadi milik bagi sesiapa yang memperelokkan tutur bicaranya, memberi makan kepada manusia dan bangun malam tatkala manusia semuanya lena.” - Riwayat Imam Ahmad dan Ibn Hibban.