Namun, keagungan Allah SWT membuktikan sebaliknya. Dua wilayah tanah kenabian itu kini subur dengan tumbuh-tumbuhan menghijau dan pembangunan yang pesat membangun, malah menjadi tumpuan seluruh dunia.

Ulama berpendapat keajaiban itu kerana kedua-dua Tanah Suci itu adalah kawasan di mana diturunkan mukjizat terbesar bagi seluruh umat manusia iaitu al-Quran.

Begitu juga, bulan Ramadan dimuliakan oleh Allah berbanding bulan lain dengan menyediakan pelbagai kelebihan sehingga terdapat padanya satu malam yang bersamaan 1,000 bulan.

Perkara itu juga berikutan al-Quran diturunkan oleh Allah dari Lohmahfuz ke Baitul Izzah iaitu di langit dunia pada Ramadan.

Firman Allah maksudnya: “Bulan Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia…” (Baqarah: 185)

Menjelaskan perkaitan itu, Penasihat #QuranHour, Safiri Muhammad Zein berkata, setiap perkara yang bersangkutan dengan al-Quran akan dimuliakan oleh Allah dan seluruh makhluk di muka bumi.

Malah beliau berkata, walaupun merupakan rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW dimuliakan oleh Allah dengan diangkat sebagai penghulu segala nabi dan rasul.

Perkara itu tambahnya kerana Nabi Muhammad SAW merupakan utusan Allah yang diturunkan kepadanya kitab al-Quran sebagai panduan dan petunjuk umat manusia sehingga Hari Kiamat.

Oleh itu, menurutnya, tidak ketinggalan setiap manusia khususnya umat Islam juga boleh memperoleh kemuliaan di sisi Allah menerusi al-Quran.

“Jika tempat, masa dan individu yang diutuskan semuanya dimuliakan Allah kerana mempunyai kaitan dengan al-Quran, begitu juga bagi umat Islam yang mengalir di dalam darah tubuh mereka dengan mukjizat agung tersebut.

“Mereka ini juga pasti akan dimuliakan oleh Allah dengan apa sahaja cara yang kita tidak sedari.

“Caranya bukan sahaja membaca al-Quran, tetapi setiap umat Islam perlu mentadabbur dengan memahami dan menghayati setiap kalimah tertera di dalam al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Breakfast Talk #QuranHour: Interaksi Surah Yasin dan Kemerdekaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Penasihat Modul Rumah Ngaji, Fazrul Ismail dan qari terkemuka negara, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman selaku Penasihat Merdeka #QuranHour.

Safiri berkata, bukan sahaja pada peringkat individu, malah mencapai darjat kemuliaan Allah juga dapat dibentuk ke tahap lebih meluas iaitu negara.

“Bersempena hari kemerdekaan yang bakal disambut serentak dengan World #QuranHour pada 31 Ogos ini, kita perlu memanfaatkan hari kebebasan tersebut dengan penghayatan roh al-Quran.

“Merdeka bermaksud dapat melakukan apa sahaja dengan bebas untuk mencapai sesuatu matlamat yang baik atau sampai destinasi tanpa halangan.

“Dalam konteks ini, Rasulullah diutuskan dengan membawa al-Quran sebagai panduan menunjukkan jalan lurus kepada kita bagi mencapai destinasi iaitu syurga Allah.

“Oleh itu, hari kemerdekaan yang diisi dengan penghayatan al-Quran juga insya-Allah akan mengangkat negara menjadi lebih mulia dan disegani,” ujarnya.

YASIN ‘PENAWAR’

HATI MATI

Tidak henti-henti dilaporkan, keruntuhan akhlak, gejala sosial dan pelbagai masalah moral manusia termasuk dalam kalangan umat Islam dilihat bagaikan tiada noktah akhir.

Safiri berkata, jelas dinyatakan dalam al-Quran, hal ini berlaku adalah disebabkan oleh hati manusia yang telah mati.

Memberi penyelesaian terhadap kemelut tersebut, al-Quran juga, katanya, menyediakan pintu keluar sebagai panduan kepada manusia memperbaiki diri dan membentuk hati.

Ia sebagaimana dinyatakan dalam Surah Yasin ayat 12 maksudnya: “Sesungguhnya Kami menghidupkan orang yang mati dan Kami tuliskan apa yang telah mereka kerjakan serta kesan-kesan yang mereka tinggalkan. Dan ingatlah segala sesuatu Kami catatkan dalam kitab yang nyata.”

“Dalam Surah Yasin merangkumi tiga cabang ilmu utama iaitu akidah, fikah dan sejarah yang perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Malah, terkandung juga bagi setiap huruf, kalimah dan ayat dalam surah ini mukjizat daripada Allah.

“Sebagai contoh, dengan membaca huruf awal iaitu ‘Ya Sin’ sahaja dapat membuatkan hati orang yang mendengar atau pembacanya akan berasa tenang dan damai jika benar-benar dihayati.

“Namun malangnya, penghayatan terhadap ayat-ayat al-Quran semakin hilang, umat Islam sekadar membacanya pada hari atau majlis tertentu tanpa memahami inti pati di dalamnya, justeru tidak hairanlah pelbagai masalah akidah dan akhlak berlaku,” jelasnya.

Sehubungan itu beliau menyarankan setiap keluarga atau isi rumah umat Islam perlu berinteraksi dengan al-Quran sekurang-kurangnya satu kali setiap hari dengan memahami panduan sebenar diajarkan terutama menerusi Surah Yasin.