Perihal baju dan kuih raya pun nak diulas? Mungkin itu tanggapan sesetengah pembaca, namun kita perlu ingat sebarang kezaliman terhadap hak orang lain wajib dibendung walaupun ia bernilai sekadar separuh biji kurma.

Sabda Rasulullah SAW: “Jaga dan takutlah (azab) neraka walaupun dosanya sekadar separuh biji kurma,” - Sahih Bukhari.

Kezaliman terhadap hak orang adalah sesalan yang mahu ditebus manusia di akhirat kelak, namun apakan daya masa tebusan sudah jauh berlalu.

Firman Allah: “Dan sekiranya orang zalim itu mempunyai segala apa jua yang ada di bumi, disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri mereka dengannya daripada azab seksa yang buruk pada hari kiamat, setelah jelas nyata kepada mereka daripada (hukum) Allah, azab yang mereka tidak pernah fikirkan,” (al-Zumar 39:47).


PAHAT MASIH BERBUNYI!

Walaupun ‘rumah Aidilfitri’ sudah hampir sebulan siap dibina, banyak sungguh kedengaran bunyi pahat dipalu oleh pelbagai pihak sama ada pembekal atau pelanggan. Pembekal kuih raya resah melihat timbunan tempahan yang tidak diambil atau belum dijelaskan bayarannya. Para tukang jahit juga mengeluh kerana baju yang ditempah tidak dikutip. Ada yang diambil tapi bayarannya hanya janji manis air liur. Hasrat berniaga untuk sesuap nasi sempena hari raya bertukar menjadi letih yang tak dibayar.

Bila melihat situasi ini, sifat cakna Rasulullah SAW kepada pekerja akan kita hargai.

Sabda Baginda SAW: “Berikan upah kepada orang yang diupah (pekerja) sebelum kering peluhnya,” - Sunan Ibnu Majah.

Pesanan Baginda itu seiring dengan firman Allah SWT dalam sebuah hadis Qudsi:

“Nabi SAW bersabda bahawa Allah berfirman: “Ada tiga jenis manusia yang Aku (sendiri) akan dakwa (serta musuhinya) pada hari kiamat, iaitu:

1. Orang yang bersumpah dengan nama-Ku (nama Allah) lalu dia langgar (sumpah tersebut)

2. Orang yang menjual manusia merdeka kemudian makan hasil jualannya (kerana manusia merdeka tak boleh dijual)

3. Orang yang mengupah seseorang untuk melakukan sesuatu kerja, lalu yang diupahnya menyempurnakan kerjanya, tetapi si pengupah tetap tidak membayar upahnya,” - Sahih Bukhari.


PATUHI AKHLAK ISLAM


Selain itu, pihak yang menerima tempahan juga perlu diingatkan agar tidak menzalimi pelanggan. Bayaran pelanggan adalah untuk kerja yang dijanjikan dengan spesifikasi tertentu. Jika baju yang ditempah untuk saiz dewasa, janganlah pula pelanggan menerima pakaian bersaiz ‘remaja’. Tidak kurang, ada juga tukang jahit yang tamak menerima tempahan, walaupun kaki tangan tak mampu berlari seiring dengan kehendak pelanggan.

Akibatnya, pelanggan terpaksa membayar baju raya yang hanya siap ‘lama’ selepas musim raya. Bahkan ada yang culas tak mahu memulangkan wang deposit pelanggan, walaupun gagal melangsaikan tempahan seperti yang dijanjikan.

Waspadalah dengan amaran Nabi SAW ini: “Tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila bercakap dia (senang) berdusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah (untuk sesuatu urusan) dia khianati,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Saranan dan amaran daripada semua hadis di atas sebenarnya melambangkan akhlak Islam. Apa guna galak berhari raya tetapi:

  • Merosakkan nama agama dengan akhlak buruk dan penindasan hak orang lain?
  • Gaya yang anda peraga dan kecapan manis lidah menyantap biskut pada hari raya lepas adalah ‘hak peluh’ orang lain.
  • Poket kembung mengutip hasil bayaran pelanggan tanpa menepati akad jual beli yang disepakati bersama adalah dosa yang pasti diaudit di akhirat kelak.

PEDOMAN BERSAMA

Semoga rencana ini mampu menyedarkan semua pihak yang terlibat. Jika ada terguris amal mengambil hak orang atau sebaliknya, segeralah rawat kerana kita masih boleh selesaikan semuanya ketika nyawa masih dikandung badan.

Inilah juga pesanan Rasulullah SAW, insan yang bertanggungjawab membawa nikmat hari raya kepada kita semua:

“Sesiapa yang melakukan kezaliman kepada saudaranya yang melibatkan maruah atau apa sahaja (hak temannya), maka mohonlah halal (ampunan daripadanya semasa di dunia ini sebelum sampai waktu (kiamat) yang dinar atau dirham tidak mampu menebus. Sebaliknya jika dia (penzalim temannya) memiliki amal soleh (sedikit kebaikan), ia akan diambil (untuk diberikan kepada mangsanya) pada kadar kezaliman yang dia lakukan. Jika dia tidak memiliki kebaikan, kejahatan mangsanya akan diambil lalu dipikulkan kepadanya,” - Sahih Bukhari.

Dalam hadis lain, Baginda turut mengingatkan amaran yang jauh lebih keras:

“Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kalian siapakah orang yang muflis? Para sahabat menjawab: Orang yang muflis dalam kalangan kami adalah yang tidak miliki dirham atau harta. Rasulullah menyambung: Orang yang muflis daripada umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat membawa pahala solat, puasa dan zakat, namun dia juga bawa dosa kezaliman. Dia pernah cerca si ini, tuduh tanpa bukti si ini, makan harta si anu, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang itu.

“Maka sebagai tebusan atas kezalimannya, kebaikannya diberi kepada si ini, si anu dan si itu. Apabila kebaikannya habis dibahagikan kepada orang yang dizaliminya sedangkan kezalimannya belum tertebus, diambil pula kesalahan yang dimiliki oleh orang yang dizaliminya lalu ditimpakan kepadanya, kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka,” - Sahih Muslim.

Bergembira pada hari raya adalah saranan agama, namun jangan sampai kezaliman kita pada hak orang lain menyebabkan kita muflis akhirat.

Alangkah sedihnya jika musibah akhirat itu berlaku hanya kerana sebalang biskut raya atau sepasang baju raya. Mohon dijauhkan Allah!