Ini kerana misi yang merupakan program penutupan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu pada 2017 disifatkan agak berisiko kerana dilaksanakan pada waktu kemuncak musim tengkujuh.

Pengurus Pembangunan Program YAK, Nor Azhar Mohamed berkata, sehinggakan syarikat-syarikat pembalakan di pedalaman turut tidak beroperasi pada musim berisiko tersebut.

“Kami dah tahu bakal menghadapi situasi tidak tentu di pedalaman terutama semasa dalam perjalanan. Maka persediaan telah dibuat dan setiap pasukan bersedia dengan kelengkapan rapi jika menghadapi situasi sukar sepanjang perjalanan.

“Alhamdulillah, walaupun cuaca tidak menentu ditambah pula perjalanan setiap pasukan banyak terganggu disebabkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan teknikal tetapi kami masih dapat menjalankan aktiviti bersama penduduk selain serahan kit sumbangan banjir,” katanya.

PERJALANAN MENCABAR

Monsoon Trail 2017 turut mendapat kerjasama rakan sinergi kelab pacuan empat roda dan NGO lain ke perkampungan Orang Asli di laluan Route O sejauh 150 kilometer laluan balak, iaitu antara laluan perkampungan Orang Asli paling terpencil dan mencabar di Semenanjung Malaysia.

Menurut Nor Azhar, ekspedisi bermula dari pekan kecil dalam daerah Gua Musang, Kuala Betis sebelum memasuki ladang kelapa sawit dan ladang getah untuk tiba di pos pertama iaitu Pos Hau seterusnya Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai.

“Istimewanya ekspedisi ini juga berjaya menjejaki dan membawa sumbangan ke Kampung Sempadek di Pos Belatim yang merupakan kampung paling pedalaman boleh diakses kenderaan 4x4 dalam Route O tersebut.

“Sebanyak 75 buah kenderaan pacuan empat roda berbagai model dengan seramai 200 orang sukarelawan berganding bahu membawa lebih 400 kit bantuan musim tengkujuh di kawasan pedalaman kepada 400 keluarga Orang Asli di beberapa perkampungan terpilih sepanjang laluan.

“Ekspedisi ini tidak akan berjaya tanpa bantuan dan tajaan daripada orang ramai, pihak kerajaan dan swasta seperti Affin Islamic Bank, Jabatan Kemajuan Orang Asli, kelab D’Harung 4X4 Adventure Team, T6 Ranger Malaya, Pinzgauer Owner Malaysia, Rescue Adventure Team, Yetza Garage, Rich Knowlegde, IMAM Response and Relief Team, dan Malaysian Relief Agency Kelantan,” ujarnya.

Selain aktiviti memberi kit kemanusiaan berbentuk keperluan dapur kepada golongan sasar, pelbagai aktiviti lain diadakan untuk mengisi slot program seperti rawatan kesihatan dan perubatan, sukaneka dan modul bersama penduduk kampung dan kanak-kanak.