Baru-baru ini beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan berganding bahu dalam misi mengedarkan al-Quran termasuk yang mempunyai terjemahan ke kawasan pedalaman Sabah.

Antara objektif utama misi berkenaan ialah menyampaikan wakaf al-Quran kepada mualaf dan pelajar tahfiz negeri Sabah, sekali gus menunaikan amanah pewakaf bagi membolehkan mukjizat Rasulullah SAW itu dimanfaatkan oleh mereka yang betul-betul memerlukan.

Misi itu juga bertujuan menyantuni mualaf dan pelajar tahfiz di Sabah yang semakin bertambah serta mendapatkan maklum balas mengenai pelbagai keperluan yang diperlukan.

FAKTOR PEMILIHAN LOKASI

Lokasi–lokasi yang dipilih adalah kawasan minoriti Islam. Diharapkan agar al-Quran dapat dijadikan panduan bagi menjaga pegangan akidah mereka.

Selain itu, surau dan sekolah persendirian yang mendapat bantuan daripada kerajaan juga dipilih. Bekalan al-Quran dan terjemahannya didapati amat berkurangan.

Kebanyakan lokasi yang dikunjungi baru dibina dalam tempoh masa tiga tahun ke bawah. Justeru, banyak kekurangan dari segi kemudahan dan kewangan. Bagi meringankan bebanan, Amin Assadaqat dan sahabat-sahabat NGO sepakat untuk meninjau peluang lain untuk bersedekah seperti buku asas fardu ain dan muqaddam.