Bagi 24 pelajar dari Politeknik Tuanku Bahiyah, Kulim, Kedah, aktiviti membantu masyarakat Orang Asli di pedalaman Sungai Siput, Perak, bukan sahaja meninggalkan khidmat bakti kepada masyarakat Orang Asli tetap membawa pengalaman yang sangat berharga untuk diri mereka sendiri.

Program Amal Masih Ada Yang Sayang di Kampung Pisang, Jalong Tinggi, Sungai Siput (U), Perak baru-baru ini, ternyata memberikan pengalaman yang menarik kepada 24 pelajar dan 10 pensyarah pengiring.

Pengarah programnya, Shafarizan Saedan berkata, program yang dianjurkan pelajar institut pengajian tinggi, Politeknik Tuanku Bahiyah itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada mereka tentang kehidupan masyarakat Orang Asli tetapi menggunakan kemahiran kemahiran yang dipelajari di politeknik.

“Pelajar yang terlibat ini dari jurusan Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Mekanikal, kehadiran mereka sememangnya dialu bagi membantu dalam memberi idea-idea baharu untuk membaiki kemudahan asas yang semakin uzur di kampung ini.

“Antaranya ialah membaiki pagar surau yang roboh, membaiki dan menambah paip air serta membaiki tandas surau, membaiki peralatan pengendalian dawai di balai Sewang dan juga rumah penduduk,” katanya.

Selain itu, mereka juga menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk membaik pulih lantai balai Sewang, dan membuat perabot seperti meja dan kerusi untuk penduduk.

Menurut Shafarizan, program tiga hari dua malam itu dianjurkan oleh Kembara At-Taqwa bagi menyantuni warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) dengan aktiviti seperti merawat, mengunjungi warga emas serta beramah mesra.

“Pelajar ini juga dikehendaki mendekati warga emas serta melayan mereka seperti ibu bapa sendiri dengan menyuap makanan kepada warga emas agar mereka merasai disayangi,”katanya.

Selain itu, pelajar wanita pula membawa kanak-kanak lelaki dan perempuan ke sungai yang berdekatan untuk membasuh rambut dengan ubat kutu dan diikuti dengan syampu rambut berubat.

“Terima kasih kepada penyumbang yang menjayakan program ini seperti Ed Scuba dari Kuala Lumpur, Malaysian4Wheeler, Adabi Malaysia dan orang perseorangan yang telah bermurah hati untuk menaja beberapa barangan termasuk 50 kampit beras.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Tuanku Bahiyah, Kamal Irfan Hasbullah,berkata, tujuan asal program ini ialah untuk memberi pendedahan pelajar kejuruteraan untuk mempraktikkan apa yang mereka pelajari di politeknik.

“Dengan cara ini, selain program khidmat sosial masyarakat, mereka juga berdepan dengan situasi bekerja yang sebenar.

“Sebelum ini, pihak politeknik juga pernah membuat kerja khidmat sosial yang lain seperti membina rumah untuk mangsa banjir di Pantai Timur beberapa tahun yang lalu,” katanya.

Menurut Kamal, aktiviti khidmat sosial masyarakat di Perak itu diselitkan dengan aktiviti menyantuni warga emas, kanak-kanak dan OKU dalam masyarakat Orang Asli.

“Pelajar juga mengadakan lawatan dari rumah ke rumah sambil menyampaikan sumbangan yang disumbangkan oleh orang ramai,” katanya.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh, Pengarah Politeknik Tuanku Bahiyah, Kulim, Kedah, Mej. (K) Mohd. Noor Shahudin.