Inilah yang menjadi pegangan komuniti Muslim di wilayah Nakhon Si Thammarat, Selatan Thailand. Walaupun penduduk Muslim hanya sekitar 10 peratus daripada 1.6 juta penduduk, perkembangan Islam sentiasa segar.

Buktinya, bukan hanya lebih 100 buah masjid sekitar wilayah itu diiktiraf oleh kerajaan bahkan lebih unik lagi, sebuah pusat pengajian Islam, Pondok Ban Tan, berupaya hidup subur sejak 80 tahun lalu.

Keunikan pondok yang diasaskan oleh bekas Menteri Luar Thailand, Allahyarham Tan Sri Surin Pitsuwan (nama Islam, Abdul Halim Ismail) itu telah menarik minat sekumpulan warga kerja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Kunjungan atas nama Kembara UKM-Pondok Bantan diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman dan disertai lebih 100 warga kerja UKM.

Namun bagi Mohd. Ekhwan, matlamat utama kunjungan lima hari bermula 14 Mac lalu itu bukan untuk melihat aspek sistem pengajian dan kemudahan yang ada di pondok tersebut.

Ini kerana, katanya, aspek pembelajaran dan pengajaran serta kejayaan pendidikan pondok berkenaan bukan lagi suatu yang asing.

Tetapi beliau dan delegasi UKM itu ingin menyelami bagaimana ajaran dan nilai Islam dibawa oleh pondok berkenaan diterima pakai oleh rata-rata komuniti Muslim dan tempias keberkatannya turut dirasai oleh komuniti bukan Islam.

“Saya tidak fikir sesuatu yang mudah bagi seorang penganut agama Islam mengusahakan pondok pengajian agama dan pada masa sama turut menganggotai Kabinet di negara bukan Islam.

“Maknanya, apa dilakukan oleh Surin sekeluarga dan pelajarnya sejak 80 tahun lalu menyebarkan mesej Islam cukup disenangi oleh masyarakat bukan Muslim di wilayah berkenaan,” katanya.

Program disertai pensyarah, doktor perubatan, kakitangan, pelajar dan UKM Bikers itu turut mengadakan aktiviti khidmat sosial seperti gotong royong, pemeriksaan kesihatan kalangan warga emas, berkhatan beramai-ramai dan forum agama.

Mohd. Ekhwan percaya aktiviti sepanjang program itu antara peluang kepada delegasi UKM melihat sendiri bagaimana ajaran Islam yang digerakkan oleh Pondok Bantan selama ini berjaya mewujudkan kehidupan harmoni di wilayah tersebut.

“Apa yang saya boleh lihat adalah keharmonian tersebut membolehkan kehidupan sosio ekonomi masyarakat di wilayah itu tidak dibatasi oleh sempadan agama atau kepercayaan tertentu,” katanya.