Ia bertanggungjawab menguruskan aset, hartanah dan pelaburan MAINS dengan meningkatkan kecekapan pengurusan, sekali gus meningkatkan pendapatan untuk disumbangkan kepada sumber am majlis tersebut.

Pengurus Besar MHSB, Azrul Kamarudin berkata, skop syarikat itu meliputi pengurusan kutipan sewaan, penyelenggaraan dan pembangunan projek.

Katanya, MHSB juga berperanan memantapkan pengurusan hartanah MAINS dan memastikan pembangunan projek yang melibatkan institusi keagamaan dan pelaburan hartanah di Negeri Sembilan dilaksanakan dengan lancar serta mencapai hasrat yang dikehendaki.

“Keuntungan yang diraih daripada aktiviti itu diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat, sekali gus meningkatkan pencapaian ummah secara keseluruhannya,” katanya kepada Mega Mimbar di pejabatnya baru-baru ini.

Bawah MHSB, sebanyak empat cabang ditubuhkan iaitu MAINS Hotel Sdn. Bhd., MAINS Urusharta Sdn. Bhd., Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan (PWNS) dan Pusat Kaunseling MAINS.

Bermula pada 2013, PWNS berkembang dengan pertambahan jumlah kakitangan dan pengenalan kepada pelbagai produk serta perkhidmatan wakaf.

Antara beberapa produk, perkhidmatan dan pembangunan wakaf yang sediakan oleh PWNS ialah Skim Wakaf Tunai, Wakaf Harta, Bazaar Wakaf serta Wakaf Mart, dan Klinik, Pusat Dialisis Waqaf An-Nur.

Dalam usaha mengoptimumkan hasil tanah MAINS yang berpotensi dibangunkan dalam bandar, Azrul berkata, MHSB telah membina bangunan pejabat empat tingkat di tengah-tengah bandar Seremban untuk disewakan, sekali gus memberi hasil sewaan secara berterusan kepada MAINS.

Tambahnya, selain menguruskan lot bangunan, pejabat, kedai, kediaman, MHSB juga mengendalikan pajakan kuari sebagai sumber pendapatan.

Katanya, pada masa ini, sebanyak dua buah syarikat sedang mengendalikan kuari, masing-masing seluas 24 dan 28 hektar di Mukim Labu dekat Seremban sejak 1992 dan 2008.

Jelasnya, MHSB memiliki antara kuari agregat terbesar di Negeri Sembilan dengan mencatatkan pendapatan tahunan berjumlah sekitar RM2.147 juta.

“Aktiviti perniagaan kuari dan ladang telah menyumbang kepada sumber am MAINS yang boleh digunakan untuk membantu rakyat di negeri ini.

“Sumber am tersebut bukan saja digunakan untuk menyejahterakan rakyat tetapi membangunkan modal insan,” katanya.

Perusahaan itu bukan sekadar untuk menjana pendapatan, malah yang lebih penting ia dapat memperkukuh ekonomi umat Islam.

Azrul memberitahu, MHSB juga mengendalikan aktiviti pajakan ladang kelapa sawit seluas 520 hektar di Air Kuning dekat Tampin, 290 hektar di Kenaboi dekat Jelebu, 266 hektar di Serting dan 1,336 hektar di Jelai dan Gemencheh juga di Tampin.