Saya terkejut besar setelah mendengar pengakuan kawan saya, Zulkarnain Hasan Basri, orang Perak yang sudah 20 tahun tinggal di Kobe, Jepun. Beliau berkahwin dengan orang Jepun dan mendapat status penduduk tetap di sana. Antara aktiviti beliau di Jepun adalah membawa dakwah Islam kepada penduduk tempatan.

Dalam banyak situasi, orang Islam kalah dengan ‘akhlak Islam’ yang sudah dimiliki orang Jepun dengan budaya tinggi dan disiplin mereka. Oleh itu, para pendakwah di Jepun perlu mencari ramuan lain bagi memperkenal Islam kepada mereka.

Berdasarkan pengalamannya, Zulkarnain dapati pendekatan paling berkesan dalam dakwah kepada orang Jepun adalah dengan menggunakan al-Quran.

Apabila kehebatan isi kandungan al-Quran dibentangkan kepada orang Jepun yang datang menemuinya di Masjid Kobe, bulu roma sesetengah mereka segera tegak berdiri. Mengapa hanya dengan mendengar ayat al-Quran bulu roma manusia mampu tegak berdiri?


MEREMANG KERANA TAKUT ATAU TAKJUB?

Fenomena meremang bulu roma biasa berlaku ketika manusia berasa takut atau kagum melampau akan sesuatu. Banyak kita dengar reaksi manusia yang terbakar semangat dengan remangan bulu roma ketika mendengar pidato luar biasa sesetengah tokoh atau dendangan merdu sesetengah penyanyi. Itu baru suara luar biasa manusia! Bayangkan apa akan jadi jika yang berbicara itu adalah Tuhan semesta alam Pemilik segala keagungan?

Fenomena ini adalah tindak balas semula jadi manusia yang tersentuh hati jantungnya dengan isi al-Quran. Ia memang disebut dalam al-Quran:

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan (setara) isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) ‘kulit badan orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram (meremang); kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah’. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya,” (al-Zumar [39:23]).


ILMU AL-QURAN UMPAMA LAUTAN

Subhanallah! Ayat ini selalu saya baca dan ulas tafsirnya, tapi tak pernah bertemu secara terus orang yang pernah merasai ‘remangannya’. Pertemuan dengan Zulkarnain pada Rabu, 25 Oktober lalu telah membuka satu sudut tafsir praktikal untuk saya dan kita semua. Inilah bukti kehebatan al-Quran, ia seumpama lautan dalam penuh khazanah berharga dan bermutu tinggi.

Para pembaca, pengkaji dan peminat al-Quran pula seumpama sekumpulan nelayan yang memancing isinya. Para pemancing memperoleh hasil laut yang berbeza rupa, jenis dan khasiat. 

Bagi menyempurnakan menu yang datang dengan berbagai zat dan vitamin, para pemancing perlu terbuka dan pandai berkongsi hasil tangkapan. Dengan cara ini kehebatan isi laut akan benar-benar memberi manfaat sejagat buat semua.


JANJI BERIMAN KEPADA ALLAH

Dalam satu sudut lain, kisah remangan bulu roma di atas bagi saya menjadi ‘tombol pintu hidayah’ yang mengingatkan bahawa betapa kita semua sebenarnya pernah berjanji untuk bertuhankan Allah.

Apabila telinga atau mata menangkap kalam Tuhan, jiwa segera tersentuh menghasilkan tindak balas pada kulit sambil hati jantung berkata! Inilah dia ‘Tuhan’ yang aku cari selama ini.

Perhatikan firman Allah ini:
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” (al-A’raf [7:172]).

Ayat ini mengingatkan bahawa kita sebenarnya pernah mengikat ‘janji iman’ dengan Allah lama dahulu di alam roh sebelum kita tercampak ke dunia ini. Semoga kisah dari Jepun ini membuka mata hati agar kita sentiasa berdamping dengan al-Quran dan menggali isinya secara ‘baca, faham dan amal’.

Biar selepas ini kulit dan bulu roma kita segera meremang naik kerana kagum dan takut kepada kehebatan Allah. Mudah-mudahan ia akan menjadi saksi iman kita kepada Allah di akhirat kelak, Insya-Allah!