Laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra sudah pasti tidak akan terpadam daripada lipatan sejarah negara dan sentiasa diperingat setiap kali negara menyambut ulang tahun kemerdekaan, sekali gus menaikkan semangat kecintaan terhadap negara bertuah ini.

Enam dasawarsa merdeka adalah tempoh singkat berbanding dengan 446 tahun negara dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Tentulah dalam tempoh yang begitu lama kesan penjajahan itu agak sukar untuk dihapuskan walaupun setelah merdeka. Namun itu bukanlah alasan untuk tidak membebaskan diri daripada minda penjajah itu.

Kemajuan negara berbanding zaman sebelum merdeka amatlah ketara. Untuk itu sekalung tahniah diucapkan kepada setiap rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berusaha membangunkan negara, begitu juga kerajaan yang memacu kemajuan negara sehingga disegani di setiap pelosok dunia.

Namun dalam menikmati kebebasan ini terdapat beberapa aspek yang mana kita masih terus ‘dijajah’ khususnya dari aspek perundangan.

Kebergantungan Mahkamah Sivil di Malaysia terhadap undang-undang lazim (common law) Inggeris melalui Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 masih lagi merupakan aspek penting dalam penghakiman di mahkamah walaupun negara telah merdeka. Kita masih lagi meminggirkan budaya, adat resam, norma lazim dan agama dengan mengimport tatabudaya yang begitu asing dalam undang-undang kita iaitu undang-undang lazim Inggeris.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz pernah menyarankan supaya undang-undang lazim Malaysia digarap dan menyuntik elemen undang-undang serta jurisprudens Islam. Ia ditambah pula dengan kenyataan tegas bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa undang-undang syariah adalah undang-undang terbaik.

Malah Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika ini, tidak pernah menolak untuk mengarusperdanakan undang-undang Islam. Kenyataan tokoh- tokoh kehakiman dan perundangan ini merupakan manifestasi betapa perlunya undang-undang Islam dilaksanakan di Malaysia. Tambatan kepada undang-undang Inggeris ini perlu dihentikan dan keutamaan kepada prinsip undang-undang Islam yang lebih mencerminkan kehendak majoriti rakyat Malaysia direalisasikan.

KUMPULAN JAHIL KEBENARAN

Namun golongan ultra sekular yang tidak menelusuri hakikat sejarah negara Malaysia menentang kenyataan yang dinyatakan di atas. Tentangan sebegini seolah-olah mahu membawa negara kepada era prakemerdekaan. Mereka masih mengutamakan norma dan budaya penjajah berbanding budaya masyarakat tempatan. Jelaslah kongkongan pemikiran penjajah masih amat menebal dalam diri dan menolak budaya arus perdana rakyat Malaysia.

Sikap ini sebenarnya timbul akibat kedangkalan ilmu undang-undang Islam yang adil tanpa mengira bangsa dan agama. Undang-undang Islam adil bukan hanya kepada manusia malah kepada sekalian alam semesta. Perkara ini dapat dilihat umpamanya dalam undang-undang Islam yang begitu mengambil berat tentang pemeliharaan alam sekitar dan tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar.

Undang-undang Islam lebih mementingkan aspek tanggungjawab manusia manakala undang-undang Barat seperti undang-undang Inggeris pula lebih mengutamakan hak. Itulah sebabnya golongan ini terlalu mementingkan hak asasi manusia berbanding dengan tanggungjawab asasi manusia.

Mereka begitu angkuh terhadap Pencipta dan menuntut pelbagai hak tanpa melunaskan tanggungjawab mereka terlebih dahulu. Natijahnya, masyarakat menjadi terlalu mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawab bersama. Masyarakat juga menjadi terlalu individualis dan tidak memandu kudrat bagi mempertahan identiti dan sahsiah diri.

Sikap tidak menyenangi orang Islam mengamalkan agama mereka secara sepenuhnya adalah berpaksikan kepada ketidakfahaman tentang ajaran Islam dan kekeliruan berhubung dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada siapapun boleh mempertikai kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan. Apa yang diusahakan oleh orang Islam sekarang hanya untuk mengembalikan Islam pada kedudukan sebenar sebagaimana sebelum penjajahan.

Tiada alasan pula bagi orang bukan Islam untuk gusar sekiranya orang Islam melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya kerana Islam menjamin kebebasan beragama. Sejarah termaktub bahawa Islam tidak pernah disebarkan secara paksaan. Malah jaminan kebebasan beragama dalam Islam adalah lebih luas aspeknya berbanding dengan apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelahiran golongan ultra sekular pada saat negara sudah berusia 60 tahun adalah fenomena yang amat dikesali. Keterbukaan para pemimpin negara masa ini dalam isu-isu sensitif tidak sepatutnya dimanipulasi sehingga memijak keluhuran dan kedaulatan Islam di Malaysia.

TOHMAHAN JAHAT

Golongan ini juga seolah-olah menggambarkan kumpulan yang mahukan Islam adalah pihak yang menolak undang-undang dan antiperpaduan. Pelbagai tohmahan dilemparkan termasuk menuntut pihak-pihak yang inginkan Islam ini meletak jawatan, disingkirkan daripada jawatan dan sebagainya.

Sesungguhnya ini adalah tindakan tidak bertamadun dan tidak menghayati semangat Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Golongan yang inginkan Islam sebenarnya tidak pernah meminggirkan perpaduan kerana perpaduan itu sendiri adalah tuntutan dalam Islam. Apa yang diperjuang ialah undang-undang lebih adil dan mengamalkan suruhan dan perintah agama dalam erti kata sebenarnya.

Dalam hal yang demikian sudah tiba masanya pengamal undang-undang di Malaysia mengakui hakikat bahawa Islam adalah sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia. Islam telah sebati dalam diri dan jiwa rakyat Malaysia. Malah rakyat bukan Islam juga mengakui hakikat ini.

Marilah sama-sama menganjak paradigma ke arah melaksanakan undang-undang lazim Islam yang lebih sesuai dan adil kepada masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Mencintai agama Islam adalah suatu kefarduan bagi orang Islam. Mencintai negara adalah sebahagian daripada iman.

Negaraku Sehati Sejiwa! Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara!