Oleh kerana baharu bernikah, maka sijil nikah asal belum dikeluarkan. Rupanya banyak peraturan baharu dikenakan kerajaan Arab Saudi untuk umat Islam Malaysia mengerjakan umrah. Syarat paling ketat adalah mahram. Jika anak perempuan berumur bawah 40 tahun ingin mengerjakan umrah, dia hanya boleh pergi dengan mahramnya, iaitu bapa kandung yang menikahi ibunya secara sah, datuk sebelah bapa jika bapa tiada, adik beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa, atau abang atau adik lelaki bapa atau jika sudah berkahwin, dengan suaminya.

Selain itu, anak perempuan agak sukar menunaikan umrah kecuali telah melebihi 40 tahun. Perkahwinan yang sah juga penting bersama sijil nikah asal yang perlu disahkan oleh pejabat agama sebelum disahkan pula oleh Wisma Putra. Bagi anak perempuan yang belum berkahwin, sijil kelahirannya perlu disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan selepas itu di Wisma Putra.

Seingat saya, semasa pertama kali menunaikan umrah pada 1996 bersama arwah ayah, tiada keperluan sedemikian. Malah pada masa itu, ada juga yang ‘menumpang’ mahram. Saya ingat lagi pada masa itu saya membawa dua anak yang kecil, seorang berusia enam tahun dan seorang berusia 18 bulan.

Turut serta, ibu, suami, dua anak saudara, ibu saudara dan suaminya. Arwah ayah membawa beberapa anak muridnya dan kumpulan kami cukup 40 orang. Saya menunaikan haji pada 2003 dan umrah sekali lagi pada 2009. Tidak pula sijil nikah kami diperlukan semasa umrah itu.

Bagi seorang wanita berkahwin, keperluan mempunyai sijil nikah asal yang dikeluarkan pihak berkuasa agama tempat bernikah adalah penting bagi tujuan umrah atau haji. Jika pasangan bernikah di Thailand dan pernikahan belum berdaftar di Malaysia, agak sukar untuk mereka mengerjakan kedua-dua ibadat itu sekarang.

Bagi wanita kematian suami, sijil kematian penting disimpan untuk menunjukkan yang dia tidak perlu mendapat kebenaran wali atau suami. Dalam satu kes, seorang wanita ditinggalkan suaminya hampir 40 tahun, tetapi tidak memohon cerai secara fasakh atau taklik, tidak dapat menunaikan haji atau umrah kerana gagal membawa sijil perceraian. Dia tidak pernah bercerai atau memohon cerai dan tidak dapat mendapatkan kebenaran suami kerana suami entah di mana berada.

Justeru, jika isteri ditinggalkan suami tanpa nafkah zahir batin lebih empat bulan, maka seeloknya memohon cerai melalui cerai taklik kerana ia telah dilafazkan dan hanya menunggu permohonan serta pengakuan yang isteri telah ditinggalkan.

LATIHAN MENGINSAFKAN JIWA

Haji atau umrah melatih jiwa menjadi insaf, sabar dan saling sayang menyayangi. Semasa umrah kali pertama, saya mulanya merasa gusar hendak membawa dua anak yang masih kecil tetapi arwah ayah menyuruh kami bawa mereka dan katanya, mohon doa agar Allah permudah segala urusan.

Pengalaman mengerjakan umrah dengan membawa anak menjadi pengalaman paling manis dalam kehidupan terutama merasa nikmat dan rahmat Allah semasa mengerjakan umrah.

Ketika di Masjid Nabawi dan ingin ke Raudah, seorang pengawal keselamatan masjid memegang tangan saya dan memandu jalan, meletakkan saya bersama ibu serta dua anak kami betul-betul di hujung makam Rasulullah. Saya solat dan berdoa serta anak kecil 18 bulan berdiri memegang jeriji makam Nabi.

Selesai solat, kami dibawa keluar melalui ribuan manusia yang berhimpit-himpit ingin masuk ke Raudah.

Di Mekah, hampir setiap hari kami mendapat makanan percuma kerana ramai yang bersedekah kepada anak kecil. Kami tawaf dan sai dengan selesa dan mudah. Benarlah kata arwah ayah, mohon kepada Allah untuk mempermudah urusan, nescaya Allah makbulkan.

Membawa anak kecil menunaikan umrah memberi peluang kami mengatur masa dan kerja supaya kami dapat beribadah dengan selesa. Anak juga diajar erti ibadah dan meyakini bahawa Allah itu berkuasa serta tiada yang lebih berkuasa daripada-Nya.

Umrah juga memastikan kita ikhlas beribadat. Ketika dalam ihram, ada beberapa larangan seperti berpakaian yang berjahit bagi lelaki, tidak menutup kepala bagi lelaki, menutup aurat bagi perempuan, tidak menggugurkan rambut atau apa-apa bulu dan jika berlaku sengaja atau tidak boleh didenda sehingga seekor kambing, haram bernikah dan mengadakan hubungan seksual.

Jelas sekali semasa menunaikan umrah, pasangan mungkin tinggal sebilik tetapi perlu menjaga pantang larang. Walaupun hubungan seksual halal bagi suami isteri yang berkahwin secara sah, namun semasa berihram, ia dilarang. Ia melatih suami isteri melalui proses yang mencabar 
keimanan.

Semuanya mengajar kita bersabar, zuhud, tawaduk dan insaf bahawa kita adalah hamba Allah. Sebagai hamba, kita tiada hak mempersoal hukum yang ditetapkan Allah tetapi masih boleh mencari hikmah-Nya di sebalik setiap hukum dan peraturan.

Umrah adalah ibadah wajib sekali seumur hidup dan dalamnya terkandung berbagai hikmah dan pengajaran. Jangan pergi tanpa ilmu kerana akhirnya kita beribadah cara yang salah dan ikut-ikutan. Umrah bukan suatu pelancongan untuk membeli syurga!