Walaupun lantang menentang dan mengecam tindakan itu, namun hakikatnya masih ramai yang kurang memahami mengapa kota ibu negara Palestin itu perlu dipertahan dengan bersungguh-sungguh?

Baitulmuqaddis adalah satu daripada tiga tempat suci buat umat Islam. Ia juga dikenali dengan gelaran al-Quds As-Sharif (tempat yang suci). Untuk memahami kesucian bandar ini, maka seseorang itu perlu memahami terlebih dahulu tiga prinsip asas yang menjadi struktur iman dalam Islam iaitu:

1Percaya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah (Tauhid).

2Percaya bahawa petunjuk Ilahi disampaikan menerusi rasul-rasul dan para nabi-Nya yang terpilih.

3Percaya bahawa wujudnya kehidupan selepas mati (akhirat), hari pembalasan, syurga dan neraka.

Dalam isu mempertahan Baitulmuqaddis, prinsip kedua mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen kita terhadapnya.

Perlu diketahui bahawa kesucian bandar ini menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamaannya. Bandar ini menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah SWT. Di situ jugalah mereka menerima wahyu Allah secara berulang-ulang.

Jika Mekah dan Madinah adalah bandar yang diberkati dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim a.s., Nabi Ismail a.s dan Nabi Muhammad SAW, begitu juga dengan Baitulmuqaddis. Lebih penting lagi, perkaitannya dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Daud a.s., Nabi Sulaiman a.s. dan Nabi Isa a.s.

Berdasarkan status agama dan teologi, Baitulmuqaddis menduduki tempat sangat istimewa dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. Di sinilah kiblat pertama umat Islam dan Baginda berdiri mengerjakan solat menghadap ke arahnya sebelum Kaabah di Masjidilharam.

Malahan, di sini jugalah tempat terakhir perjalanan Israk Rasulullah sebelum naik ke langit (Mikraj).

Firman Allah maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidil Al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihat kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui,” (al-Israk :1).

Selepas melalui semua peristiwa ini, Nabi Muhammad SAW kembali ke Mekah. Peristiwa yang penuh dengan tanda-tanda dan petunjuk yang menakjubkan itu sehingga ramai pemikir Islam, pengkaji mistik dan penyair membuat pelbagai tafsiran.

Bagaimanapun, satu kesimpulan yang penting ialah Baitulmuqaddis menjadi contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap Muslim.

USAHA MERAMPAS BAITULMUQADDIS

Hakikatnya, tindakan dilakukan Trump itu tidak lain adalah untuk menyempurnakan hasrat Israel bagi merampas Baitulmuqaddis daripada milik umat Islam Palestin bahkan umat Islam seluruhnya.

Dalam konteks ini, tindakan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang tidak tepat dan jelas salah dari sudut norma dan perundangan. Malah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk rampasan serta penjajahan selain mencabuli hak-hak asasi kemanusiaan demi melebarkan kekuasaan.

Ini bertepatan dengan peringatan Allah SWT dalam Surah al-Israk ayat 4 maksudnya: “Dan Kami katakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau-lampau.”

1. Kerosakan pertama dilakukan oleh golongan ini ialah melakukan kekejaman dan kehancuran dengan mengkhianati perjanjian yang telah dibuat, bahkan sanggup membunuh para Rasul dan Nabi utusan Allah.

2. Kerosakan kedua pula terkandung dalam firman Allah maksudnya: “Kemudian Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepadamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak-pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.” (al-Israk 6)

Menurut tafsiran seorang pensyarah Universiti Jordan, Dr. Fadhal Hassan Abbas dalam kitabnya tentang al-Israk wal Mikraj bahawa kerosakan kedua ini disokong dengan empat perkara iaitu:

* Bangsa Yahudi akan mendapat sebuah negara untuk tempat tinggal (Baitulmuqaddis)

* Kedudukan ekonominya kukuh

* Keturunannya ramai

* Pasukan tenteranya ramai

PENCETUS HURU-HARA

Justeru, hari ini mereka tidak teragak-agak mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai pusat pentadbiran negara haram mereka malah menuntut untuk dijadikan Pusat Pentadbiran Dunia bagi bangsa Yahudi.

Sebagai tanda protes terhadap perkara ini, semua umat Islam perlu bersatu suara dan tegas memastikan bumi Baitulmuqaddis terus terpelihara.

Kini ia bukan lagi menjadi perjuangan rakyat Palestin tetapi menjadi tanggungjawab semua umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Jika perkara ini terus berlaku, ia bakal tercetus huru hara dan ketidaktenteraman di bumi Palestin bahkan terhasil satu bentuk radikalisme dan ektremisme baharu yang lebih besar serta mengakibatkan ancaman keselamatan lebih buruk di seluruh dunia.

Sehubungan itu, bagi memastikan hasrat ini tercapai, semua umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak terbawa-bawa dengan perlakuan mazmumah (sifat keji) sehingga mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain.

Umat Islam juga perlu tegas dan berpegang kepada satu gagasan yang mempunyai dasar jelas, strategi tuntas yang akan membawa Malaysia ke arah lebih dinamik, maju serta berdaya saing berpaksikan prinsip maqasid syariah di samping melaksanakan pendekatan wasatiyah.

Baitulmuqaddis mempunyai hubungan 
langsung dengan kecintaan, komitmen umat Islam terhadapnya

Baitulmuqaddis menjadi satu 
contoh kepada ketaatan, hubungan iman setiap 
Muslim

Tindakan menceroboh bumi Baitulmuqaddis merupakan suatu bentuk rampasan serta jajahan yang mencabul hak kemanusiaan