Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Mencari laluan al-Sirat al-Mustaqim

JEMAAH haji menunaikan sembahyang di hadapan kaabah.
JEMAAH haji menunaikan sembahyang di hadapan kaabah.

MARILAH bersama-sama memanjatkan kesyukuran kerana diberi kesempatan berada pada bulan Zulhijah yang penuh dengan kemuliaan. Rasul SAW bersabda maksudnya :

“Tiada hari-hari untuk melakukan amalan soleh padanya lebih disukai Allah SWT berbanding pada 10 hari ini. Maka mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW, sekalipun jihad pada jalan Allah? Rasulullah SAW bersabda : Tidak juga jihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki keluar dengan dirinya, hartanya kemudian dia tidak lagi kembali dengan membawa apa-apa daripada itu,”- Riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah.

Rasulullah menggambarkan jihad pada jalan Allah tidak mampu menandingi kebesaran 10 hari pertama Zulhijah di mana seseorang keluar pada jalan Allah membawa diri dan harta, kemudian syahid atau membelanjakan hartanya pada jalan Allah.

Itu lebih baik atau sama seperti orang yang melakukan amalan soleh pada 10 hari pertama Zulhijah iaitu bulan ibadat haji dan korban. Aidiladha mengangkat nilai pengorbanan berdasarkan ibrah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s., ketaatan seorang hamba kepada Tuhan-Nya dan kepercayaan seorang anak kepada bapa yang terakam dalam Surah al-Saaffat ayat 102-107.

Ibadah haji Rukun Islam yang dituntut kepada setiap Muslim berkemampuan. Jemaah haji perlu berusaha mendapat haji mabrur melalui pelaksanaan ibadat bertepatan dengan sunah Rasullulah SAW. Kesempurnaan ibadat haji tidak tercapai melainkan adanya ilmu dan pemahaman yang jelas terhadap pelaksanaan ibadat. Firman Allah SWT: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah :196)

Kefarduan haji dilaksanakan berdasarkan hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a. Ramai ulama menyatakan dialah sahabat yang terbaik periwayatannya tentang Haji Wada’ yang bermaksud :

“Rasulullah SAW tinggal di Madinah selama sembilan tahun, tanpa mengerjakan ibadah haji. Pada tahun ke-10 hijrah dihebahkan berita kepada orang ramai bahawa Rasulullah SAW akan mengerjakan haji. Maka ramailah orang datang ke Madinah untuk bersama Rasulullah SAW dan mengerjakan amalan sebagaimana dilakukan Baginda….” - Riwayat Muslim.

PELENGKAP RUKUN ISLAM

Muslim yang menunaikan ibadat haji, dianggap telah sempurna lima Rukun Islam. Ibadah haji memerlukan semua perkara yang diperlukan oleh empat rukun sebelumnya. Ia menzahirkan keimanan dalam syahadat, kemampuan fizikal dan harta pada solat serta zakat, menahan diri dalam ibadah puasa.

Ibadat haji yang dilaksanakan bukan sahaja mengerjakan wukuf, tawaf dan saie, tetapi juga melontar jamrah di Mina sebagaimana Nabi Ibrahim a.s. melontar syaitan yang menghalang dan menimbulkan keraguan kebenaran wahyu melalui mimpi yang datang daripada Allah SWT.

Setiap ibadah dilaksanakan mempunyai hikmah tersendiri. Ibadah haji turut mempunyai hikmah yang besar, antaranya :

  • Semua jemaah sama tujuannya datang kerana Allah.
  • Berharap mendapat keampunan dosa
  • Membina semangat hidup yang baru
  • Memperbaiki diri ke arah lebih baik, melupakan sikap lama yang tidak baik.
  • Menghayati nilai kemanusiaan yang tinggi dengan perhimpunan jutaan umat Islam pelbagai bangsa, warna kulit dan budaya seluruh dunia.
  • Mensyukuri nikmat Allah kerana mengerjakan ibadah haji memerlukan kemampuan fizikal dan kewangan bagi menampung perjalanan pergi dan balik serta nafkah tanggungan.
  • Memperlihat kerendahan dirinya di hadapan Allah SWT dengan memakai ihram yang sederhana, tidak berhias, tanpa menonjol pangkat mahupun jawatan.
  • Mematuhi sunah Rasulullah SAW tanpa ragu-ragu. Diriwayatkan Saidina Umar al-Khattab r.a. berkata apabila mencium Hajar Aswad: “Aku tahu, engkau hanyalah batu biasa. Andai aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukannya.”

* Dalam konteks ibadah haji, mencium Hajar Aswad dilakukan mengikut sunah Rasul SAW, bukan dengan niat lain.

* Mengawal diri daripada hawa nafsu semasa berihram.

INDIKATOR HAJI MABRUR

Lazimnya budaya masyarakat Melayu memperlihat betapa tinggi imej dan dihormati mereka yang menunaikan ibadah haji.

Mereka perlu memperlihat perlakuan terbaik kerana sepanjang menunaikan ibadah haji dilatih untuk mencapai tahap akhlak terpuji.

Tanggungjawab mereka amat besar yang bukan sekadar berkopiah dan mengenakan tudung labuh bahkan meliputi segala kebaikan yang selama ini dilakukan di Baitullah. Pulang dalam keadaan dan sikap lebih baik daripada sebelumnya, juga tidak mengulangi maksiat. Tutur kata dan pergaulan yang baik malah lebih penting adalah peningkatan nilai ibadat kepada Allah SWT.

Inilah indikator penerimaan ibadah haji di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan rafath (kata yang keji) dan fasik, nescaya keluar dosanya seperti baru dilahirkan oleh ibunya,” - Riwayat Bukhari

Ibadah haji adalah perjalanan melatih diri berakhlak mulia dalam kehidupan. Para jemaah haji menjadi tontonan umum dan contoh masyarakat sekeliling.

Inilah syumulnya Islam. Melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan berada pada satu jalan besar yang lurus dan luas serta diistilahkan oleh al-Quran sebagai al-Sirat al-Mustaqim.

Setiap individu mempunyai bahagiannya sebagai umat Islam yang semuanya berpotensi memperoleh rahmat Allah SWT.

Memang al-Sirat al-Mustaqim adalah lebuh raya besar yang lurus. Setiap orang pasti melaluinya. Ini berbeza dengan sabil (kata mufrad) atau subul (kata jama’), ia merupakan jalan kecil. Ada yang baik dan ada yang buruk. Sabil yang baik membawa perjalanan ke lebuh raya besar, lurus dan luas. Itulah al-Sirat al-Mustaqim.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain