Khalifah yang bertanggungjawab mengarahkan pembinaan masjid ini ialah Khalifah al-Mutawwakil. Antara ciri seni bina dikagumi sehingga ke hari ini ialah menara masjid berkenaan yang dikenali sebagai Menara Samarra atau Malwiya.

Masjid Samarra adalah antara masjid terbesar di dunia selama berkurun-kurun lamanya setelah siap dibina. Bahan utama digunakan dalam pembinaan keseluruhan kompleks masjid ini ialah batu bata yang dibakar.

Struktur bangunan masjid daripada batu bata ini mempunyai bumbung rata yang diperbuat daripada kayu dan disokong dengan ratusan tiang batu bata.

Sama seperti masjid lain yang dibina dalam sejarah Islam, masjid ini juga mempunyai sebuah menara yang terletak di bahagian luar masjid sebagai tempat untuk melaungkan azan.

Menara berbentuk kon yang lebar di bahagian bawah dan kecil di bahagian atas ini telah menjadi tumpuan dunia sehingga ke hari.

Ia telah diwartakan menjadi monumen warisan dunia pada 2007 dalam senarai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)

Ia merupakan satu-satunya bahagian masjid yang masih utuh dan sempurna bentuknya sehingga 2013. Menara ini mempunyai ketinggian 50 meter atau 165 kaki dari tanah. Ia dikenali dengan nama Malwiya disebabkan oleh bentuk tangga yang seakan-akan melilit bahagian luar menara ini.

Lilitan tangga ini membahagikan bahagian menara dan memberikan impak visual di mana menara kelihatan mempunyai enam tingkat berlainan saiz. Bahagian tapak menara ini sebenarnya berbentuk segi empat dan ia merupakan satu ruang luas malah pernah dijadikan pejabat bagi kurator yang bertanggungjawab menjaga monumen ini sebelum peperangan menjadi lebih teruk di Iraq.

Bahagian tangga yang kelihatan cantik mengelilingi bahagian luar menara ini sebenarnya tidak mudah untuk digunakan. Selain bentuknya yang semakin mengecil di bahagian atas, ketinggian menara dan kekuatan angin juga menjadi cabaran sesiapa yang ingin naik ke bahagian puncak menara ini.

Malah, tangga ini juga tidak mempunyai tempat pemegang mahupun pagar keselamatan.

Monumen warisan dunia ini bagaimanapun telah rosak berikutan pergelutan yang berlaku di Iraq.

Ketinggian Menara Samarra ini telah digunakan oleh pihak tentera Amerika Syarikat pada 2003 sebagai tempat operasi ketenteraan dan ini menyebabkan Menara Samarra ini rosak apabila pihak yang musuh menyerang balas.

Bahagian atas menara ini direkodkan mengalami kerosakan yang teruk dan terdapat runtuhan struktur.

Namun begitu, selepas peperangan reda, pihak UNESCO telah mengambil langkah segera menghantar pasukan konservasi dan arkeologi bagi menganalisis kerosakan dan mendapatkan dana bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih monumen.

Jika monumen ini terus menerus menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab, tidak mustahil ia akan runtuh dan lenyap daripada warisan dunia dan warisan kesenian Islam khususnya.