Wilayah yang terkenal dengan menara merpati ialah di Isfahan, Iran. Menara merpati adalah sejenis seni bina yang dibuat khusus untuk burung merpati sama seperti pembinaan rumah untuk burung layang-layang di negara kita pada hari ini.

Sejarah seni bina menara merpati ini direkodkan banyak dibina sewaktu pemerintahan Shah Abbas, seorang pemerintah Dinasti Saljuk di Parsi pada akhir abad ke-16. Sewaktu pemerintahan baginda, Isfahan adalah pusat pemerintahan dinasti berkenaan.

Oleh itu, setiap pembangunan fizikal berlaku di Isfahan. Menara merpati ini dikenali dengan nama Kabootarkhaneh dalam kalangan masyarakat Iran. Shah Abbas mengenakan cukai kepada setiap pemilik menara merpati disebabkan oleh pendapatan mewah yang diperoleh pemiliknya.

Burung merpati selalu ditonjolkan sebagai penghantar surat atau mesej rahsia antara pemerintah atau kem tentera dalam cerita novel mahupun di layar perak. Di Eropah, burung merpati menjadi simbol kepada kuasa dan status sosial seseorang.

PENDAPATAN LUMAYAN

Di Isfahan ia dijinakkan untuk mendapatkan najis yang dikatakan amat berkualiti tinggi bagi dijadikan baja dalam bidang pertanian. Pendapatan daripada jualan baja berkualiti tinggi ini menjadikan pemilik menara ini adalah orang yang kaya di kawasan tersebut.

Kesemua burung merpati yang digunakan dalam proses pembuatan baja ini ialah burung merpati liar yang tinggal dalam menara berkenaan. Konsep ini sama dengan rumah yang dibina untuk mendapatkan sarang burung layang-layang pada hari ini.

Kebanyakan menara merpati dibina di kawasan tanah lapang. Struktur binaannya diperbuat daripada batu bata yang dikeringkan di bawah panas matahari. Ia mempunyai warna seperti kawasan persekitarannya kerana menggunakan bahan seperti jerami, tanah dan air.

Campuran bahan ini dikenali sebagai kahgel di Iran. Tiada bentuk khusus untuk seni bina menara merpati ini. Ada berbentuk segi empat dan bulat. Pada bahagian atas menara dibina beberapa struktur yang terbuka bagi memudahkan burung merpati memasukinya.

Keindahan seni bina ini terletak pada bahagian dalamnya di mana terdapat beribu-ribu ruang kecil untuk burung merpati tinggal. Direkodkan setiap menara merpati boleh menampung antara 5,000 sehingga 12,000 ekor burung merpati.

Secara amnya, kebanyakan seni bina ini telah hilang ditelan zaman dan yang masih kekal digunakan semula sebagai tempat tinggal manusia atau dijadikan kedai. Ini kerana budaya di Isfahan yang tidak lagi melihat burung merpati sebagai sumber pendapatan lumayan.

Perubahan budaya dalam sesebuah masyarakat boleh mempengaruhi rupa fizikal seni bina dan kesenian di sesebuah wilayah Islam.

MENARA MERPATI

  • Dikenali dengan nama Kabootarkhaneh dalam kalangan masyarakat Iran.
  • Konsep sama dengan rumah burung layang-layang di Malaysia.
  • Menara ini amat terkenal di Isfahan, Iran pada akhir abad ke-16 semasa pemerintahan Shah Abbas, pemerintah Dinasti Saljuk.
  • Pemiliknya mendapat pendapatan lumayan daripada najis burung yang dijadikan baja berkualiti tinggi.
  • Keindahan seni binanya terserlah pada bahagian dalam - terdapat beribu ruang kecil untuk burung merpati liar tinggal.
  • Direkodkan setiap menara merpati boleh menampung antara 5,000 sehingga 12,000 ekor burung.