Mengakui perkara itu, pendakwah antarabangsa, Tawfique Chowdhury berkata, menjadi fitrah kehidupan manusia sering melakukan kesalahan dan dosa, justeru Allah sentiasa memberi peluang keampunan selagi pintu taubat masih terbuka.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Eksekutif Mercy Mission itu, ramai yang meminta keampunan daripada Allah, namun mengulangi kesalahan sama selepas itu.

“Antara soalan yang banyak saya terima ketika menyampaikan ceramah adalah tentang perkara ini. Mereka solat lima waktu sehari semalam, berpuasa, mengerjakan umrah dan segala amal ibadah lain, tetapi ketika bersendirian dia melakukan keburukan.

“Setelah menyedari kesalahan itu, mereka bertaubat kepada Allah dan menangis. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, mereka melakukan kesalahan sama dan sekali lagi bertaubat kepada Allah.

“Persoalannya, bagaimana dengan kehidupan seperti itu?,” katanya dalam ceramah umum yang disampaikan.

Sehubungan itu, Tawfique berkata, perkara ini akan kekal pada tahap itu jika ketakwaan kepada Allah tidak berubah atau dipertingkatkan kepada lebih baik.

“Bagaimana pula ingin meningkatkan ketakwaan kepada Allah? Dalam hal ini, seseorang individu perlu memperbaiki dua perkara utama iaitu rohani dan psikologi. Ramai yang sering membahaskan daripada unsur kerohanian semata-mata, tanpa menyentuh aspek psikologi, sedangkan kedua-dua ini sama penting.

“Kita harus fahami bahawa mengikut aspek psikologi sesuatu perbuatan dilakukan dengan adanya pemacu. Dengan kata lain, apabila fikiranmu melepaskan hormon tertentu, itu membuatkan kamu ingin melakukan sesuatu perkara. Inilah daya perangsang.

“Sebagai contoh, seorang pemuda menonton filem aksi dan dalam filem itu, terdapat watak wanita cantik. Ketika dia melihat adegan dan wanita itu, fikirannya terpacu kepada sesuatu yang lain. Lalu dia menghentikan filem itu, buat seketika dan menonton sesuatu yang lebih buruk,” katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja filem, sesuatu hal kecil juga boleh menjadi punca perangsang seperti melihat wanita yang menggoda ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Oleh itu, bagi menangani masalah ini, kamu perlu tahu bilakah dosa ini sering terjadi, di mana dan bagaimana dosa itu boleh dilakukan. Dengan mengetahui punca dosa itu, maka kamu boleh cuba mengubah situasi ketika menghadapi saat itu.

“Begitu juga kepada golongan muda yang sering ‘menghadapi masalah’ ketika melihat internet sama ada pada komputer atau telefon pintar, maka tutup atau jauhkan peranti kamu dengan segera. Pergilah menemui orang lain agar mereka dapat melihat kamu,” jelasnya.

Manakala dalam aspek rohani pula, bertaubat setelah melakukan dosa adalah perkara yang harus dilakukan oleh setiap umat Islam, namun hendaklah dilakukan dengan keinsafan sebenar-benarnya.

“Taubat, bukan sekadar di bibir tetapi perlu menanamkan tekad supaya tidak mengulangi kesalahan sama. Dalam masa sama, mencari jalan keluar dan tanamkan keazaman serta komitmen dalam diri untuk berhenti melakukan dosa.

“Jika kamu masih tidak mampu, mintalah bantuan rakan, sama ada nasihat atau menemani kamu seketika tatkala terfikir ingin melakukan dosa,” katanya.