Buku ini dapat dijadikan bahan bacaan yang berguna kepada seluruh masyarakat bagi mengetahui peranan dan sumbangan Kagat meningkatkan syiar Islam dalam organisasi ATM.

Kagat bakal meraikan ulang tahun ke-33 penubuhannya pada 16 April ini. Hakikatnya, institusi agama dalam ATM telah wujud sejak 1933, tetapi perubahan yang berlaku pada 1985, iaitu tahun penubuhan Kagat telah memperkasa matlamat meningkatkan syiar keperwiraan Islam dalam ATM secara tersusun dan sistematik.

Dalam tempoh 33 tahun, Kagat telah mengalami pelbagai pengalaman, peristiwa, pelbagai aktiviti melibatkan organisasi ATM dan juga organisasi Kagat sendiri. Kagat memberikan perkhidmatan pendidikan Islam, penghayatan dan syiar Islam dalam kalangan anggota serta organisasi ATM.

Kehadiran kor ini juga turut memberikan kesan baik dari segi pembinaan imej ATM sebagai sebuah organisasi penting negara yang turut menyokong dasar-dasar kerajaan yang berhasrat membina sebuah negara Malaysia yang aman dan sentiasa dirahmati Allah.

Dalam tempoh 33 tahun ini, seramai lima orang ketua pengarah menerajui Kagat, iaitu Allahyarham Brigedier Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin, Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Brigadier Jeneral Datuk Mustafa Manap dan kini diterajui Mejar Jeneral Datuk Kamaruddin Manap.

PENDEKATAN DAKWAH

Buku tulisan penulis yang juga pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini turut menyentuh tentang keperluan untuk Kagat melakukan perubahan dan pendekatan dakwah ke arah lebih profesional dengan ciri-ciri tertentu dari segi modul latihan, penilaian golongan sasar iaitu anggota tentera mengikut kategori, pangkat dan ragam.

Dakwah yang hendak disampaikan perlu bersifat ergonomik, iaitu mengikut keperluan pengajaran dan pembelajaran, khalayak, merangkumi teori, prinsip, data dan metod ke arah memanfaatkan secara maksimum kemanusiaan serta sistem secara keseluruhannya.

Pemantapan pengurusan dakwah ini juga merangkumi aspek pendakwah iaitu anggota dan pegawai Kagat. Membina kualiti manusia pendakwah amat penting khususnya dari aspek ilmu, maklumat, kemahiran dan sikap.

Jika kualiti ini dapat dibina ia dapat melahirkan pendakwah berdisiplin dan mampu berkomunikasi dengan golongan sasar dengan sempurna serta mampu menghayati konsep ‘hikmah’ dalam dakwah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Nahl (16:125):

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

CABARAN KAGAT

Perlu diakui peranan Kagat dalam aspek operasi dakwah yang berkaitan dakwah bil hal masih pada tahap sederhana, malah kini cabaran bukan sahaja dari aspek pembinaan peribadi dan penghayatan agama anggota dan pegawai ATM tetapi kini turut mendepani masalah krisis akidah dan radikalisme dan pemahaman ideologi baharu.

Untuk itu Kagat perlu mengukuhkan aspek kepimpinan, pengurusan, teknologi serta pembinaan sumber manusia yang merangkumi aspek berikut:

  • Komitmen dan jati diri pendakwah (thiqah al-da’iyah).
  • Matlamat yang jelas (tahdid al-hadaf).
  • Memahami keadaan masyarakat (al-taaruf ala tabi’at al-mujtama’).
  • Penyediaan kepimpinan (tarbiyah qiyadiyah).
  • Penyampaian dakwah secara jelas (al-ard al-wadih).
  • Mencipta keunggulan dan daya penarik dakwah (ijad istiqtab hawl al-dakwah).
  • Akhlak mulia (al-suluk al-mutabiq li al-mabadi’).
  • Sabar dan tabah menghadapi cabaran (al-sabr wa al-tahammul).

Penulis turut menekankan kewajaran untuk Kagat seluruhnya melakukan tindakan drastik terhadap kaedah dan pendekatan dakwah yang selama ini dianggap berada dalam keadaan ‘zon selesa’.

Ini perlu kerana tahap penghayatan Islam secara keseluruhannya tidak banyak berubah dan masih belum mencapai tahap Muslim, Mukmin dan Muhsin selaras matlamat Dasar Pembinaan Mental dan Kerohanian Islam ATM yang diluluskan oleh Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MAT) pada 1991.

Dalam aspek komitmen dan jati diri pendakwah, pegawai dan anggota Kagat perlu bersih daripada:

  • Isu-isu yang boleh memberikan kesan negatif kepada kewibawaan organisasi
  • Jika keadaan sebaliknya berlaku, tindakan tegas dan wajar perlu segera diambil.
  • Perlu disedari bahawa golongan sasaran dakwah Kagat iaitu anggota tentera umumnya termasuk dalam kategori ‘individu yang sukar’ seperti disebut oleh Dr. Rick Brinkman dan Dr. Rick Kirchner (1985) dalam bukunya, Dealing with people you can’t stand; How to bring out the best in people at their worst.

Oleh demikian:

  • Para pegawai dan anggota Kagat perlu melakukan persiapan rapi dan teknik mencukupi termasuk ilmu psikologi, komunikasi dan kaunseling agar dakwah yang disampaikan berkesan dan dapat diterima oleh golongan sasar.
  • Mereka perlu menyedari aspek pembangunan modal insan dalam erti kata sebenar iaitu membangunkan potensi manusia secara menyeluruh sebagai khalifah Allah - yang bukan sahaja berilmu bahkan menghayati ajaran Islam secara menyeluruh dalam kehidupan.