Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Memahami politik al-Ghazali dan Negara Maslahah

s

NEGARA MASLAHAH DALAM KONTEKS MALAYSIA 2
NEGARA MASLAHAH DALAM KONTEKS MALAYSIA

KETIKA berlangsungnya majlis bedah buku, ‘Negara Maslahah Dalam Konteks Politik Malaysia’ di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, ramai yang mempersoal apakah model atau bentuk negara yang boleh dikaitkan dengan falsafah politik al-Ghazali (1058-1111M), ulama Islam terpenting yang hidup pada abad ke-12 dan mempunyai ketajaman ilmu yang begitu luas.

Pertanyaan itu muncul dalam sesi soal jawab selepas tiga orang pengulas, Profesor Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz (Institut Kefahaman Islam Malaysia), Profesor Dr. Kassim Tukiman (Universiti Teknologi Malaysia - UTM) dan Profesor Madya Dr. Ahmad Sunawari Long (Universiti Kebangsaan Malaysia - UKM) selesai mencari kesepakatan dalam memahami konsep Negara Maslahah yang diutarakan oleh al-Ghazali menerusi pelbagai kitab karangannya.

Meskipun al-Ghazali lebih dikenali sebagai ‘peletak dasar’ dalam pelbagai bidang keilmuan Islam seperti tasawuf, pendidikan, psikologi, teologi, etika dan falsafah, pemikiran politiknya turut menjadi asas yang kuat dalam tingkah laku politik pemimpin-pemimpin Islam Sunni sejak daripada Empayar Abasiyyah lagi.

Empayar Abasiyyah bermula pada tahun 752 dan berakhir pada tahun 1260. Ini bererti empayar itu memerintah dengan jayanya selama lebih 500 tahun dan merupakan sejarah yang lebih hebat daripada apa dicapai oleh Empayar Muawiyyah selama 89 tahun (661 hingga 750) atau Uthmaniyyah yang memerintah selama 680 tahun (1243 hingga 1923).

Pada zaman Abasiyyah, perkembangan ilmu begitu kuat dengan sokongan pemerintah bagi mempertahan aliran Sunni daripada pelbagai rempuhan pemikiran falsafah Yunani, pemikiran Syiah dan Batinniyah.

Al-Ghazali berjaya membangunkan kekuatan pemikiran ilmu berdasarkan pembinaan epistomologi Islam berdasarkan kemampuan berfikir dan kemahiran berhujah sehingga mendapat gelaran sebagai ‘Hujjatul Islam’.

Apa yang penting, kerangka pemikiran dan falsafah politik yang dibincangkan al-Ghazali bukanlah sebuah konsep yang tertutup, ia merupakan satu konsep pengurusan negara yang dilaksanakan secara terbuka dan boleh disesuaikan dalam pelbagai situasi model negara termasuk demokrasi, teodemokrasi mahupun sistem monarki.

PANDANGAN PENGULAS

Sementara itu, menurut Kassim, al-Ghazali mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan pemikiran Islam, termasuk pengaruhnya ke atas perkembangan ilmu di Nusantara apabila kitab-kitab karangannya menjadi pegangan dan saduran ulama tempatan.

Ini kerana, al-Ghazali merupakan intelektual Islam yang mempunyai ketinggian ilmu dan berpengaruh dalam perkembangan Islam Sunni. Al-Ghazali tetap ‘menentang’ aliran kebatinan yang dipelopori kelompok Syiah yang berkembang selepas berakhirnya zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rasyidin dan tertegaknya Empayar Muawiyyah.

Bagi Shamrahayu, apa yang diutarakan oleh al-Ghazali dalam kerangka Negara Maslahah ialah perilaku pemerintah (pemimpin), perilaku rakyat dan pembinaan institusi serta peraturan untuk menjadikan negara yang selamat, harmoni dan sejahtera. Konsep kesejahteraan itulah yang diistilahkan sebagai maslahah iaitu menjaga kepentingan rakyat melebihi daripada kepentingan peribadi.

“Sebab itulah al-Ghazali tidak mensyaratkan bahawa seseorang yang memimpin itu sama ada dilantik atau dipilih, di mana kategori yang wajar ialah beriman, berpengetahuan, waras dan mempunyai institusi pemerintahan yang berkesan,” katanya.

Buku ini pada asalnya adalah tesis ijazah kedoktoran falsafah oleh penulisnya, Tan Sri Alies Anor Abdul dalam bidang undang-undang (Hukum) pada tahun 2015 di Universitas Islam Negeri Syarif Kuala II, Pekan Baru, Sumatera, Indonesia.

Ia pertama kali diterbitkan pada 2016. Edisi terbaru ini disunting semula oleh Kassim dan diterbitkan oleh UTM, Institut Terjemahan Buku Malaysia serta dilancarkan pada 17 April lalu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam ucapan aluannya, Alies yang juga Pengerusi PWTC menjelaskan bahawa beliau hampir ‘kecewa’ dalam ‘perjalanan akademiknya’.

Namun, atas dorongan rakan-rakan dan para pensyarah, beliau memperoleh semula semangat untuk meneruskan kajian mengenai pemikiran politik al-Ghazali memandangkan tokoh keilmuan Islam ini hanya lebih dikenali dalam bidang pemikiran falsafah, tasawuf, teologi, psikologi dan pendidikan.

“Hampir kesemua buku karangan al-Ghazali yang kita ketahui tidak mempunyai buku khusus mengenai pemikiran politik.

“Faktor kedua yang mencetuskan minat saya terhadap pemikiran politik Al-Ghazali ialah kerelevanannya dengan situasi politik Malaysia. Al-Ghazali memainkan peranan penting dalam menasihati pemerintah dan dalam masa yang sama, tidak menggunakan pendekatan radikal.

“Bagi al-Ghazali, selagi sesebuah negara itu diperintah oleh pemimpin Islam, rakyat wajib mematuhinya walaupun ada kelemahan kerana ‘menjatuhkan’ seseorang pemimpin akan mengakibatkan situasi yang lebih buruk lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid semasa melancarkan buku itu berkata: “Pembentukan sebuah negara bangsa itu bukan saja terletak pada bahu rajanya dan pemerintah. Tetapi juga pembuka politik (pemerintah) yang menerima nasihat daripada penasihatnya.

“Kebobrokkan (sesuatu pemerintahan) ini biasanya berlaku disebabkan oleh penasihat yang jadi ‘punahsihat’,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut mencadangkan agar buku itu dibaca oleh seluruh ahli politik untuk mengelakkan kecenderungan politik ‘matlamat menghalalkan cara’ yang lebih banyak menimbulkan keburukan dan menyimpang daripada kepentingan majoriti atau kemaslahatan ummah.

Buku setebal 266 halaman itu dijual dengan harga RM110. Buku ini berjaya membahaskan fenomena politik Sunni dalam sistem ketatanegaraan Malaysia, dan Negara Maslahah adalah suatu proses yang dinamik.

Buku ini dibahagikan kepada tujuh bab yang turut membincangkan teori umum dan pandangan dalam politik Islam serta latar belakang al-Ghazali manakala pada bahagian akhirnya, penulis mencadangkan beberapa faktor untuk menambah baik sistem politik dan kekuasaan agar menjadi lebih sempurna dan menepati kerangka Negara Maslahah.

Buku ini sesuai dijadikan rujukan bagi memahami dengan lebih jelas asas falsafah pemikiran politik Islam, yang amat perlu dalam budaya politik bermoral dan menolak doktrin ‘matlamat menghalalkan cara’.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain