AWWB berasal daripada idea Ibn Taimiyah yang mencadangkan perbezaan Muslim dengan bukan Muslim ‘mestilah menyeluruh’. Kemudian, AWWB dikembangkan semula oleh Sheikh Muhammad Abdul Wahab, dengan cucu beliau, Sulaiman Ibn Abdullah (meninggal 1818) menulis kitab tentang asas AWWB. Beberapa ulama Salafi Wahabi kemudiannya menulis tentang AWWB seperti Sheikh Salih Bin Fawzan al-Fawzan dan Abdul Rahman Abdul Khaliq Al-Yusuf, serta pemimpin al-Qaeda masa kini, Ayman al-Zawahiri.

Antara buku popular AWWB ditulis oleh Muhammad Saeed Al-Qahtani pada tahun 1980, yang asalnya merupakan tesis sarjananya di Universiti Ummul Qura di Mekah, bawah penyeliaan Sheikh Muhammad Qutb, saudara kandung Syed Qutb. Kajian menunjukkan ia antara doktrin utama kumpulan pengganas al-Qaeda, Jemaah Islamiyyah (JI) dan Daesh yang membawa sebahagian pemikiran awal Ibn Taimiyah, Sheikh Muhammad Abdul Wahab dan Syed Qutb. Perbahasan dan pembuktian AWWB boleh dilihat dalam terbitan Daesh sendiri iaitu Majalah Dabiq (keluaran 10, 11 dan 15) dan Rumiyah (keluaran 6 dan 7).

APA ITU AWWB?

Dari segi definisi, AWWB bermakna taat setia dan berlepas diri, kasih kerana Allah SWT dan benci juga kerana-Nya.

  • Wala’ bermaksud kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Tuhan, Islam dan Muslim dan
  • Bara’ bermaksud berlepas diri daripada apa yang dianggap tidak Islam.
  • AWWB juga bermaksud mencintai orang beriman dan setia kepada mereka, membenci orang kafir dan memusuhi mereka, berlepas diri daripada mereka serta agama mereka.
  • Dalam fahaman Salafi Wahabi, AWWB berkembang dalam 40 tahun kebelakangan ini dan memiliki dimensi akidah, sosial, politik dan jihad. Dalam aspek akidah, AWWB adalah sebahagian daripada tauhid, manifestasi ucapan dua kalimah syahadat, dengan Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah dianggap sebahagian daripada AWWB.
  • Muslim wajib percaya dan mengamalkan AWWB dalam kehidupan seharian kerana ia berkaitan dengan iman, penting untuk ‘melawan segala bidaah’ dan penyucian tauhid tidak tercapai tanpa mengamalkan AWWB.
  • Ini berbeza dengan fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ) di mana Sifat 20 merupakan teras utama dimensi akidahnya.
  • Dalam dimensi sosial, bukan Muslim dianggap musuh, berpotensi sebagai musuh dan segala amalan bukan Muslim boleh dianggap akan menjejaskan kesucian tauhid dan Islam.
  • Amalan seperti memberi dan menerima hadiah daripada bukan Muslim, mendengar muzik, mengguna kalendar Masihi dianggap meniru bukan Muslim dan perlu dijauhi.

PEMBAWAAN KERAS DALAM POLITIK

Dimensi politik lebih ‘keras dan ganas’ dan bercampur-baur dengan Doktrin Tauhid Hakimiyyah yang menyokong pemisahan dan perbezaan antara Muslim dengan bukan Muslim. Selain Muslim diwajibkan taat setia kepada pemerintah Muslim yang mengikut syariat, Muslim mesti mengelakkan sistem politik bukan Islam seperti demokrasi dan membenci pemerintah Muslim yang tidak mengikut syariah.

Dimensi politik turut menghasilkan Doktrin Takfiri iaitu mengisytiharkan pemerintah Muslim (dan Muslim yang bekerja dengan pemerintah) yang tidak melaksanakan syariah sebagai kafir atau tidak beriman, iaitu:

  • Pemerintah perlu ditumbangkan dengan cara ganas dan perang.
  • Muslim yang bekerja dengan pemerintah ini perlu diperangi (Doktrin Jihad).

Dimensi jihad membahagikan dunia kepada dunia Islam dan dunia kafir:

  • Muslim hanya perlu berkawan dan mengambil berat terhadap orang Islam sahaja, mengasihi bukan Muslim dianggap mengasihi perkara tidak bermoral.
  • Jihad bersenjata dianggap sebagai satu-satunya cara mewujudkan Negara Islam.

Ringkasnya AWWB yang ‘diikat’ dengan Doktrin Tauhid Tiga menyebabkan kesetiaan membuta tuli kepada ideologi dan perjuangan berkumpulan (agama, politik dan militan), menghasilkan Doktrin Takfiri dan Dokrin Jihad yang menyebabkan pengamalnya membenci umat Islam yang majoritinya berpegang kepada akidah berasaskan Asha’ari dan Maturidi, membidaahkan, mensyirikkan dan mengafirkan pelbagai amalan dalam Islam, menolak ilmu tasawuf, serta kebencian melampau terhadap golongan Syiah.

ANTARA BAHAYA BESAR AWWB

1. Menggalakkan kebencian ke atas mereka yang tidak mempercayainya.

2. Melahirkan Muslim yang perlu menzahirkan permusuhan terhadap umat Islam lain yang dianggap kafir (memusuhi dalam hati dianggap tidak mencukupi).

3. Mengangkat senjata sesama Muslim iaitu istihlal iaitu halal darah untuk membunuh orang Islam dan merampas harta mereka seperti mana berlaku di Iraq, Syria, Afghanistan, Chechnya, Daghestan, Libya, Algeria, dan Nigeria.

4. Menyebabkan konflik mazhab berterusan dengan golongan Syiah.

5. Menyebabkan geopolitik Asia Barat menjadi tidak aman dan kacau bilau serta memudahkan rantau ini dieksploitasi oleh musuh Islam.

6. Menyebabkan bukan Muslim perlu dimusuhi, menjauhkan bukan Muslim daripada Islam dan mencipta persengketaan berterusan antara Muslim dengan bukan Muslim.

CADANGAN PENYELESAIAN

Agensi agama, keselamatan dan pihak berkuasa sewajarnya memantau silibus pengajian Islam pada pelbagai peringkat pengajian, penceramah, bahan bacaan dan laman sesawang membawa dan mempromosi doktrin AWWB yang bertentangan dengan Islam yang penuh dengan rahmat, kasih sayang, kemanusiaan dan keamanan.

Dalam pada itu, ulama dan sarjana tempatan seharusnya proaktif dalam menghasilkan Doktrin AWWB mengikut fahaman ASWJ dan bersifat inklusif iaitu tatacara berkehidupan dalam masyarakat majmuk seperti mana Malaysia.