Ini kerana, busur panah tradisional dihasilkan tanpa dilengkapi alat sokongan dan bantuan berbanding panah moden, sebaliknya mengharapkan sepenuhnya kepada keupayaan pemanah.

Justeru, busur panah lazimnya didatangkan dengan pelbagai kategori yang dinilai berdasarkan kualiti pembuatan, prestasi kelajuan anak panah, panjang tarikan maksimum, berat, saiz, rupa bentuk dan keaslian sesuatu busur yang terhasil.

Ia bagi memudahkan pemanah atau mereka yang ingin belajar buat kali pertama memilih busur mengikut kesesuaian dan kemampuan untuk memudahkan panahan serta terkena pada sasaran.

Seorang pemanah, Anuarzaini Sanusi, berkata, minatnya dalam sukan itu bermula daripada bermain secara suka-suka menggunakan peralatan memanah moden.

Namun tambahnya, setelah diperkenalkan dengan panah tradisional oleh seorang kenalan jemaah Tabligh membuatkan dia mula menanamkan minat mendalam terhadap sukan sunah tersebut.

“Nampak serupa antara panah moden dan tradisional, tetapi siapa yang selalu memanah pasti akan rasa perbezaannya. Bagi saya, memanah menggunakan peralatan tradisional lebih memberikan kepuasan dan nilai tersendiri dalam diri sendiri,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Anuarzaini turut menyifatkan sukan memanah sebagai proses muhasabah diri bagi meningkatkan keupayaan mengawal emosi, pendirian dan proses membuat keputusan.

Ini kerana katanya, ketika ingin memanah, seseorang pemanah itu perlu berada dalam keadaan tenang dan fokus kepada sasaran sebelum melepaskan anak panah daripada busur panah.

“Sukan ini secara tidak langsung membentuk perwatakan dan keperibadian pemanah supaya bersikap sabar dan tidak tergesa-gesa, sama juga sepertimana ketika kita menunaikan solat yang menuntut supaya memberi sepenuh tumpuan serta dilaksanakan dengan sempurna,” jelasnya.

SEMUA 
PERINGKAT UMUR

Bukan sahaja bagi golongan tertentu, sukan memanah juga sesuai bagi mereka yang mengalami masalah fizikal sama ada disebabkan kecederaan atau faktor usia.

Anuarzaini yang juga jurulatih memanah di Kelab Memanah dan Menunggang Kuda Meru berkata, selain menghidupkan sunah Rasulullah SAW dalam diri, memanah juga secara tidak langsung memberi kesihatan tubuh kepada pemanah.

“Bermula daripada kanak-kanak hinggalah kepada sudah tua, siapa sahaja boleh memanah. Begitu juga mereka yang mempunyai penyakit, lebih banyak penyakit lagi sesuai kerana memanah setempat atau berdiri ini tidak menggunakan pergerakan anggota tubuh yang banyak atau kuat seperti kebanyakan sukan lain.

“Tetapi ia lebih kepada mengawal emosi dan mental. Secara tidak langsung emosi dan mental yang baik ini akan memberi maklum balas positif kepada tubuh sebagai contoh, ketika tenang akan mengurangkan tekanan pada darah,” jelasnya.