Cuma yang menjadikan Islam itu dilihat berat atau dipandang negatif adalah cara atau pendekatan penganutnya melaksanakan ajaran dan nilai-nilai yang terkandung dalam agama tersebut.

Ia menjadi lebih menakutkan dan membimbangkan apabila dilaksanakan oleh sekumpulan penganut yang cetek ilmu agama atau mempunyai agenda peribadi.

Tidak hairanlah, bukan hanya individu Muslim tetapi banyak organisasi atau institusi Islam menjadi sasaran kritikan pedas berpanjangan. Ia datang bukan hanya daripada bukan Islam tetapi juga orang Islam itu sendiri.

Antara yang menjadi sasaran adalah institusi mahkamah syariah. Kritikan itu tidak hanya tertumpu kepada sistem operasinya tetapi juga kakitangan dan para hakim. Namun begitu, usaha menambah baik dan memperbaiki kelemahan yang ada tidak boleh dinafikan. Cuma, mungkin ada usaha-usaha itu memerlukan masa kerana pelbagai faktor luar jangka.

Contohnya adalah inovasi Mobile Court Kit (MCK) atau Kit Mahkamah Bergerak yang dihasilkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess). Inovasi yang julung kali dihasilkan itu bertujuan untuk menjadikan institusi keadilan itu lebih mesra umat Islam khususnya di luar bandar.

“Inovasi tersebut akan membolehkan operasi mahkamah syariah dijalankan di lokasi-lokasi yang memudahkan masyarakat Islam luar bandar untuk mengakses seperti surau, hospital, rumah atau dewan orang ramai.

“Ini kerana MCK itu tidak memerlukan ruang atau kawasan yang luas untuk membolehkan sesuatu prosiding mahkamah dijalankan,” kata Ketua Syarie Selangor, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan MCK di surau perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Lalang di Semenyih, Selangor, baru-baru ini. Yang turut hadir, Pegawai Agama Daerah Hulu Langat, Saifuddin Roslan.

Selain itu, Mohd. Na’im menyatakan bahawa inovasi tersebut selaras dengan Seksyen 129 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 yang membenarkan Hakim Syarie turun padang bagi menyelesaikan kes-kes sedemikian.

Bawah peruntukan undang-undang, seseorang Hakim Mahkamah Syariah juga diberikan kuasa untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan atau tempat itu menjadi mahkamah.

“Jadi, dengan kuasa itu dan mengambil kira keperluan masyarakat di kampung atau pedalaman, mana-mana kawasan atau tempat yang sesuai boleh diisytiharkan sebagai mahkamah.

“Dengan cara itu, kami memudahkan lagi masyarakat di kampung atau pedalaman berurusan dengan mahkamah syariah,” katanya

 

Inovasi senangkan rakyat

 

Justeru, inilah peranan yang boleh dimainkan oleh MCK. Ini kerana, MCK tersebut diibaratkan sebuah bagasi beroda yang mempunyai meja untuk hakim, komputer riba, fail kes, alat tulis dan peralatan sumber kuasa.

MCK yang bermula pada 2009 itu bukan hanya boleh dimuatkan dalam bonet belakang kereta tetapi tidak memerlukan ruang luas dan perkara-perkara lain yang memerlukan kerjasama agensi atau jabatan lain.

Saiz MCK sedemikian membolehkan sesi perbicaraan dilakukan di luar mahkamah seperti di wad hospital, ruang tamu rumah, dewan orang ramai dan surau di kawasan kampung atau pedalaman.

Berbanding sebelum ini, perbicaraan di luar mahkamah bukanlah sesuatu mudah kerana ia melibatkan soal, peralatan, logistik dan kakitangan yang agak ramai.

“Dengan kata lain, sesiapa sahaja yang mengalami masalah kesihatan, banduan, orang kurang upaya dan mereka yang tinggal di kampung atau pedalaman tidak perlu lagi bersusah payah untuk ke mahkamah syariah berdekatan.

“Ia juga menjadikan situasi menang-menang antara jabatan dengan orang ramai,” kata Pembantu Syariah Jakess yang mengetuai kumpulan pereka MCK itu, Mohd. Anas Kadir yang ditemui pada majlis sama.

Tambahnya, pihak beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku penambahbaikan terhadap MCK itu pada masa hadapan agar ia selari dengan tuntutan semasa.

“Masih ada ruang yang boleh ditambah baik. Setiap kali ada perbicaraan di luar mahkamah, kami akan lihat dan kaji mana-mana kelemahan MCK yang boleh dibaiki atau ditambah baik,” katanya.

 

Menyelesai masalah susah berurusan

MOHD. NA'IM MOKHTAR berkata, inovasi tersebut adalah hasil pemerhatian pihak jabatan terhadap kesukaran orang Islam kawasan luar bandar, termasuk perkampungan Orang Asli untuk berurusan dengan mahkamah syariah.

Ini kerana, lazimnya lokasi mahkamah syariah terletak di kawasan bandar atau tumpuan orang ramai. Pemilihan tersebut lebih ekonomik dari segi kos operasi, jumlah kes yang difailkan, keselamatan dan sebagainya.

Sehubungan itu, tidak mudah bagi orang kampung atau Orang Asli luar bandar untuk hadir ke mahkamah syariah. Malah prosedurnya seperti memfailkan kes, untuk dapat tarikh perbicaraan dan dapatkan perintah tidak boleh diperoleh dalam satu hari.

Sudah pasti, semua itu melibatkan kos wang tunai. Majoriti daripada kumpulan sasar itu sekadar bekerja kampung dan pastinya, pendapatan mereka bukanlah seperti individu yang bekerja di bandar.

“Sedangkan kes yang difailkan di mahkamah syariah melibatkan soal hukum syarak dan ia sesuatu yang tidak dibuat main-main,” katanya.

Mohd. Na’im mengambil contoh kes pernikahan dalam kalangan Orang Asli di Kampung Sungai Lalang itu. Orang Asli berkenaan sudah memeluk Islam dan ingin bernikah dengan pasangan masing-masing tetapi wujud satu halangan iaitu wali.

Mereka tiada wali kerana ahli keluarga dan saudara mara masih tidak memeluk Islam. Jadi, berdasarkan enakmen (perundangan) negeri, mereka perlu ke mahkamah syariah untuk mendapatkan perintah kebenaran daripada hakim sebelum bernikah.

Mahkamah syariah yang paling dekat dengan kampung itu adalah di Bandar Baru Bangi (BBB). Sudah pasti, untuk ke BBB memerlukan kos wang kerana urusan fail kes, tarikh perbicaraan dan untuk dapat perintah, tidak boleh dibuat pada hari yang sama.