Sukar menjawab soalan ini. Setakat ilmu saya yang sedikit ini, tiada pula saya jumpa dalil khusus membenarkan dakwaan itu. Tambahan pula tiada juga para pengkaji yang berani ‘mengorek kubur’ para hafiz al-Quran untuk membuktikan dakwaan berkenaan. Jika ada yang berani berbuat demikian, ia jelas melanggar norma kemanusiaan dan hukum syarak.

Setakat pemerhatian saya, tubuh manusia semuanya akan hancur kecuali satu bahagian yang dipanggil sebagai tulang sulbi (coccyx).

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap (bahagian jasad) anak Adam akan dimakan oleh bumi (tanah selepas mereka mati) melainkan tulang ekor, daripadanya manusia dicipta dan padanya mereka akan disusun semula (dihidupkan),” - Sahih Muslim.


JASAD YANG DIRAHMATI ALLAH

Walaupun begitu, terdapat pengecualian khusus yang melibatkan jasad para nabi. Ia ditegaskan oleh Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya sebaik-baik hari kamu adalah hari Jumaat. Pada hari ini Adam diciptakan dan dimatikan. Pada hari ini juga ditiupkan sangkakala (tanda kiamat). Maka perbanyakkan selawat kepadaku kerana semua selawat kamu dibentangkan padaku. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana selawat kami itu boleh dibentangkan padamu sedangkan kamu sudah hancur. Rasulullah menjawab: “sesungguhnya Allah mengharamkan jasad para nabi kepada bumi,” - Sunan Abu Dawud dan al-Nasa’i.

Selain itu, ada juga kisah yang menyatakan jasad orang yang mati syahid turut dijaga Allah:

Jabir bin Abdullah r.a. mengatakan: “Menjelang Perang Uhud, ayahku memanggilku pada waktu malam lalu berkata: Aku rasa akan menjadi orang pertama yang gugur dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW. Sungguh aku tidak meninggalkan seorang pun yang lebih aku sayangi selain kamu di samping Rasulullah. Sesungguhnya aku memiliki hutang maka lunaskanlah, dan bersikap baiklah kepada semua saudara perempuanmu. Keesokan harinya memang dia menjadi orang yang pertama gugur dan dia dikebumikan bersama seorang syahid yang lain dalam satu kubur. Hatiku merasa kurang senang membiarkan ayahku berkongsi kubur dengan orang lain. Selepas enam bulan aku membongkar kuburnya dan mengeluarkannya. Jasadnya masih utuh seperti ketika aku menguburkannya melainkan sedikit kecacatan pada telinganya,” - Sahih Bukhari.

Kemuliaan yang Allah kurniakan kepada orang yang mati syahid secara tidak langsung disinggung Allah oleh firman-Nya:

“Dan jangan sesekali engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki,” (Ali ‘Imran [3:169]).


KEMULIAAN PENGHAFAZ AL-QURAN

Kalau begitu kemuliaannya bagi orang yang mati syahid, bagaimana pula para penghafaz al-Quran? Mari kita lihat beberapa janji kemuliaan kepada mereka. Sabda Rasulullah:

“Sesungguhnya antara cara mengagungkan Allah adalah dengan memuliakan orang tua Muslim dan penghafaz al-Quran yang tidak berlebih pada (membacanya hanya untuk tajwid tanpa beramal atau tadabbur maknanya) dan tidak meninggalkan bacaannya (kerana sibuk membaca tafsir). Juga memuliakan pemimpin yang adil,” - Sunan Abu Dawud.

Juga sabda baginda: “Allah mempunyai ramai manusia pilihan-Nya. Sesungguhnya (antara) manusia pilihan Allah (Ahlullah) yang sangat istimewa adalah ahli al-Quran (para penghafaz al-Quran atau orang yang mendalami dan menghayatinya),” - Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad.

Kesimpulannya, tiada nas yang jelas mengatakan jasad orang yang mati syahid atau para penghafaz al-Quran tidak akan hancur dimakan bumi. Walaupun begitu, Allah mampu melakukan apa sahaja bagi menyerlahkan kemuliaan sesetengah hamba pilihan-Nya.

Apa yang lebih penting bagi para penghafaz al-Quran bukannya mengejar ‘nama, pangkat atau kelebihan jasad tidak dimamah bumi’, sebaliknya mencari reda Allah agar legasi ilmu atau pahala mereka tidak hancur dimamah zaman.

Bagaimana caranya? Sebarkan isi al-Quran, ramaikan murid, perbanyakkan karya atau jasa ilmu, gandakan usaha menjaga hafazan. Insya-Allah, jika ini yang dilakukan, para penghafaz al-Quran yang sudah meninggal dunia akan terus hidup bersama Kalam Suci Tuhan ini sehingga akhir zaman.

Boleh sahaja Allah

selaku Tuhan alam semesta mengarahkan agar si ulat, bakteria dan segala mikro-organisme yang biasa membaham mayat agar kenal dan menjauhi jasad para kekasihnya. Lalu pada saat itu, jasad mereka ini kebal daripada fitrah pereputan dan santapan makhluk dalam kubur.