Dalam bahasa mudah, mata wang bukan barang dan perkhidmatan tetapi ia diperlukan untuk membeli kedua-duanya. Prinsip syariah berkenaan mata wang dikenali sebagai hukum al-sarf atau pertukaran mata wang dengan mata wang. Hukum ini penting kerana riba atau faedah yang diharamkan oleh syariah terjadi apabila berlaku pertukaran wang dengan wang atau barang tertentu dengan barang tertentu.

Dalam hadis Rasulullah SAW, ia disebut sebagai pertukaran emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam.

Para ulama bersepakat bahawa sebab kenapa emas dan perak termasuk dalam hadis ini adalah kerana sifat dan peranannya sebagai alat pertukaran atau mata wang (al-thamaniyyah).

Mengenai barangan lain yang disebut dalam hadis ini, ulama berbeza pandangan.

Pandangan rasmi mazhab Syafie:

  •  Setiap barangan yang boleh dimakan mampu berlaku riba apabila terjadinya pertukaran secara bertangguh antara barang makanan yang sama seperti beras dengan beras atau dengan barang makanan lain seperti beras serta gandum.
  •  Tetapi riba tidak mungkin berlaku dalam pertukaran antara beras dengan minyak sawit mentah kerana komoditi yang belum diproses itu tidak boleh dimakan.

KEUTAMAAN

Kepentingan utama dalam perbincangan syariah tentang mata wang ialah riba atau cara menjauhi diri daripada amalan itu yang diharamkan dan merupakan dosa besar.

Riba hanya boleh berlaku melalui pertukaran satu mata wang dengan mata wang yang lain (sama ada yang sama seperti RM dengan RM atau berbeza seperti RM dengan AS$).

Dalam konteks ini, syariah diberikan panduan ketat dalam menjauhkan diri daripada beramal dengan riba. Sehubungan itu, kalau kita boleh beriltizam dengan segala prinsip dan hukum syariah dalam transaksi mata wang iaitu melakukan transaksi secara tunai, kita juga boleh menjual beli mata wang dalam pasaran mata wang dengan syarat ia satu transaksi tunai dan jauh daripada transaksi bersifat margin.

Apakah tuntutan syariah dalam perkara ini?

  •  Setiap orang perlu memiliki dan menyerahkan mata wang masing-masing secara kuantiti penuh dan secara tunai pada tempoh jualan segera.
  •  Piawaian syariah tentang mata wang pada peringkat antarabangsa dinamakan sebagai Piawaian Penjualan Mata Wang (bukan pertukaran mata wang).
  • Syariah tidak memberikan panduan ketat berkenaan apakah yang boleh menjadi mata wang.

* Pada zaman dahulu, mata wang berasaskan bahan logam emas dan perak yang sebenar di mana setiap keping dinar atau dirham masing-masing mempunyai emas dan perak dengan kuantiti tertentu.

* Itu adalah amalan dalam sejarah tetapi ini bukanlah keperluan syariah yang diwahyukan.

Saidina Umar al-Khattab r.a. pernah terfikir untuk menjadikan mata wang pada zaman beliau daripada kulit kuda tetapi dinasihati oleh para sahabatnya bahawa ia bakal menyebabkan pupusnya kuda. Kuda pada masa tersebut adalah alat pengangkutan yang paling penting dalam kehidupan biasa dan misi peperangan. Cadangan ini tidak menjadi kenyataan kerana memikirkan kemaslahatan yang lebih besar. Tetapi para sahabat dan ilmuwan pada zaman tersebut tidak pernah menyanggah pandangan dan idea Umar itu.

Begitu juga, Imam Malik bin Anas, seorang ulama tersohor pada kurun kedua hijrah dan guru kepada Imam Syafie, pernah memberikan fatwa bahawa sekiranya sesuatu masyarakat menggunakan kulit kuda sebagai mata wang mereka, “pasti aku akan meletakkan hukum riba ke atas transaksi itu”. Sekali lagi, fokus hanyalah kepada amalan riba.

Ini bererti mata wang berasaskan kulit kuda apabila ditukar dengan dinar atau dirham, ia mestilah dilakukan secara tunai. Ini sama hukumnya dengan pertukaran dinar dengan dirham atau RM dengan AS$.

REALITI SEMASA

Kini mata wang yang digunakan di negara bukan lagi berasaskan emas atau perak tetapi bersandarkan kepercayaan masyarakat kepada mata wang yang dikeluarkan oleh sesebuah negara (legal tender). Itulah sifat mata wang yang terbina atas kepercayaan (trust) sesebuah masyarakat atau kelompok masyarakat di dunia ini.

Dewasa ini, timbul perbincangan intensif tentang mata wang baharu yang sudah diterima pakai oleh sebahagian penduduk dunia ini. Ia bukannya berasaskan kepada kulit kuda tetapi bersandarkan kepada satu kod kriptografi yang boleh dikenal pasti dan diselia melalui jaringan Internet.

Ia dikenali sebagai mata wang digital atau mata wang kripto kerana teknologi utama yang digunakan di sebalik mata wang ini berlandaskan kepada bidang ilmu yang dipanggil kriptografi. Gandingan bidang kriptografi, pangkalan data dan Internet menghasilkan teknologi yang dipanggil ‘blockchain’ (rantaian blok).

Ia adalah revolusi baharu mata wang yang bakal memberi impak kepada cara amalan kewangan dan transaksi perniagaan semasa. Syarikat saya, Amanie Advisors di Dubai, telah diminta memberikan pandangan dan fatwa berhubung bitcoin dan juga pelbagai mata wang digital selain bitcoin.

Para sarjana dan agensi syariah di seluruh dunia dan Malaysia masih lagi melakukan kajian terhadap kedudukan mata wang digital dalam kerangka pemikiran serta minda syariah.

Saya akan membuat artikulasi syariah daripada perspektif pandangan peribadi berhubung mata wang digital dalam seminar bertajuk, “‘Cryptocurrency, Blockchain & Distributed Ledger Technology – Synergizing Technology & Syariah’ pada esok, bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ia adalah anjuran Kulliyyah ICT UIAM bersama-sama dengan beberapa badan penyelidikan Islam dan badan bukan kerajaan.

Bagi saya, minda syariah adalah dinamik. Ia boleh menyediakan lebih daripada satu solusi dalam satu perkara tertentu. One-solution-fits-all bukanlah skima minda syariah yang sebenar.