Namun kali ini golongan yang juga digelar mat rempit dan suka membuat onar itu ingin membuktikan bahawa tanggapan tersebut adalah salah kerana mereka juga boleh berbakti serta melakukan kebajikan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Jefrizal Mohd. Jaafar berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa pihak lain baru-baru ini menganjurkan program gotong-royong membersihkan kawasan surau dengan melibatkan seramai 50 belia mat motor.

“Program ini bukan semata-mata untuk mewujudkan program sihat untuk anak-anak muda tetapi menggalakkan mereka berbuat kebajikan.

“Kita singgah di dua surau iaitu di Taman Sejahtera dan Sungai Manggis, Daerah Kuala Langat,” katanya selepas majlis perasmian Program Gotong-Royong Singgah Surau di Taman Sejahtera di Jenjarum, Selangor.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Pembangunan Persekutuan Luar Bandar Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli. Turut hadir, Pengerusi Surau Taman Sejahtera, Zurihan Mohd. Yusop dan Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri Banting, Eng Sok Hua.

Jefrizal berkata, konvoi singgah surau tersebut turut disertai Briged Gempur Pemuda BN52, MyCare, Persatuan Seni Silat Lincah Kuala Langat, serta Kelab Sukan dan Rekreasi, Parlimen Kuala Langat.

“Kita berharap program seperti ini dapat memberi pendedahan kepada generasi muda untuk mengimarahkan surau dengan kegiatan santai. Mesej kita hanya satu iaitu perpaduan ummah perlu diperkasakan agar umat Islam terus dihormati di negara kita,” katanya. - ABDUL RAZAK IDRIS