Seiring dengan kemajuan teknologi, ia turut menyaksikan perubahan dalam reka bentuk bangunan dan terhasil sebuah masjid yang berkonsepkan ‘masjid dalam taman’, iaitu Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Masjid ini yang dahulu lebih dikenali sebagai Masjid Jalan Duta, mula dibina pada 1997 dan siap digunakan pada 25 Oktober 2000.

Rumah Allah ini dibina dengan menggunakan konsep tradisi masjid-masjid Uthmaniyah di Turki - seni reka bentuk dan hiasan dalamannya adalah kombinasi antara tradisi Melayu dan Timur Tengah.

Masjid yang terletak berhampiran Kompleks Kerajaan, Jalan Duta ini mampu menampung kapasiti jemaah sehingga 17,000 orang pada satu-satu masa. Dengan keluasan bangunan kira-kira 47,000 meter persegi, masjid yang menjadi mercu tanda ibu negara tersebut turut dilengkapi pelbagai kemudahan dan merupakan masjid termoden yang ada di Malaysia pada masa ini.

KONSEP PEMBINAAN

Fungsi masjid sebagai tempat beribadat, pusat komuniti dan kompleks ilmu dicantumkan untuk menjadi asas kepada konsep reka bentuk masjid ini. Reka bentuk kubahnya adalah cantuman beberapa buah kubah yang terdiri daripada sebuah kubah utama, kubah-kubah separuh (half domes), sebuah ‘vault’ dan kubah-kubah kecil lain di atas ruang solat utama.

Kubah utamanya bergaris pusat 30 meter dengan ketinggiannya mencapai sehingga 45 meter dari aras lantai ruang solat utama. Secara keseluruhannya, terdapat 22 buah kubah di masjid ini. Sebuah laman terbuka yang dinamakan ‘laman hidayah’ dibina di tengah-tengah bangunan bagi tujuan aktiviti solat dan juga boleh berfungsi sebagai ruang interaksi terbuka.

REKA BENTUK LANDSKAP

Bagi menjadikan masjid sebagai tempat tumpuan masyarakat, reka bentuk masjid ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan landskapnya. Konsep masjid dalam taman di tengah-tengah kota raya ini adalah unik kerana reka bentuknya diintegrasi dan disertai landskap yang indah dan harmoni, bersesuaian dengan keadaan topografi serta persekitarannya.

Ia turut dikelilingi kolam air yang memberi kesan terapung dan pembalikan bayang masjid di permukaan air di samping menambahkan keindahannya serta memberi kenyamanan udara di persekitarannya.

TAMAN-TAMAN

* Taman Hutan (De Forest)

- Berfungsi sebagai zon pemampan (buffer zone) ditumbuhi spesis tumbuhan Hutan Hujan Tropika Malaysia.

* Taman Riadah (De Palma/ De Flora)

- Persekitaran ditanam dengan koleksi spesies palma dan disediakan laluan pejalan kaki untuk beriadah

* Taman Perubatan (De Ethno-botanica)

- Terdiri daripada spesies herba, ubat ubatan dan rempah di samping bunga-bunga wangi.

SISTEM PENCAHAYAAN

* Sistem pencahayaan yang digunakan adalah sistem cahaya pantulan.

* Di atas kubah utama, terdapat beberapa buah prisma berteknologi komputer di mana pada siang, prisma ini akan memerangkap cahaya matahari dan memantulkan cahaya ke candelier.

* Daripada candelier, cahaya akan dipantulkan ke seluruh ruang solat utama.

* Pada waktu malam, lampu simbah yang terletak di penjuru kubah akan menyinari prisma ini dan memantulkan cahaya ke candelier tersebut.

REKA BENTUK HIASAN DALAMAN

* Kombinasi reka bentuk tradisi Melayu dan Timur Tengah seperti Mesir, Morocco, Turki dan Arab Saudi dihasilkan pada reka bentuk hiasan siling, mimbar, mihrab, pemidang, pintu masuk utama dan dinding kaca.

* Ukiran batu, kayu adalah daripada bentuk awan larat lima jenis bunga iaitu bunga tikam, mas, cempaka, kenanga, tanjung, melur dan dedaun paku pakis yang dihasilkan oleh pengukir tempatan dari Kelantan dan Terengganu.

* Ukiran batu pada Pintu Gerbang Utama dan Mihrab diukir oleh pengukir mahir dari India yang mempunyai pertalian saudara dengan pengukir asal Taj Mahal di India.

*Masjid ini mempunyai reka bentuk Muqarnas Iran yang berasaskan tujuh, lima dan tiga pecahan yang diperbuat daripada batu marmar jenis ‘Makarana’ dari India.

Antara kelengkapan bangunan

Anjung A: Dewan serbaguna, bilik VVIP

Anjung B : Dewan Muslimin dan Muslimat, bilik pemandu pelancong masjid

Anjung C : Dewan pernikahan

Anjung D: Bilik asrama, pejabat sekolah, tadika, nurseri, sekolah agama, bilik penginapan, perpustakaan, makmal komputer.

KESIMPULAN

Penyebaran agama bukan terbatas hanya di masjid semata-mata, namun masjid seharusnya menjadi tempat dan pusat kegiatan dakwah serta pusat komuniti setempat. Dengan segala kemudahan yang disediakan, masjid ini diharap dapat menjadi suatu tempat yang boleh dimanfaatkan secara maksimum oleh masyarakat setempat mahupun pemimpin-pemimpin dunia.

Semoga Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini menjadi suatu institusi yang boleh diteladani bagi institusi Islam lain dalam dan luar negara dalam menyebarluaskan dakwah di muka bumi ini.