Dibina pada 1918 dengan dana yang dikumpulkan oleh kariah tempatan, Masjid Al-Ehsan mengalami proses naik taraf dan pengubahsuaian sebanyak dua kali iaitu pada 1976 dan 2012, ketika ini mampu menempatkan kira-kira 6,000 jemaah pada satu-satu masa.

Seiring dengan pembangunan di kawasan Bukit Baru yang terletak dalam Parlimen Bukit Katil, masjid berkenaan menjadi tempat pertemuan umat Islam di sekitarnya iaitu lima buah kampung dan sembilan buah taman perumahan, itu tidak termasuk jemaah dari luar yang singgah menunaikan ibadat berikutan kedudukannya tidak jauh dari pusat bandar raya Melaka.

Apa yang mengagumkan, pelbagai aktiviti diatur dan dilaksanakan oleh pentadbiran masjid tersebut, yang dengan kata lain Masjid Al-Ehsan seperti rumah kedua umat Islam di sekitar kawasan itu.

Pengerusi masjid berkenaan, Datuk Mohd. Said Osman berkata, hasrat pihaknya cuma satu iaitu menjadikan masjid sebagai tempat untuk masyarakat berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti.

“Kami memegang moto iaitu masjid dan masyarakat berpisah tiada, di mana masjid adalah permulaan kepada apa sahaja perkara baik dalam Islam termasuk mengeratkan silaturahim.

“Saya juga menerangkan kepada masyarakat di kawasan ini iaitu jika ada perbincangan atau cadangan untuk mengimarahkan masjid boleh gunakan kemudahan dan kita akan bantu,” katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Maulidur Rasul dan penutup program 40 Waktu Solat Subuh Berjemaah di masjid itu baru-baru ini.

AKTIF BERMASYARAKAT

Antara program yang dilaksanakan adalah ceramah bulanan dan mingguan, majlis berkhatan, Quran Hour, kursus asas haji dan seminar peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Pentaksiran Tingkatan 3, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Selain itu, Masjid Al-Ehsan turut menganjurkan program kemasyarakatan seperti kelas mengaji al-Quran, majlis khatam dan tadarus sempena Ramadan, kuliah subuh, majlis Qiyamullail, majlis berbuka puasa dan sambutan hari raya, kenduri kesyukuran, kenduri arwah serta tahlil.

Tidak terhenti di situ, apa yang membuatkan masjid ini berbeza adalah ia sering menganjurkan program bantuan masyarakat di mana setiap kali berlaku kematian dalam kalangan penduduk kariah itu, jawatankuasa masjid akan menanggung semua kos pengebumian dari awal hingga akhir tanpa perlu keluarga si mati mengeluarkan sesen pun.

Masjid itu juga saban tahun menganjurkan program Khatan Perdana di mana segala kos perbelanjaan ditanggung oleh pihak masjid dan ini yang menyebabkan masyarakat kawasan itu berasa selesa dengan perjalanan pentadbirannya.

“Sebagai rumah ibadat yang menjadi pusat berkumpul umat Islam, niat kami cuma satu iaitu hasil sumbangan yang diinfakkan oleh penduduk akan digunakan semula untuk kebajikan serta kegunaan mereka,” kata Mohd. Said yang memberitahu sebanyak 27 ahli jawatankuasa dilantik dan mereka dibahagikan kepada pelbagai biro termasuk dakwah, kebajikan, pendidikan dan sebagainya.

Sebagai contoh, majlis penutup program 40 Waktu Solat Subuh Berjemaah yang diadakan sempena cuti persekolahan baru-baru ini menarik penyertaan kira-kira 43 orang kanak-kanak dan remaja berusia antara 12 hingga 16 tahun di mana penyertaan adalah percuma dan mereka mengisi masa cuti sekolah dengan pengisian pelbagai program termasuk solat subuh berjemaah.

Penutup program itu turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Mufti Kerajaan negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil yang memuji langkah proaktif dilakukan oleh pengurusan masjid berkenaan.

Kesemua peserta program menerima hadiah berupa sebuah basikal setiap seorang dan apa yang menarik, jemputan pada malam tersebut yang dianggarkan sebanyak 300 orang iaitu ibu bapa peserta bertambah kepada 500 orang pada malam itu yang turut menyertai majlis selawat ke atas junjungan besar Rasulullah SAW.

“Banyak lagi program yang akan dilaksanakan di masjid ini antaranya program umrah, program pemeriksaan kesihatan, kursus usahawan Melayu Islam dan sambutan ke-100 tahun kewujudan masjid ini pada tahun 2018 dan semua program ini dibiayai hasil sumbangan masyarakat dan individu,” kata Mohd. Said.