Tambah teruja apabila melihat dulang ‘ayan’ serta pinggan-mangkuk lama corak bunga kangkung dan ros merah yang digunakan, membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak.

Itu antara keunikan yang sengaja ditonjolkan di Lubuk Bangku D’Cafe Cabin, nama yang diambil sempena satu daerah di Paya Kumbuh, Sumatera Barat.

“Arwah datuk saya berasal dari Danau Meninjau, di Sumatera Barat. Saya dan suami pernah ke sana beberapa kali bagi menziarahi saudara mara. Setiap kali ke Danau Meninjau kami akan singgah makan di satu kawasan ini yang dipanggil, Lubuk Bangku. Keenakan makanan di daerah ini memang sukar dibayangkan, sehingga terkenang-kenang walaupun sudah kembali ke tanah air.

“Jadi, apabila memutuskan untuk mengusahakan perniagaan makanan, kami sepakat menggunakan nama Lubuk Bangku bagi mengingati keenakan makanan di daerah tersebut.

“Kebetulan emak di kampung pula mempunyai banyak koleksi dulang dan pinggan-mangkuk lama, yang kami anggap cukup klasik dan nostalgia. Dia tidak pula keberatan apabila kami menyuarakan untuk ‘meminjamnya’,” kata Rouzieda Abd Ghani, 49.

Wanita ini merupakan individu penting di sebalik tempat makan yang semakin menjadi ‘buah mulut’ terutama kalangan mereka yang bekerja di sekitar Bangsar Utama.

Memang dalam perniagaan makanan, mempertaruh kelainan sahaja tidak cukup kerana yang dicari orang sesuatu yang sedap dan memenuhi selera untuk membolehkan mereka ulang datang.

Rouzieda juga percaya hal itu. Sebab itu, dia hanya menampilkan sesuatu yang dia pandai buat, iaitu makanan tulen Negeri Sembilan.

“Nak kata pakar tu tidaklah, tetapi alhamdulillah kebanyakan yang datang makan di sini akan kata memang masakan tulen Negeri Sembilan, terutama daging salai masak lemak cili padi saya.

“Rahsianya, saya tidak ubah apa-apa memang resipi asal, macam mana emak saya masak dulu-dulu itulah yang saya buat.

“Memang banyak versi masak lemak cili padi, ikut cara masing-masing, tetapi kalau resipi Negeri Sembilan asli hanya guna cili padi kampung dan kunyit hidup digiling dengan garam kasar, langsung tidak guna bawang. Paling penting santan mesti segar dan pekat, bukan santan kotak atau cair,” kata wanita asal Kuala Pilah itu.

Apapun, Rouzieda tetap percaya petua orang tua-tua bahawa keenakan sesuatu masakan bergantung juga pada ‘air tangan’ tukang masaknya.

Sebab itu, semua sajian dia masak sendiri untuk mendapatkan aura ‘masak macam mak-mak masak’, yang turut menjadi tagline Lubuk Bangku D’Cafe Cabin.

Selain itu, dia juga menggunakan daging salai yang disalai sendiri dengan kayu api atau sabut kelapa bagi membangkitkan aroma salai.

“Dalam seminggu biasanya saya guna 20 hingga 40 kilogram daging segar. Daging yang baru dibeli jangan dibasuh dahulu, sebaliknya terus disalai atas bara, kemudian direbus dan toskan, baru dipotong nipis untuk dimasak,” katanya yang turut dibantu oleh suami, Azhar Ali, 51.

Selain daging salai, pasti akan ada yang terliur ikan sembilang dan ayam kampung masak lemak cili padi, ayam kampung kicap, keli dan telapia belado, terung belado, teluk itik masak lemak, sambal Minang dan gulai pucuk ubi tempoyak.

Sesekali, dia juga menukar menu dengan sajian-sajian yang agak jarang ditemui seperti gulai kulit rambai kering bersama ikan, umbut kelapa masak lemak putih, sambal gesek (ikan bilis, cili dan perahan asam limau), cendawan kukur masak lemak, tempoyak daun kayu (pucuk ubi, pucuk paku, daun kaduk, daun kunyit dimasak bersama serai dan cili padi).

“Saya masak tak ikut buku. Apa yang saya tergerak hendak masak pada hari itu, saya akan masak. Tapi, daging salai masak lemak cili padi memang wajib ada kerana ramai yang mencarinya, malah sesetengahnya sanggup datang dari Putrajaya untuk makan tengah hari di sini,” katanya.

Sebelum itu, jika ada yang mula membayangkan tempat diceritakan ini adalah restoran mewah berhawa dingin atau dengan hiasan ala hipster seperti yang trending sekarang, buang jauh-jauh gambaran tersebut

Sebaliknya, Lubuk Bangku D’Cafe Cabin sekadar gerai bawah pokok dengan menggunakan kabin lama yang diubah suai.

Dalam pada itu Azhar mengakui, mereka bermula dengan tiga meja sahaja kira-kira setahun lalu.

Namun, disebabkan pengunjung bertambah hari demi hari, dia meletakkan dua khemah kanvas yang semuanya boleh memuatkan kira-kira 100 orang pada satu masa.

“Kabin ini bekas pejabat persatuan penduduk perumahan pekerja Keretapi Tanah Melayu yang terbiar. Banyak juga ubah suai yang terpaksa dilakukan termasuk terpaksa menyewa kren bagi mengubah kedudukannya seperti sekarang.

“Saya suka tempat ini kerana pelanggan dapat makan dengan santai dan selesa,” katanya yang turut menerima tempahan katering secara kecil-kecilan.

Lubuk Bangku 
D’Cafe Cabin

Lokasi: Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar, 
Kuala Lumpur. 
( 019-2839321)

Instagram @lubukbangku,

Masakan: Autentik 
Negeri Sembilan