Dipilih sebagai ikon Maqbul, Azhar menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya untuk menarik lebih ramai umat Islam mengerjakan ibadat umrah, selain berusaha menarik minat masyarakat bukan Islam berkunjung ke negara Islam menerusi pakej pelancongan disediakan oleh Maqbul pada harga yang sangat berpatutan.

Anak kelahiran Kedah itu bukan sahaja fasih dalam bahasa Arab Fushah (rasmi) dan bahasa Arab pasar iaitu Ami, dia juga arif kawasan di Tanah Suci lantaran pernah melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah dalam bidang Hadis di Universiti Islam Madinah pada 1997 hingga 2002.

Katanya, kesempatan dan masa terluang semasa menimba ilmu di Madinah membolehkannya melakukan kerja sampingan sebagai mutawif bagi menambah pendapatan dan membantu peserta umrah melakukan ibadat dengan lebih baik terutama buat mereka yang pertama kali mengerjakan ibadah berkenaan.

“Pada usia 25 tahun, saya telah berjinak-jinak dalam ibadat umrah dengan menjadi mutawif dan selepas tamat pengajian, saya bekerja sebagai pegawai pembimbing dengan sebuah syarikat tempatan yang membawa produk telekomunikasi dan kurier ke Mekah.

“Saya kemudiannya menyertai Felda Travel Sdn. Bhd. (Felda Travel) pada 2006 sebagai Ketua Operasi Haji syarikat dan bertindak membantu golongan peneroka mengerjakan ibadat umrah sehingga 2016.

“Dalam tempoh tersebut, hanya empat kali saya tidak berkesempatan melakukan ibadat haji tetapi umrah tetap dilakukan setiap tahun,” katanya yang ditemui Mega Mimbar baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, selain mendapat tauliah sebagai tenaga pengajar di Tabung Haji untuk jemaah haji negara iaitu Pengkhusus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta), dia juga Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) di Tanah Suci.

Jelasnya, seorang Pekta tidak semestinya seorang Pihtas kerana menjadi petugas Pihtas perlu menjalani ujian saringan untuk memegang jawatan tersebut.

PELBAGAI KELEBIHAN

Beliau yang juga Pengarah Umrah dan Bimbingan di Maqbul berkata, selain syarikat yang diuruskan olehnya itu mendapat persijilan dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara termasuk daripada pihak muassasah di Arab Saudi, Maqbul turut mempunyai unit visa sendiri.

Jelasnya, unit visa Maqbul akan mengurus dan mengawal sendiri urusan bagi mendapatkan visa kepada peserta umrah untuk mengelak berlakunya sebarang permasalahan atau ‘hidden cost’, sekali gus dapat menawarkan harga pakej yang lebih murah kepada orang ramai.

“Alhamdulillah, semua kelebihan yang dimiliki ini saya gunakan sebaiknya untuk memberi bimbingan terbaik kepada semua peserta umrah yang memilih Maqbul sebagai agensi umrah mereka,” katanya penuh keyakinan.

Ditanya mengenai penglibatan dirinya dalam aktiviti sosial, Azhar berkata, dia pernah ditugaskan sebagai Nazir Masjid al-Muttaqim Taman Equine Park, Seri Kembangan, Selangor sehingga 2014.

Selain itu, beliau juga menjawat jawatan Timbalan Presiden dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ikatan Lepasan Pelajar Universiti Arab Saudi (Wasim) dan tugas itu dipikulnya sehingga kini selama hampir tiga penggal.

Tambah beliau, dia juga adalah Ahli Lembaga Sekolah Sri Islah iaitu sebuah sekolah rendah Islam di kampung halamannya di Pendang, Kedah.