Beruntunglah orang kaya yang jiwanya sentiasa tawaduk dan selalu menjadi golongan yang di atas. Suka memberi dan membantu saudara seagama yang memerlukan. Walaupun tidak pernah bersua muka, namun atas kalimah Laaila haillah, kita dipersaudara.

Itulah yang membawa rombongan 15 orang dalam Kembara al-Barakah untuk Ibadat Korban, Akikah dan Misi Kemanusiaan Kemboja pada 3 hingga 6 September lalu. Ia adalah anjuran Yayasan As-Syafie (YAS) dengan kerjasama Bank Rakyat.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, rombongan yang disambut oleh wakil YAS di Kemboja dibawa menaiki bas ke Wilayah Kampot. Perjalanan dari ibu negara Kemboja menggunakan kenderaan darat ke Kampot mengambil masa kira-kira tiga jam walaupun jaraknya hanya kira-kira 140 kilometer.

Wilayah Kampot adalah kawasan kedua paling ramai penduduk Islam selepas Wilayah Champa. Populasi Kemboja dianggarkan 13 juta orang dengan penduduk Islamnya dianggarkan lebih sedikit daripada 1 juta orang.

Fokus utama walaupun menjalani ibadat korban tetapi rombongan turut membawa pakaian baharu dan terpakai untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan. Selain itu, dalam Ziarah Asnaf ke Kampung Tepiang Smach sejumlah 157 keluarga menerima beras 10 kilogram (kg) dan pakaian yang dibawa dari Kuala Lumpur. Kesemua barangan tersebut disumbangkan oleh Bank Rakyat.

Mengetuai rombongan Bank Rakyat ialah Ketua Pegawai Risikonya, Ahmad Syukri Abd. Rahman. Turut serta Naib Presiden di Pejabat Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Datuk Shaharudin Mohd. Sa’ad dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAS, Mohd. Zamerey Abdul Razak serta dua lagi ahli iaitu Dr. Shauqi Othman dan Rahimi Md. Saad.

Saya sifatkan misi ini berjaya bantu meringankan beban kemiskinan umat Islam di Kampot dan juga yang tinggal dalam sampan di pinggir Sungai Mekong/Tonle Sap.

“Di Kampung Keh, pembinaan bangunan asrama pelajar perempuan di Maahad Imam Syafie masih memerlukan dana dan sumbangan. Infrastruktur yang lengkap amat penting bagi membantu para pelajar fokus kepada pelajaran masing-masing.

“Membantu dalam pendidikan adalah langkah yang tepat. Jika anak-anak di sana tidak dibantu mereka pasti akan tercicir dalam pelajaran dan akan mewarisi kemiskinan sampai bila-bila.

Pembinaan modal insan terbaik

Dalam perkembangan berkaitan, rombongan turut dibawa melawat kompleks Maahad Imam Syafie (AIS) yang mula dibangunkan pada 2009 di Kampung Keh, Wilayah Kampot. Yang menarik, sebahagian besar dana pembinaan kompleks di atas tanah seluas kira 3.3 hektar itu adalah hasil dana wakaf orang Malaysia dan Asia Barat.

Kini ia menawarkan peluang pendidikan kepada 260 pelajar dari seluruh Kemboja.

Dalam ziarah itu, para peserta dapat menyaksikan pembinaan bangunan empat tingkat bagi menempatkan kelas pengajian pelajar perempuan dan bangunan tiga tingkat asrama pelajar perempuan yang telah siap di tanah bersebelahan asrama pelajar lelaki.

Kos pembinaan kelas empat tingkat adalah kira-kira RM1.08 juta (AS$258,000), kos bina asrama perempuan kira-kira RM672,000 (AS$160,00), kos bina lima unit rumah teres dua tingkat untuk kuarters guru RM462,000 (AS$110,000), manakala kos membina masjid yang sedang rancak dijalankan dianggarkan RM210,000 (AS$50,000). Ia boleh memuatkan kira-kira 400 jemaah pada satu-satu masa.