Kemudahan itu turut dimanfaatkan oleh institusi Islam bagi menyampaikan maklumat seperti rujukan waktu solat dan waktu menetapkan anak bulan kepada orang ramai.

Tidak ketinggalan memanfaatkan kemudahan teknologi tersebut, Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang dalam fasa terakhir untuk menyiapkan aplikasi menerusi telefon pintar bagi memudahkan umat Islam mendapatkan maklumat pembayaran dan pengagihan zakat semudah di hujung jari.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Basith Abdul Hamid berkata, menerusi aplikasi tersebut, pengguna dapat mengetahui kaedah kiraan zakat seperti zakat pendapatan dan perniagaan, di samping saluran membayar zakat.

“Kita juga ke arah membina aplikasi yang memudahkan penyaluran bantuan kepada asnaf, dalam masa sama status asnaf juga boleh diakses oleh pembayar zakat.

“Kita sasarkan aplikasi ini siap dibina dan diguna pakai pada suku akhir tahun ini.

“Ia juga boleh digunakan oleh golongan asnaf untuk mengetahui status bantuan yang dimohon,” katanya pada Program Kasihku Zakat Selangor Bersama Puncak Niaga Holdings Bhd. (PNHB) di Wisma Rozali, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan PNHB, Datuk Nasir Khan Illadad Khan dan Ahli Lembaga Pengarah LZS, Datuk Bakhtiar Hussin.

LZS dengan kerjasama PNHB telah membina 10 unit rumah kepada golongan asnaf yang dilengkapi tiga bilik tidur, bilik air, dapur dan ruang tamu dengan peruntukan berjumlah RM60,000 bagi setiap rumah.

Sebanyak RM50,000 dibiayai PNHB, manakala RM10,000 lagi dari LZS. - ABDUL RAZAK IDRIS