Beliau berkata pentingnya inisiatif Makkah Road adalah untuk memudahkan prosedur haji bagi jemaah yang memasuki negara itu dari semua negara di dunia selepas menyelesaikan semua prosedur di negara mereka dan tahun ini inisiatif berkenaan diperkenal secara efektif untuk jemaah haji dari Malaysia serta Indonesia.

“Projek ini telah mencapai kejayaan besar di kedua-dua negara tersebut hasil usaha sektor dan agensi berkaitan di kedua-dua negara,” kata beliau kepada delegasi 11 wakil media yang dijemput oleh kementerian untuk membuat liputan mengenai persiapan haji di Tanah Suci.

Beliau berkata, Makkah Road ialah satu daripada inisiatif yang dilaksanakan dalam konteks Program Transformasi Negara 2020 untuk mencapai Wawasan 2030 Kerajaan Arab Saudi bagi meningkatkan perkhidmatan dan memudahkan prosedur untuk jemaah.

“Kami menjangka untuk meningkatkan jumlah negara yang terlibat dalam inisiatif Makkah Road tahun depan,” katanya.

MEMPERCEPAT PROSEDUR

Melalui inisiatif Makkah Road, pihak berkuasa lapangan terbang menyasarkan tempoh 20 minit untuk urusan pelepasan jemaah dari mendarat hingga menaiki bas yang menunggu untuk menghantar mereka ke hotel-hotel berkenaan di Mekah.

Inisiatif itu bermula sebaik selesai urusan visa ke Arab Saudi dari negara jemaah haji, di lapangan terbang apabila penerbangan dari negara asal berlepas, dengan kerjasama pelbagai agensi berkenaan di Arab Saudi untuk memudahkan urusan dan keperluan jemaah haji.

Cap jari jemaah haji yang tiba bawah inisiatif Makkah Road diambil dan pasport mereka dicop di negara asal semasa berlepas dan kemasukan mereka ke Arab Saudi akan dipermudah seperti penerbangan domestik, sementara bagasi akan dihantar terus ke hotel dan tempat tinggal mereka.

Inisiatif ini turut melibatkan jemaah dari Indonesia, tetapi hanya mereka yang menaiki penerbangan melalui Lapangan Terbang Soekarno Hatta di Jakarta.

Dr. Awwad berkata, Mekah adalah Tanah Suci untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa apabila umat Islam dari seluruh pelosok dunia berhimpun untuk menunaikan haji.

HAJI IBADAH UNIK

Haji ialah untuk menyatukan umat Islam dan tiada tempat untuk perbezaan. Jemaah haji ingin melaksanakan haji dengan selamat dan berdoa semoga Allah mengampuni dosa mereka dan kemudian kembali dengan selamat ke tanah air mereka.

Beliau berkata, kepimpinan Arab Saudi menganggapnya sebagai tugas untuk berkhidmat kepada jemaah yang menjadi Dhuyufurrahman (Tetamu Allah) apabila mereka mula menjejakkan kami di Tanah Suci dan melawat kedua-dua Masjid Suci sebelum kembali ke negara mereka.

Dr. Awwad berkata, semua menteri dalam kerajaan Arab Saudi berada dalam keadaan siap siaga dan bertugas selama 24 jam untuk mengikuti perkembangan haji.

“Haji adalah peristiwa unik apabila lebih tiga juta jemaah berkumpul di satu tempat dan bergerak di ruang sempit di tempat yang sama. Haji adalah sesuatu yang tidak boleh ditangguh jika memenuhi syarat kerana haji adalah berkaitan berada tepat pada masanya dan pada masa tertentu. – BERNAMA