Bagi mengurangkan bebanan bakal pengantin, keluarga dan sanak saudara lazimnya akan turut membantu menguruskan persiapan sehingga majlis berlangsung.

Semestinya untuk merealisasikan impian tersebut, bukan sahaja tenaga diperlukan malahan melibatkan peruntukan kewangan. Oleh itu, menjadi kebiasaan kepada pasangan yang ingin berkahwin membuat pinjaman bank semata-mata untuk memastikan hari istimewa mereka meriah dan mendapat pujian ramai.

Realitinya, bukan semua pasangan mempunyai peluang untuk merasai perkahwinan bak raja sehari, tambahan pula kos sara hidup di kota raya yang semakin meningkat telah memaksa sebahagian mereka menangguhkan perkahwinan mereka.

Lantaran bagi membantu golongan asnaf dan fakir miskin memudahkan urusan perkahwinan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) baru-baru ini, mengadakan Majlis Walimatul Urus Perdana Asnaf Baitulmal MAIWP 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan pasti mengimpikan majlis yang gemilang dan meriah, namun ia mungkin terbatas disebabkan faktor kewangan serta persekitaran.

“Oleh itu, peranan besar yang dilakukan MAIWP dalam membantu meringankan bebanan golongan asnaf patut dipuji. Bantuan yang diberikan bukan sahaja bertujuan untuk bermegah, tetapi cukuplah sekadar dapat mengadakan majlis perkahwinan yang ringkas serta menepati syarak.

“Tambahan mereka yang berkahwin mungkin mempunyai masalah kewangan dan tempat tinggal yang agak terbatas sehingga menyebabkan majlis perkahwinan tidak dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika hadir meraikan pasangan pengantin di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Kuala Lumpur baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Mohd.Dusuki, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Musthapa; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Zainal Abidin Jaffar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Paimuzi Yahya.

Terdahulu, seramai 30 pasangan asnaf dinikahkan oleh imam dan saksi yang disediakan oleh MAIWP. Bantuan perkahwinan ini merupakan satu daripada 28 Skim Bantuan Baitulmal MAIWP yang ditawarkan menerusi Bahagian Baitulmal.

Skim bantuan yang ditawarkan tersebut adalah bagi membantu golongan asnaf daripada aspek keperluan asasi, pendidikan, bantuan berdikari, kebajikan dan dakwah.

Selain itu, MAIWP turut menyediakan dewan dan jamuan makan secara percuma kepada pengantin supaya mereka turut merasai dan berkongsi kegembiraan bergelar raja sehari dengan ahli keluarga.

Majlis itu yang dihadiri oleh tetamu dan ahli keluarga pengantin turut diserikan dengan paluan kompang dan silat. Pasangan pengantin masing-masing turut menerima cenderamata daripada MAIWP.

Tambah Jamil Khir, pada tahun ini sebanyak 5,000 asnaf telah memohon skim bantuan perkahwinan daripada agensi tersebut, namun hanya 2,862 pemohon layak setelah melalui beberapa kriteria yang ditetapkan.

“Ramai yang tidak tahu saban tahun MAIWP melalui skim perkahwinan menawarkan bantuan untuk golongan asnaf seperti fakir, miskin dan mualaf untuk melangsungkan perkahwinan.

“Dengan skim ini kita membantu memudahkan mereka melangkah ke alam perkahwinan walaupun dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin mencabar,” ujarnya.

REAKSI

Bagi Mohd. Mazlan Isa, 33, dan pasangannya Sharafina Azyyati Shokri, 32, yang bercadang melangsungkan perkahwinan pada akhir Disember tahun ini merasa sangat bertuah kerana jodoh mereka telah dipercepatkan daripada tarikh sebenar.

Mazlan berkata, apabila mereka mengetahui MAIWP membuka permohonan untuk majlis perkahwinan secara beramai-ramai, tanpa membuang masa mereka telah memohon walaupun ketika itu tarikh perkahwinan mereka telah diatur.

“Alhamdulillah, rezeki menyebelahi kami sekali gus layak untuk merasai pengalaman manis berkahwin secara beramai-ramai.

“Bantuan perkahwinan ini bukan sahaja memberi keringanan dan kemudahan kepada kami untuk mendirikan rumahtangga, malahan majlis yang dianjurkan juga diadakan secara sederhana. Perkara ini yang dituntut dalam Islam iaitu galakan untuk tidak berlebih-lebihan dan membazir,” katanya.

Pasangan Suriya Sukiran, 30, dan Mohd. Rayyan Ekus, 25, juga merasa sangat beruntung kerana Allah telah mempercepatkan jodoh mereka untuk bergelar suami isteri.

Suriya berkata, perkenalan selama dua tahun tersebut telah membuka hati mereka untuk mendirikan rumah tangga. Namun atas faktor kewangan mereka terpaksa menangguhkan dahulu hasrat tersebut.

“Dalam pada masa yang sama, suami seorang mualaf dan sering berkunjung ke MAIWP untuk menguruskan beberapa urusan bantuan yang ditawarkan kepadanya.

“Daripada itu, kami mengetahui tentang iklan perkahwinan tersebut lantas terbuka hati untuk membuat permohonan. Alhamdulillah jodoh kami dipermudahkan dan dipercepatkan untuk bergelar suami isteri,” katanya.