Situasi itu turut mendorong kepada peningkatan pembiayaan bantuan perubatan dan hemodialisis yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada setiap tahun.

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,927 permohonan diterima bagi mendapatkan bantuan perubatan daripada Baitulmal Negeri Sembilan. Dalam tempoh itu, sebanyak RM1.94 juta disalurkan kepada pemohon bantuan yang layak.

Bagi rawatan hemodialisis pula, lebih RM2.5 juta disalurkan kepada penerima dari Januari hingga Jun lalu. Bantuan secara bulanan ini diberikan kepada penerima yang tidak menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tidak mendapat tajaan mana-mana agensi penerima bantuan dan dalam kalangan penerima bantuan asnaf fakir miskin.

Baitulmal MAINS juga telah melantik beberapa panel pusat hemodialisis bagi menampung pertambahan pesakit yang tidak mendapat tajaan atau tiada kekosongan di hospital kerajaan.

Selain itu, MAINS juga telah menubuhkan Klinik dan Pusat Dialisis Waqaf An-Nur di Senawang yang menjadi klinik masyarakat pertama di negeri ini, berkonsepkan wakaf bagi kesejahteraan kesihatan masyarakat berbilang kaum.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi MAINS telah menyempurnakan perasmian klinik tersebut yang mula beroperasi pada 2003.

Walaupun merupakan klinik wakaf, namun perkhidmatannya adalah sama seperti klinik swasta lain yang memiliki doktor pakar dan pegawai perubatan terlatih.

Bagi meringankan beban pesakit, Baitulmal MAINS juga membantu dari segi keperluan ubatan, peralatan perubatan dan susu secara bulanan kepada penerima bawah asnaf fakir miskin.

Dengan adanya bayaran zakat daripada umat Islam di Negeri Sembilan, rawatan perubatan dan hemodialisis ini dapat dibiayai Baitulmal bagi membantu mereka yang memerlukan.