Seiring dengan cabaran semasa, fungsi MAINS semakin meluas berbanding semasa awal penubuhannya. Tanggungjawabnya bukan sahaja dalam hal ehwal berkaitan agama Islam dan adat, tetapi turut mencakupi segala aspek kehidupan orang Islam di Negeri Sembilan.

Bagi mencapai sasaran tersebut, MAINS merupakan tunjang dalam memperkasakan agensi pelaksana dasar Islam seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Baitulmal dan Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan serta lain-lain lagi.

Di bawah pentadbiran kerajaan negeri ketika ini, agensi dan anak syarikat MAINS berjaya memainkan peranan masing-masing dengan cekap hingga berjaya mencatat prestasi membanggakan.

Kuncinya adalah pengurusan berlandaskan sifat amanah dan profesional. Ini dapat dilihat melalui laporan prestasi kewangan MAINS 
pada tahun lalu yang mencatat pendapatan keseluruhan berjumlah RM124,429,827.

MAINS turut memberi tumpuan dalam bidang hartanah untuk pembangunan umat Islam. Ini melibatkan projek perumahan seperti di Taman Seri Rahang, Taman Senawang Indah, Taman Desa Ixora dan Warisan Puteri yang dijalankan dengan kerjasama Tabung Haji.

Selain itu, sejumlah besar peruntukan turut disalurkan bagi pembinaan serta pembelian premis perniagaan di seluruh negeri. Antaranya, lot-lot perniagaan di Terminal One, Terminal Two, Wisma Arab Malaysian, Arab Malaysian Business Center, Seremban, Senawang, Port Dickson, Tampin dan Jelebu.

Di samping itu, MAINS turut membina lot perniagaan di Jalan Yam Tuan, Seremban; Bazaar MAINS di Jalan Dato’ Abdul Rahman, Seremban dan lot kedai serta pejabat di Bahau.

BIDANG PERTANIAN

Bidang pertanian dan perladangan juga tidak dilupakan. Pada masa ini jumlah keluasan ladang yang telah dibangunkan ialah kira-kira 2,428 hektar di seluruh negeri.

1 Ladang kelapa sawit seluas 281 hektar di Mukim Serting Hilir, Jempol

2 Seluas 1,214 hektar ladang kelapa sawit di Mukim Gemencheh, Tampin dan di Mukim Jelai, Jempol

3 Seluas 526 hektar di Mukim Air Kuning, Tampin

4 Projek pertanian bercampur seluas 404 hektar di Mukim Kenaboi, Jelebu.

Dalam pada itu, MAINS juga memiliki antara kuari agregat terbesar dengan keluasan 40 hektar di Mukim Labu, Seremban selain 40 hektar lagi kuari granit di Air Kuning, Tampin.

Projek-projek ini bukan sekadar untuk menjana pendapatan, malah yang lebih penting adalah untuk memperkukuhkan ekonomi umat Islam melalui pemilikan tanah dan premis perniagaan.

Bidang pembangunan kesihatan juga merupakan satu lagi cabang yang baharu diterokai MAINS melalui projek Klinik dan Pusat Dialisis An-Nur MAINS usahasama dengan Kumpulan Perubatan Johor.

Selain itu, terdapat Klinik Pakar dan Pusat Dialisis Universiti Sains Islam Malaysia-MAINS di Nilai. Kedua-dua projek ini dilaksanakan secara konsep wakaf.

Bagi jangka masa panjang, pihak MAINS turut terlibat mengembangkan dana sedia ada melalui pemilikan saham-saham institusi dan pelaburan dalam skim pelaburan berlandaskan syariah di negara ini.

Yang menjadi pilihan adalah saham syarikat-syarikat dan institusi terpilih, saham amanah, saham terbuka di pasaran Bursa Malaysia serta simpanan tetap dan bon di institusi kewangan.

MEMARTABATKAN ILMU

Bidang ilmu tetap menjadi keutamaan apabila usaha giat dilakukan dalam bidang terjemahan, penerbitan bahan bacaan dan rujukan dengan kerjasama Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan serta pihak swasta.

Kerja-kerja terjemahan dilakukan bagi kitab-kitab bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu untuk memudahkan perkongsian dan percambahan ilmu dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Penerbitan buku pula melibatkan buku akidah dan Kelas Agama Petang oleh Sekretariat Mahasiswa Timur Tengah yang pastinya dapat dimanfaatkan oleh umat Islam bagi menambah pengetahuan masing-masing.

Kecekapan MAINS dalam menguruskan kewangan yang membawa impak besar kepada pembangunan umat dan syiar Islam sememangnya diperakui.

Pengiktirafan itu diberikan oleh Ketua Audit Negara apabila penyata Kewangan MAINS telah menerima Sijil Bersih selama sembilan tahun berturut-turut sejak 2005. Ia juga meraih status empat bintang dalam Anugerah Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan oleh Ketua Audit Negara untuk tahun 2008 hingga 2013.

PUNGUTAN ZAKAT

Pendapatan besar itu disumbang antaranya melalui anak syarikat milik penuh MAINS iaitu Pusat Zakat Negeri Sembilan yang berjaya membuat kutipan zakat sebanyak RM95.3 juta berbanding hanya RM5.8 juta pada 1998.

Bukan itu sahaja, kesedaran membayar zakat dalam kalangan rakyat negeri itu juga berjaya ditingkatkan apabila seramai 56,254 orang pada tahun lalu berbanding hanya 8,938 orang pada 2000.

Kesedaran ini dipupuk melalui usaha berterusan pihak Baitulmal yang berperanan sebagai pentadbir harta MAINS dengan mengadakan pelbagai program dan kempen bagi tujuan berkenaan. Kecekapan mengutip zakat turut diimbangi dengan pengagihannya yang efektif kepada golongan yang memerlukan.

Sehingga kini Baitulmal telah menyalurkan zakat kepada lapan asnaf dengan cemerlang dan ini terbukti sejak tahun 2006, lebihan peruntukan yang tidak dibelanjakan berjaya dikurangkan.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak RM100,579,357.39 wang zakat telah disalurkan oleh Baitulmal dengan asnaf daripada golongan miskin menerima agihan berjumlah RM31.3 juta. Diikuti asnaf fisabilillah sebanyak RM26.5 juta dan asnaf riqab (RM19.1 juta) serta asnaf kategori lain.

Selain itu, MAINS juga berjaya menguruskan satu lagi sumber yang tidak kurang pentingnya iaitu Dana Wakaf. Jika selama ini wakaf hanya dikaitkan dengan masjid, surau dan tanah perkuburan, dana tersebut membuka mata umat Islam di negeri ini tentang konsep sebenar wakaf.

Dengan diuruskan oleh Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan yang merupakan anak syarikat MAINS Holdings, ia diharap menjana satu lagi sumber utama kepada MAINS.