Hakikatnya, bahasa isyarat menjadi nadi kehidupan orang-orang pekak. Inilah ‘bahasa’ yang digunakan untuk berinteraksi dan membolehkan mereka berkomunikasi dengan orang lain.

Di sekolah, bahasa isyarat menjadi medium yang membuka peluang bagi murid-murid pekak ini belajar seperti kanak-kanak tipikal.

Menyedari betapa pentingnya bahasa isyarat sebagai medium komunikasi bagi golongan pekak, Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Centre of Quranic Research (CQR) telah menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran Murid Pekak 2014 yang berlangsung pada 10 hingga12 Oktober lalu bertempat di KUIS.

Seramai hampir 200 peserta dan pegawai dari 13 buah sekolah pendidikan khas dari seluruh Malaysia menjayakannya. Antara acara-acara yang dipertandingkan termasuk tilawah al-Quran, hafazan dan nasyid.

Murid-murid pekak yang menyertai musabaqah ini terdiri daripada mereka yang sudah mendapat pendedahan kepada Kaedah Fakih, kaedah berkesan yang menggunakan nombor dan warna.

Kaedah Fakih juga digunakan untuk mengajar murid-murid pekak yang terlibat dalam Projek Rintis Fakih membaca al-Quran.

Menurut pengasas Kaedah Fakih, Ustazah Nor ‘Aziah Mohd. Daud, ramai yang masih kurang peka tentang keperluan individu pekak berupaya untuk menghayati al-Quran.

“Orang pekak sama sahaja seperti kita. Mereka juga mengalami masalah yang sama dengan kita, bahkan lebih banyak lagi. Al-Quran sememangnya adalah syifa’ (penawar) dan dapat memberi ketenangan apabila jiwa dirundung gelisah.

“Yang pasti, mukjizat al-Quran ini bukan sekadar untuk dinikmati orang tipikal sahaja. Banyak masalah individu istimewa, khususnya golongan pekak, yang boleh diselesaikan dengan al-Quran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan FAQEH, Mohd. Zaini Mat Abas berkata, peluang untuk berkolaborasi dengan KUIS dan CQR dalam menganjurkan musabaqah ini tidak dipersiakan.

“Sememangnya matlamat Yayasan FAQEH adalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa, guru,masyarakat dan juga institusi berwajib tentang kepentingan pendidikan al-Quran serta ibadah bagi anak istimewa. Dengan penganjuran musabaqah ini, diharapkan kita dapat sama-sama melenyapkan tanggapan bahawa anak-anak istimewa tidak perlu diberi pendidikan al-Quran," ujarnya.

Tambah Mohd. Zaini, komuniti Muslim Malaysia mahupun di benua lain sedikit terkebelakang dalam memenuhi keperluan individu istimewa dalam masyarakat. Antara contoh yang paling jelas, buat masa ini hanya ada satu program dakwah di media elektronik yang mendapatkan khidmat juru bahasa isyarat untuk memudahkan kefahaman orang pekak, iaitu program 30 Minit Bersama Ustaz Don. Ini lebih malang bila mana golongan pekak ini seperti tidak diraikan di mana-mana khutbah Jumaat.

Menurut Penasihat Yayasan FAQEH yang juga Rektor KUIS, Prof. Madya Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri amat berbesar hati menjadi tuan rumah sempana Musabaqah Tilawah al-Quran murid pekak Peringkat Kebangsaan itu.

Beliau berharap agar program ini dapat diteruskan dan menjadikan program tahunan untuk peringkat kebangsaan dan program ini juga perlu diperluas ke peringkat antarabngsa. Bakat anak-anak ini perlu dikembangkan dan dipertontonkan kepada masyarakat agar mereka rasa dihargai dan ambil berat terhadap mereka.

“Kami berharap agar sokongan semua pihak dalam membantu golongan istimewa ini sebagai komuniti ‘senyap’ dapat dikembangkan agar golongan ini tidak terasa dipinggir oleh masyarakat normal serta membuka ruang bagi golongan ini menceburi pelbagai bidang mengikut kemampuan mereka," ujarnya.

Turut hadir merasmikan penutupan Musabaqah Tilawah al-Quran ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dr. Zulkifli Muhammad Al-Bakri, Ketua Centre of Quranic Research Universiti Malaya Prof. Datuk Dr. M.Y Zulkifli Mohd Yusoff, serta barisan tertinggi Yayasan FAQEH dan barisan Pengurusan Tertinggi KUIS.