Namun, amalan itu berbeza dengan dilakukan oleh Pusat Dakwah Islam Nasrussyifa el-Suraya yang terletak di Serendah, Selangor.

Beroperasi sebagai pusat pengajian dan hafalan al-Quran, madrasah ditubuhkan pada 2014 itu berkonsep ‘serampang empat mata’ yang turut menganjurkan aktiviti kemasyarakatan untuk kepentingan ummah secara menyeluruh.

Mudirnya, Nasri Sarip berkata, selain penubuhan utama sebagai pusat tahfiz al-Quran pihaknya turut menawarkan perkhidmatan rawatan alternatif, pengajian fardu ain, kaunseling rumah tangga serta menjalinkan rangkaian bersama rumah perlindungan anak yatim.

Ini tambahnya, bagi membuktikan pusat tahfiz al-Quran bukan sekadar institusi pengajian semata-mata, tetapi memainkan peranan dalam menyalurkan manfaat dan kebajikan kepada masyarakat memerlukan.

“Selain memfokuskan kepada hafalan, pelajar juga didedahkan dengan pengajian fardu ain dan ilmu agama. Bezanya di sini, kita tidak membentuk pelajar untuk menjadi hafiz yang ortodoks sebaliknya profesional dan kontemporari.

“Dalam masa sama, kita juga memperluas peranan madrasah untuk manfaat masyarakat. Antaranya, orang ramai boleh datang ke pusat dakwah kita jika ada masalah berkaitan penyakit misteri atau pelik. Di sini sepenuhnya kita menggunakan perubatan ayat-ayat al-Quran.

“Selain itu, kita juga mengalu-alukan bagi mereka yang ingin mempelajari ilmu agama seperti fardu ain untuk datang ke pusat dakwah ini mengikut jadual yang ditentukan. Begitu juga bagi mereka yang ingin mendapatkan nasihat berkaitan hal rumah tangga,” tambahnya.

BAYARAN PERCUMA

Menempatkan seramai 20 pelajar berusia di antara 10 tahun hingga 19 tahun, Pusat Dakwah Islam Nasrussyifa el-Suraya berpusat di rumah berkembar mewah bagi keselesaan dan kemudahan pelajar menghafal al-Quran.

Istimewanya, Nasri berkata, segala perkhidmatan yang ditawarkan tidak dikenakan bayaran tertentu lebih-lebih lagi bagi golongan kurang berkemampuan, sebaliknya sekadar memohon sumbangan ikhlas daripada pesakit dan orang ramai.

“Di samping itu juga, Pusat Dakwah Islam Nasrussyifa el-Suraya turut menjadikan beberapa rumah perlindungan anak-anak yatim di sekitar Hulu Selangor sebagai anak angkat untuk membolehkan kita menghulurkan sumbangan dan bantuan ketika mereka memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar dan Sumbangan Aidilfitri bersama asnaf dan anak yatim, yang turut dihadiri penaung bersama, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris dan Datuk Ida Suraya Mustapha.

Pada majlis itu, seramai 100 asnaf terdiri daripada fakir, miskin dan saudara baharu menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas dan 50 anak yatim menerima sumbangan Aidilfitri.

Nasri berkata, penerima sumbangan dipilih berdasarkan status asnaf Lembaga Zakat Selangor dan individu yang memohon secara terus kepada Pusat Dakwah Islam Nasrussyifa el-Suraya setelah dipastikan layak.

“Segala sumbangan dan perkhidmatan yang kita kongsi ini adalah hasil daripada sumbangan orang ramai kepada dana pusat dakwah. Lebih banyak sumbangan yang diberikan, lebih banyak juga bantuan boleh kita agihkan kepada golongan memerlukan,” jelasnya.

Sementara itu, Najmil Faiz berkata, segala perkhidmatan yang ditawarkan di pusat dakwah tersebut merupakan antara usaha dilakukan pihaknya untuk mendekatkan masyarakat kepada Islam menerusi roh al-Quran.

“Sesiapa sahaja boleh datang ke sini untuk menjalani rawatan, mendalami agama atau mendapatkan nasihat kaunseling rumah tangga. Bagaimanapun ada syarat yang kita tetapkan contohnya, pesakit yang menjalani rawatan di sini perlu menghadiri majlis zikir dan bacaan al-Quran dalam masa ditetapkan.

“Selain memastikan mereka benar-benar sembuh, ini juga bertujuan mendidik jiwa mereka dengan roh al-Quran, sekali gus menjadikan mereka Muslim yang lebih baik,” katanya.