Hebat, segak dan penuh disiplin meskipun dalam keadaan cuaca membahang tetapi arahan ‘imam’ itu tetap dipatuhi para ‘makmum’ yang bernaung di bawah bumbung sekolah kluster kecemerlangan itu.

Islam sebenarnya amat menggalakkan umatnya untuk kekal sihat dan cergas dari segi fizikal dan mental selagi aktiviti yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan syarak.

Malah umatnya juga bakal mendapat bonus pahala tambahan jika setiap amalan yang dilakukan itu diniatkan secara ikhlas kepada Allah.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan disukai Allah daripada orang Mukmin yang lemah,” - Riwayat Muslim.

Baru-baru ini, SMKA Maahad Hamidiah menganjurkan majlis Anugerah al-Jauhar (Kecemerlangan) yang bertujuan menghargai dan meraikan kecemerlangan pelajarnya dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Pengetuanya, Md. Yusof Rahim berkata, bersempena dengan majlis yang bertujuan menggalakkan para pelajar berusaha bersungguh-sungguh secara istiqamah itu, turut diadakan beberapa acara lain melibatkan kesemua warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.

“Acara berkenaan ialah Hari Koperasi Sekolah dan Karnival Keusahawanan (gerai jualan anak-anak dan pihak luar), Mahrajan Kawad Kaki melibatkan badan beruniform dan Hari Terbuka Asrama yang memberi peluang kepada ibu bapa untuk melawat asrama anak-anak,” katanya.