Sumbangan itu dilihat dapat melengkap dan melancarkan peranan institusi agama Islam itu dalam aspek pengurusan jenazah. Malah ia juga penting bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan kemudahan berkenaan dengan mengenakan harga atau upah tidak munasabah.

Sejajar itu, baru-baru ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan 10 buah van jenazah bernilai RM1.2 juta kepada 10 buah masjid sekitar Selangor.

Ketua Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid yang menyampaikan van itu di Masjid Kampung Seri Aman, Puchong berkata, sumbangan berkenaan adalah antara inisiatif bantuan zakat bawah asnaf fisabilillah yang bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah dalam sesebuah kariah.

“Ia diperuntuk kepada masjid atau surau solat Jumaat yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutama di kawasan luar bandar, selain mempunyai ahli kariah yang ramai,” katanya.

Usaha LZS itu bukanlah kali pertama tetapi ia bermula sejak 2013 lagi yang bertitik-tolak daripada satu berita mengenai sebuah van jenazah dalam keadaan sangat daif yang tular dalam media sosial pada waktu tersebut. Sejak itu, LZS terus komited memberikan bantuan pembangunan institusi agama Islam di Selangor. Malah setakat ini, agensi zakat Selangor itu sudah menyumbangkan 50 buah van jenazah dengan jumlah keseluruhan RM6 juta.

Tambah Abdul Basith, sumbangan van jenazah itu kini sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab LZS dalam menunaikan amanah 270,000 pengeluar zakat di Selangor.

“Kami harap masjid yang menerima van jenazah dapat memanfaatkan kemudahan tersebut dengan sebaik-baiknya sama ada untuk ahli kariah atau yang tinggal berdekatan,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan LZS bakal menambah jumlah serahan van jenazah kepada masjid terpilih sebelum hujung tahun ini.

“Kami merancang untuk menyerahkan lebih kurang 15 buah van jenazah lagi sebelum hujung tahun ini tetapi semuanya bergantung kepada kedudukan kewangan.

“Bagi pihak masjid atau surau yang masih belum menerima sumbangan walaupun telah membuat permohonan, LZS akan cuba menyantuni semampu boleh dan secepat mungkin,” katanya.

Senarai masjid yang terima 
van jenazah:

Masjid Kariah Kampung Kuala Perdik, Hulu Langat.

Masjid Kariah Lubuk Kerubi, Hulu Langat.

Masjid Kariah Sungai Kembong Hilir, Kajang.

Masjid Kariah Kampung Jawa, Hulu Langat.

Masjid Kampung Seri Aman, Puchong.

Masjid Al-Ubudiah, Hulu Selangor.

Masjid Nurul Husna Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor.

Masjid Ar-Ridzuan, Bestari Jaya.

Masjid At-Taqwa, Kuala Selangor.

Masjid An’ Nur Kampung Kanchong Tengah, Kuala Langat.