Logo halal kini bukan sahaja terhad kepada produk makanan tetapi juga merujuk kepada proses penyajian, peralatan dan penyediaan produk makanan serta minuman. Malah pengeluar produk kosmetik juga mula melihatnya sesuatu yang perlu dan menguntungkan syarikat kerana produknya mempunyai pasaran lebih luas merangkumi pengguna Islam dan bukan Islam.

Tarik lebih ramai pelancong

Dalam sektor pelancongan, dengan mempamerkan logo halal di premis perniagaan mampu menarik lebih ramai pelancong dari negara Islam terutama dari Timur Tengah yang terkenal dengan kemampuan berbelanja tinggi.

Ekoran daripada perkembangan kesedaran tentang kepentingan penggunaan logo halal kepada pengguna Islam di seluruh dunia dalam sesebuah perniagaan, pelbagai rekaan logo halal digunakan oleh badan pemantau yang bertanggungjawab mengeluarkannya bagi sesebuah perniagaan mahupun produk di sesebuah negara.

Memandangkan masyarakat Islam berada hampir di seluruh pelosok dunia maka pelbagai rekaan logo halal dari pelbagai negara boleh dilihat pada barang dagangan yang berada dalam pasaran.

Logo halal yang paling dipercayai di Malaysia dan di peringkat global pada hari ini semestinya daripada pihak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Logo halal Malaysia mempunyai pengaruh kuat kepada penciptaan logo halal yang dikeluarkan dari negara lain.

Ini mungkin disebabkan peranan yang dimainkan oleh kerajaan Malaysia dalam mempromosikan kepentingan logo halal dalam perniagaan bagi pasaran masyarakat Islam di negara ini.

Ciri-Ciri Utama Logo Halal

Antara ciri utama logo yang digunakan Jakim ialah perkataan ‘Halal’ dalam tulisan Arab dan Rumi, mempunyai nama pihak bertanggungjawab dalam pengeluaran sijil dan nama negara. Hampir keseluruhan rekaan logo halal dunia mempunyai tiga maklumat penting ini yang dianggap asas dalam rekaan logo halal.

Bintang berbucu lapan merupakan latar corak geometri yang sangat universal tetapi berkait rapat dengan kesenian Islam yang banyak menggunakan motif ini.

Ini merupakan satu perkara menarik di mana penggunaan logo yang hampir seragam menjadikan kesedaran dan pengenalan kepada tanda halal lebih cepat tersebar serta diketahui oleh masyarakat bukan Islam khususnya. Ia untuk mengelakkan kekeliruan, sekali gus menjadi tanda dagangan yang mampu membawa mesej hendak disampaikan iaitu produk berkenaan adalah selamat, bersih, dan suci.

Bagi negara bukan Islam yang mempunyai penduduk minoriti Islam, kebanyakan logo halal dicipta oleh badan atau persatuan masyarakat Islam yang diberi kepercayaan di sesebuah wilayah tersebut. Contohnya di negara yang besar seperti China di mana penduduk minoritinya tinggal di wilayah berbeza, mereka mengeluarkan sijil halal mengikut wilayah dengan rekaan logo yang berbeza.

Kewujudan logo berlainan daripada badan Islam yang bertanggungjawab dari sebuah negara seperti China sering menimbulkan kekeliruan dan prasangka terutama dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia sama ada ia adalah benar atau palsu.

Namun begitu inisiatif yang diambil oleh masyarakat Islam di China harus dipuji dalam memastikan produk makanan mereka turut dapat dinikmati oleh masyarakat Islam di tempat lain.

Menimbulkan rasa hormat

Rekaan sesebuah logo mungkin dipandang remeh oleh sesetengah ahli masyarakat namun ia mampu mendidik dan menimbulkan rasa hormat menghormati terdapat diet pemakanan yang diamalkan oleh setiap penganut agama khususnya dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Kebanyakan produk yang mempunyai logo halal ini juga turut dinikmati dan digunakan oleh masyarakat beragama lain di Malaysia.