Namun, menurut pendakwah antarabangsa, Rahmatullah Nowruz, bukan sahaja kepada wanita tetapi kewajipan berhijab dengan sempurna turut terikat bagi lelaki beragama Islam.

Beliau berkata, ini kerana definisi hijab sebenarnya bukan bermaksud seperti difahami oleh kebanyakan umat Islam, sebaliknya bermakna menutup anggota tubuh daripada perkara yang diharamkan mengikut pengertian bahasa Arab.

Menerusi ceramah ringkas dalam talian, pendakwah kelahiran Afghanistan itu menjelaskan, beliau terpanggil ingin berkongsi peringatan itu selepas melihat situasi sebenar ketika berdakwah di Malaysia.

“Selama lebih tiga tahun menjalankan dakwah di Malaysia, apa yang saya perhatikan adalah kebanyakan wanita Muslim berpakaian sempurna dan lengkap berhijab, malangnya lelaki yang berada di samping wanita itu berpakaian sebaliknya dengan berseluar pendek sehingga nampak lutut.

“Perlu kita tekankan bahawa, kewajipan hijab ini bukan sahaja kepada wanita, tetapi lelaki juga perlu mematuhi aturan yang diperintahkan syariat Islam.

“Oleh itu, dalam apa keadaan sekalipun, sama ada kamu lelaki atau wanita, menyempurnakan hijab adalah tuntutan yang diwajibkan kepada kita semua,” katanya.

Selama berdakwah di Malaysia, Nowruz berjaya menarik lebih 25 orang yang majoritinya masyarakat Cina memeluk Islam.

Tidak dinafikan tambahnya, keadaan semasa dilihat menyukarkan segelintir umat Islam untuk menutup aurat dengan sempurna. Bagaimanapun, katanya, kekangan itu bukan alasan untuk melanggar perintah agama.

“Saya pernah berjumpa dan bertanya kepada seorang wanita Muslimah yang bertudung tetapi memakai seluar jeans ketat, “Mengapa kamu berhijab? Dia menjawab, “kerana ini ajaran Islam.”

Lalu saya menasihatkannya, “kamu hanya mentaati 50 peratus sahaja syariat, sebaliknya sebahagian lagi kerana terikut-ikut budaya masyarakat umum. Perkara ini menyalahi agama dan kamu seharusnya mentaati perintah ini 100 peratus dengan berusaha mematuhinya,” ujarnya.

Berkongsi panduan mudah bagi mematuhi batasan hijab, Nowruz berkata, terdapat enam langkah perlu diberi perhatian oleh umat Islam agar tidak melanggar kewajipan tersebut, iaitu:

1- Bagi lelaki, wajib menutup anggota tubuh dari pusat hingga ke lutut. Cara mudah adalah memakai seluar panjang melebihi lutut.

2- Bagi wanita, wajib menutup seluruh tubuh kecuali wajah dan pergelangan tangan, bergantung kepada persekitaran dan bersama siapa mereka berada.

3- Bagi lelaki dan wanita, tidak boleh memakai seluar atau jeans ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh.

4- Pakaian tidak terlalu nipis sehingga menampakkan anggota tubuh.

5- Tidak boleh memperagakan pakaian yang menjadi simbol agama lain. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka.” - Riwayat Ahmad

6- Lelaki tidak boleh memakai pakaian wanita, begitu juga sebaliknya

“Apa yang saya perhatikan di Malaysia, kita akan menemukan hampir semua wanita memakai tudung, tetapi malangnya ramai yang memakai seluar atau jeans ketat sehingga kelihatan bentuk tubuh.

“Sama ada lelaki atau wanita, ini jelas bertentangan dengan syariat dan diharamkan dalam Islam. Saya tidak tahu mengapa mereka masih menyebutnya sebagai hijab?

“Di mana sahaja kamu membeli pakaian dan memakainya, ingatlah enam panduan ini. Jika kamu merasakan sesuai dengan diri kita, alhamdulillah, jika sebaliknya kamu perlu menilai kembali prinsip dan pegangan agama kamu,” jelasnya.