Tidak keterlaluan dikatakan bahawa landasan ini adalah penyambung urusan haji yang juga dikenali sebagai ‘Jalur Hijazi’ dalam meningkatkan bilangan jemaah untuk berada di bumi Madinah dan seterusnya ke Mekah.

Landasan ini dibangunkan pada masa pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah di bawah kuasa Sultan Abdul Hamid II.

Jalur Hijaz ini meliputi laluan kereta api antara Damsyik (Syria), Amman (Jordan) sehinggalah ke Madinah (Arab Saudi).

Landasan ini adalah sebahagian daripada landasan kereta api yang menghubungkan antara Istanbul (Turki) dan Haida (Israel) yang merupakan satu projek infrastruktur kerajaan khalifah Uthmaniyyah (Turki), selain usaha keras mewujudkan program telekomunikasi terancang melalui pemasangan kabel telegraf di seluruh wilayah kerajaan yang memerintah pada waktu itu, melibatkan sebahagian Afrika Utara, Timur Tengah dan negara Balkan.

Berdasarkan fakta sejarah, landasan ini mula dirancang pada 1840 namun hanya dapat direalisasikan pada 1908.

Perancangan hebat ini menyaksikan penyatuan pan-Islamisme dan dirasmikan oleh Sultan Abdul Hamid II.
Muzium Kereta Api Madinah ini adalah lambang ledakan pengangkutan darat yang paling banyak membantu jemaah haji untuk sampai ke Mekah melalui Madinah.

Walaupun pembinaan landasan kereta api ini berbeza dengan pembinaan lain di wilayah khalifah Uthmaniyyah, yang mendapat bantuan kewangan dari negara Jerman seperti pembinaan landasan Istanbul-Bahgdad, ia dilaksanakan dengan semangat yang tinggi.

Sultan Abdul Hamid II memerintahkan setiap Muslimin menyokong pembangunan pengangkutan ini. Pembinaan landasan kereta api ini melibatkan 5,000 anggota angkatan tentera darat dan penduduk awam.

Rancangan pembinaan ini juga melibatkan penyambungan sehingga ke Mekah dan Jeddah, namun disebabkan masalah pembiayaan projek serta penentangan oleh penduduk di wilayah berkenaan, maka landasan itu berakhir sehingga ke Madinah sahaja.

Maka di muzium ini, ditunjukkan gerabak kereta api yang menggunakan enjin wap dan artifak yang lain bagi mengenang zaman kegemilangan pengangkutan darat berkenaan.

Muzium kereta api ini yang terletak di belakang Muzium Madinah merupakan kawasan hentian terakhir menempatkan bangunan baik pulih lokomotif, stesen menggunakan reka bentuk bangunan era Turki Uthmaniyyah, di samping sebuah masjid berdekatan stesen, Masjid Anbariya (dibina pada tahun 1908) oleh Sultan Abdul Hamid II.

Secara keseluruhan artifak dan gerabak yang ada di muzium berkenaan menunjukkan kesungguhan kerajaan Arab Saudi untuk menjaga khazanah berharga itu.

Jalur Hijaz ini mempunyai jarak sejauh 1,320 kilometer merentasi kawasan Damsyik, Jordan dan Arab Saudi.

Banyak halangan dalam pembinaan landasan ini, antaranya keadaan gurun berpasir yang kontang, pekerja yang perlu berhadapan ancaman puak nomad Arab yang sering merosakkan landasan yang dibina.

Apa pun kepada jemaah haji yang berkelapangan untuk melakukan ziarah bolehlah ke Muzium Madinah ini, dan melihat Muzium Kereta Api Madinah yang masih dijaga dengan baik, ruang menunggu penumpang, bangunan bengkel lokomotif, masjid serta bilik air yang masih asli dalam binaan Turki.

Dengan kebaikan kota Madinah, perjalanan jemaah haji begitu tenang dengan menggunakan lokomotif wap pada waktu tersebut menuju ke Mekah dalam jangka waktu yang pendek.